Selasa, Jun 02, 2009

Kemana perginya masa?


Masa itu emas. Ketinggian nilai terhadap masa ini kerana kita tidak pasti akan tempoh masa yang ada. Kita tau masa itu tak panjang, tapi kita tak pasti sejauhmana pendeknya masa itu, sama ada setahun, sebulan atau beberapa minggu? Masa itu sangat berharga, kerana jika ianya terlepas, memang mustahil untuk menggantinya kembali. Jika benar ianya begitu berharga, kenapa sering kedengaran ungkapan-ungkapan seperti "Tak ada masa", "Tak cukup masa", "Tunggulah masa yang sesuai" , atau "Tengoklah, kalau ada masa"?? Begitu rendahkah nilai masa sehingga ianya bukan sesuatu yang perlu di kejar dan di cari walau apa pun alasannya? Sedangkan kapasiti masa bagi setiap manusia di muka bumi ini adalah sama sahaja i.e 24 jam sehari.

Kebijaksanaan dalam mengatur masa memerlukan pengurusan yang bersandarkan kepada keutamaan dan rasa tanggungjawab yang tinggi. Jika tidak, akan kedengaranlah alasan-alasan sumbang seperti di atas tadi. Sekiranya kita merasakan diri dalam keadaan yang sentiasa tidak produktif, besar kemungkinan sebenarnya kita telah dikawal oleh tabiat kerja bertangguh. Tabiat menangguhkan kerja ini biasa berlaku apabila kita lebih mengutamakan perkara-perkara yang lain yang tidak begitu mendesak dari segi keperluannya atau pun dengan sengaja membuang masa dengan melakukan kerja-kerja yang tidak berfaedah. Ia berkait rapat dengan cara pengurusan masa masing-masing.

Bernard Meltzer pernah menyatakan bahawa “Kerja yang sukar sebenarnya adalah kerja mudah yang kita tidak lakukan pada masa yang sepatutnya." Masalahnya kita tak pernah menggunakan kesempatan yang ada untuk menyempurnakannya pada masa yang telah ditetapkan. Berbagai alasan diberikan bagi merasionalisasikan sikap ini misalnya, "Takde moodlah hari ni", "Nak tanya kawan dululah", "Tak faham sangatlah", "Esok je lah aku pikir pasal ni" dan sebagainya. Sikap suka melengah atau menangguhkan kerja adalah jelmaan dari sifat kealpaan tentang nilai masa dan pengisiannya secara berhemah.Dalam jangka masa panjang, sikap ini akhirnya akan hanya merugikan diri sendiri kerana tanpa kita sedari, kita masih di takuk lama, apabila masa berlalu begitu sahaja meninggalkan kita.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa penjadualan kerja amat penting dalam memastikan kerja yang ditugaskan berjalan dengan lancar dan mengikut masa. Melakukan kerja di saat-saat akhir adalah satu tabiat buruk yang memenatkan dan jarang menghasilkan sesuatu yang berkualiti. Kesuntukan masa tidak membolehkan kita membuat kerja dengan teliti dan tepat. Bagaimana nak jadi cemerlang dan terbilang tanpa pengurusan masa yang baik? Salah satu ciri masyarakat moden yang membezakannya dengan masyarakat primitif ialah kesedaran yang tinggi terhadap persoalan masa. Kemajuan sukar dicapai tanpa kesungguhan kita menjaga masa dan menggunakannya dengan sebaik mungkin. Gunalah masa dengan bijak mengikut keutamaan kerja yang perlu dilaksanakan supaya kita tak tertanya-tanya lagi "Kemana agaknya perginya masa...?

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hello DR,
Now i Changi Airport. WIFI free.
5.15 bertolak ke Riyad, Saudi

From Rosli

Dr. Honey berkata...

Selamat berangkat dan kembali ke tanah air! Take care!

Blog Widget by LinkWithin