Jumaat, Jun 19, 2009

Positifkan Tabiat Negatif


Tabiat manusia ini ada macam-macam. Ada yang buat kita maju ke depan dan ada juga menjadikan kita mundur ke belakang. Tabiat adalah sesuatu perlakuan normal yang dah menjadi amalan biasa yang sebati dengan diri sehingga kita tak menyedari sangat akan kesannya kepada kehidupan seharian kita.

Antara tabiat negatif yang merugikan kita :-

1. TIDAK MENEPATI MASA

Satu daripada perkara penting dan mudah untuk dilakukan bagi memastikan kejayaan dalam kehidupan - samada dari segi sosial, kerjaya atau kesihatan - adalah dengan menepati janji. Misalnya, untuk meningkatkan kesihatan diri, kenalah rajin pergi ke jimnasium atau berjoging pada masa yang telah ditetapkan. Biar pun kadangkala cuaca tidak mengizinkan atau anda rasa tidak sihat pada waktu itu, kesihatan anda akan menjadi bertambah baik sekiranya anda tetap pergi dan tidak hanya terlantar di sofa rumah tanpa berbuat apa-apa. Menepati masa banyak membawa manafaat sebailknya kita akan sentiasa rugi dengan tidak akan berpegang kepada masa yang telah ditetapkan.

2. MELENGAH-LENGAHKAN KERJA.
Tabiat buruk ini boleh diatasi dengan mendahulukan kerja yang paling sukar dan penting di awal pagi. Permulaan hari yang baik akan meningkatkan semangat dan menjadikan kita sentiasa bertenaga sepanjang hari. Ini akan menjadikan kita lebih produktif. Bahagi-bahagi kerja yang sukar tadi kepada tugas-tugas kecil yang boleh dilakukan secara berperingkat-peringkat sehingga ianya selesai dilaksanakan.

3. SUKA MENYEGERAKAN KERJA YANG KURANG PENTING
Kadangkala kita gemar menyibukkan diri dengan mendahulukan kerja yang mudah dan tidak penting. Anda perlu satu sistem pengurusan yang cekap bagi kita menumpukan tenaga kepada kerja-kerja yang perlu diutamakan atau diberikan perhatian tanpa mengabaikan kerja-kerja mudah dan tidak penting itu tadi. Cara kita menyusun kerja adalah penting supaya kita tak menghabiskan banyak masa untuk kerja-kerja yang tidak mendesak sangat dari segi masa atau pun keperluannya.

4. TERLALU BANYAK BERFIKIR

Sesetengah orang terlalu banyak berfikir tapi jarang sangat mengambil tindakan yang sepatutnya dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Ini boleh merugikan sebahagian besar kehidupan anda kerana banyak masa dihabiskan kepada termenung dan bermenung tanpa apa-apa resolusi penyelesaiannya. Tidak salah sekiranya kita berfikir dahulu sebelum bertindak tetapi pastikan setiap apa dilakukan itu perlulah diselidik terlebih dahulu, dirancang, diterokai potensi dan permasalahannya secara yang menyeluruh.

Terlalu berhati-hati dan banyak berfikir akan hanya membuang masa kerana kadangkala kita tak mampu menunggu masa yang sesuai untuk mengambil sesuatu tindakan. Sekiranya banyak masa diambil untuk menyelidik dari setiap sudut, masa yang sesuai itu takkan tiba. Tindakan akan menjadi lebih sukar untuk dlaksanakan sekiranya kita terus befikir dan berfikir sedalam-dalamnya. Apa kata terus saja bertindak dan lakukan apa yang perlu kita lakukan.

5. SERING MELIHAT SESUATU DARI SUDUT YANG NEGATIF

Pandanga yang negatif akan mengurangkan motivasi diri dan keinginan untuk mengambil risiko. Kita akan sentiasa nampak masalah walau pun pada hakikatnya tiada dan sering kabur akan peluang-peluang yang terbentang dihadapan mata. Anda menjadi terlalu bergantung kepada perincian dan sering membesar-besarkan pelbagai masalah yang mungkin timbul. Ini akan hanya menyukarkan perlaksanaan tindakan yang perlu dilakukan. Jauhi persepsi negatif kerana ianya akan menjadikan anda seorang yang pesimis kepada segala peluang dan kemungkinan yang ada.

6. BERPEGANG KUAT KEPADA PEMIKIRAN SENDIRI TANPA MEMBUKANYA KEPADA PENGARUH LUARAN
Memang sukar untuk mengakui bahawa pemikiran dan kepercayaan kita bukanlah yang terbaik. Keadaan ini menyebabkan kita tidak cekap dan masih di takuk lama. Kadang-kadang, nak buat keputusan untuk berubah pun mengambil masa yang lama. Kita perlu bersikap terbuka, belajar dari kesilapan orang lain, kesilapan sendiri dan juga dari buku-buku yang kita baca. Disamping itu juga, kita harus tahu batasan pengetahuan yang kita ada dan cara untuk melaksanakannya dan cuba buat sesuatu yang baru.

7. BEBANAN MAKLUMAT DALAM PEMIKIRAN
Kita akan merasa sukar untuk berfikir secara jelas sekiranya pemikiran terlalu dibebani dengan bebanan maklumat yang terlalu banyak. Sesetengah input yang diterima bersifat negatif. Media dan persekitaran biasanya akan menerapkan elemen-elemen persepsi negatif yang disebabkan oleh banyak perkara atau kepentingan pihak tertentu. Sekiranya kita tidak bijak memilih, kita akan terjerumus ke dalam negativiti yang akhirnya mempengaruhi cara kita berfikir dan bertindak. Adalah sukar untuk membuat keputusan dengan keadaan minda yang sentiasa diasak dengan pelbagai bentuk maklumat yang tidak releven.

Tabiat yang positif perlu ditanam supaya ianya menjadi amalan yang menjadikan kita lebih produktif dan cemerlang. Perlakuan yang positif merangsang kepada visi yang lebih jelas dan nyata. Jauhi dari tabiat negatif kerana ia hanya membawa kita beberapa langkah ke belakang dengan halangan tembok ilusi ciptaan kita yang sendiri.

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin