Sabtu, Jun 06, 2009

Apa ada pada Rukun Negara?

Rasanya, negara kita yang paling banyak cuti umum berbanding negara-negara lain, kan? Maklumlah multi etnik,macam-macam perayaan kita sambut. Memang kita kaya betul dengan pelbagai jenis cuti ni. Dalam kita mewah dengan cuti, agak menghairankan juga bila ada juga orang yang kerap ambil cuti sakit, cuti kecemasan, ambil cuti sekerat hari, atau pun, ambil cuti dulu, esok baru isi borang cuti....pun ada juga..!

Dalam keghairahan kita bercuti ni, kadangkala kita lupa untuk menghayati sejenak tujuan cuti atau sebab musabab kita bercuti. Misalnya, masa cuti umum sempena "Maulud Nabi", pernah ke cuba menghayati sejarah Junjungan besar kita, Nabi Muhamammad s.a.w. Sekurang-kurangnya cuba mencontohi sifat-sifat mulia baginda. Di waktu Maal Hijrah, adakah kita cuba muhasabah diri dan berazam untuk "berhijrah" untuk menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya. Pada cuti "Hari Pekerja" pula, berapa ramai yang berazam untuk meningkatkan daya produktiviti atau menjadi pekerja berilmu (knowledge workers)? Atau kita lebih leka merancang kemana nak bercuti atau membeli belah? Tak salah untuk berseronok, tetapi adakalanya kita perlu duduk dan berfikir sejenak tentang maksud dan tujuan kita diberikan cuti ni.

Hari ni cuti umum sempena Hari Keputeraan Yang Di Pertuan Agung. Adakah "Kesetiaan kepada Raja dan Negara" kita yang menjadi prinsip kedua Rukun Negara itu menjadi semakin mantap atau sebaliknya. Kalau cuti hari ini tidak ada impaknya pada rasa kesetiaan ini, maka sia-sialah cuti umum ini rasanya. Penghayatan kepada Rukun Negara semakin hari semakin luntur akibat dari rasa tak endah kepada kepentingan nilai bersama yang perlu kita amalkan melalui lima prinsip Rukun Negara ini. Apa yang kita lihat pada hari ini, lima prinsip ini hanya sekadar hiasan di papan-papan tanda dan buku tulis di sekolah. Mungkin dah ramai agaknya yang lupa apakah lima prinsip Rukun Negara tu?


Segala kekecohan yang berlaku di negara kita sejak akhir-akhir ini berpunca dari sikap sambil lewa dan kealpaan kepada penghayatan maksud kelima-lima prinsip itu. Bagi masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia ni, nilai bersama seperti ini perlu dikongsi dan menjadi pegangan hidup bagi memantapkan lagi perpaduan. Kalau tidak, kita akan leka dengan arah dan nilai masing-masing yang tak sehaluan dan akhirnya akan menimbulkan konflik sesama kita. Prinsip pertama "Kepercayaan Kepada Tuhan" jelas menekankan kepentingan rakyat untuk berpegang kuat kepada agama masing-masing. Sekiranya kita benar-benar berpegang kepada nilai ini, kita akan menjadi bangsa yang lebih bersyukur, bertolak ansur dan saling menghormati di antara satu sama lain. Bila dah tak heran dengan prinsip "Kesetiaan kepada Raja dan Negara", itulah hingga ada yang sanggup kurang ajar dengan Raja, nak saman Raja dan dah lupa asal usul sejarah pemerintahan Beraja di negara ini.

Dimana bumi di pijak, disitulah langit perlu dijunjung. Berapa ramai yang tahu isi kandungan Perlembagaan Malaysia dan bagaimana ianya terbentuk? Demi kepentingan diri dan kaum masing-masing, prinsip ketiga "Keluhuran Perlembagaan' ini sentiasa dicabar kerana ramai tak cuba menghayati maksud prinsip ini dan sejarah pembentukannya. Sedangkan undang-undang tertinggi negara ini sepatutnya dimaklumi semua bahawa isi kandungannya telah dipersetujui oleh semua kaum sebelum kita mengecap kemerdekaan dari British pada tahun 1957. Mempersoalkan kewujudannya seolah-olah kita mepersoalkan "Mengapa nenek kita dulu bersetuju berkahwin dengan datuk kita, ya?". Dalam ertikata lain, kita perlu menghormati sejarah Perlembagaan Negara ini digubal dan cuba menghayati kepentingannya kepada perpaduan negara ini. Sebagai rakyat di bumi bertuah ini, kita perlu berfikir secara kolektif demi perpaduan negara dan bukannya hanya memikirkan kepentingan diri atau kaum masing-masing sahaja.

"Kedaulatan Undang-undang" sebagai prinsip keempat perlu dihormati bagi mengekalkan keamanan negara. Kita membangun mengikut acuan kita sendiri kerana budaya dan sejarah bangsa kita tak sama dengan apa yang terdapat di Amerika, Britain atau negara-negara lain. Jangan menggadaikan maruah bangsa hanya sekadar nak dilihat "senada dan seirama" dengan negara-negara ini kerana salah satu dari ciri pembangunan bagi sesebuah negara ialah apabila kita berupaya membebaskan diri dari kebergantungan kepada negara lain, terutamanya dalam menentukan hala tuju dan matlamat pembangunan kita sendiri. Dalam erti kata lain, kita berupaya maju dengan mengikut cara kita sendiri yang lebih berpijak dibumi nyata, dan bersesuaian dengan sejarah bangsa, budaya dan masyarakat di negara ini. Apa ertinya demokrasi sekiranya kita saling berbunuh-bunuhan sesama sendiri atas nama hak asasi dan kemanusiaan?

Dimanakah pula perginya kesantunan dan tata susila bangsa apabila murid-murid dah berani kurang ajar dengan guru di sekolah, orang ramai dah malas beratur dan mengambil giliran orang lain sebab nak cepat, buang sampah merata-rata sesuka hati, bawa kereta laju-laju sehingga mengorbankan nyawa orang lain, pekerja-pekerja semakin galak melanggar etika kerja dsb. Nampaknya penghayatan prinsip kelima "Kesopanan dan Kesusilaan' pun dah semakin semakin terhakis dari amalan kita. Adakalanya sifat orang Barat memang elok dicontohi. Kalau berpeluang ke luar negara nanti, cuba jengok tandas awam kat sana. Jauh lebih bersih dari apa yang ada disini. Kesedaran siviks orang kita ni masih perlu dipertingkatkan lagi supaya mentaliti kita berkembang maju seiring dengan kemajuan negara dari segi material. Apa guna mercu tanda yang gah, yang tertinggi atau terhebat didunia sekiranya mentaliti majoriti rakyat masih dibelenggu mentaliti negara mundur?

Kepentingan penghayatan kepada Rukun Negara adalah satu perkara yang perlu diberikan perhatian secara serius. Jangan nanti sampai "sudah terhantuk, baru terngadah". Masa tu, nak menyesal atau menangis air mata darah pun dah tak guna lagi. Rahsia kejayaan Malaysia adalah kerana perpaduan yang utuh di kalangan rakyatnya. Tanpa perpaduan ini, mustahil bagi kita untuk mencapai tahap kemajuan sebagaimana yang kita kecap pada hari ini. Bagi memperkukuhkan kekuatan bangsa, kita perlu menerapkan nilai agama serta nilai-nilai yang baik dari setiap kaum untuk diamalkan dan abaikan saja nilai yang tak membantu dalam memajukan bangsa. Fikirkan nasib generasi akan datang supaya kita tak jadi generasi lama yang dipersalahkan dalam buku sejarah mereka pada suatu hari nanti.

Hayatilah maksud cuti-cuti umum dari masa ke semasa, supaya kita menjadi bangsa yang lebih bersyukur dan saling menghormati serta bertolak ansur di antara satu sama lain. Semoga perpaduan terus menjadi resipi kejayaan kita demi masa depan negara yang lebih cemerlang dan terbilang!

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin