Khamis, Jun 25, 2009

Mencipta keamanan minda


Adakah anda tertanya-tanya mengapa ada sesetengah orang begitu tenang mengharungi cabaran dalam kehidupan ini tanpa banyak masalah yang terpaksa ditempuhi berbanding dengan orang lain yang berhadapan dengan situasi sama, tapi cepat rasa tertekan, mengelabah atau panik yang tidak menentu?

Tahukah anda bahawa respon yang berbeza ini berpunca dari perbezaan dari segi kekuatan dan keamanan minda yang wujud di antara kedua-duanya. Terdapat empat peraturan utama bagi mendapatkan minda yang aman tenteram ini : 1. Mempunyai sikap positif 2. Meraikan diri sendiri 3. Bertenang dan 4. Mengambil pendekatan berorientasikan penyelesaian masalah.

1. MEMPUNYAI SIKAP POSITIF
Orang yang negatif biasanya tertekan kerana sering salah fokus kepada setiap situasi yang dihadapinya. Apabila fokus anda salah, maka emosi anda akan menyerlahkan kesilapan ini. Orang yang negatif biasanya cepat marah dan sedih sepanjang masa. Berjanjilah kepada diri anda sendiri untuk menjadi orang berfikiran positif yang hanya melihat kepada kebaikan dalam diri setiap orang dan bagi setiap situasi. Ini memerlukan latihan dan usaha tetapi sekiranya anda sentiasa fokus kepada perkara-perkara positif, emosi anda akan tenang dan aman.

2. MERAIKAN DIRI SENDIRI
Punca kita tertekan biasanya disebabkan oleh terlalu banyak masa dihabiskan untuk membuat orang lain gembira sehingga kita tidak mempunyai masa untuk diri sendiri. Adakalanya kita perlu meraikan diri sendiri. Rasakan diri anda penting dan dihargai. Peruntukkan masa untuk membahagiakan diri dengan pergi bersiar-siar bersendirian atau bersama kawan-kawan, makan makanan kegemaran anda, memanjakan diri di spa atau pun salon, membeli belah dsb.

3. BERTENANG
Belajarlah untuk bertenang dan menikmati kehidupan ini. Jiwa akan tertekan sekiranya minda sentiada berada dalam keadaan yang tidak tenteram. Sekiranya anda tidak boleh mengawalnya, anda akan merasa murung dan musykil. Antara cara untuk bertenang ialah 1. Duduk secara senyap selama 15 minit sehari. 2. Pergi berjalan-jalan 3. Sentiasa melihat kehijauan flora dan fauna semasa anda sedang memandu. 4. Hidup saling menyayangi antara satu sama lain.

4. BERORIENTASIKAN PENYELESAIAN MASALAH
Anda perlu sentiasa mencari jalan bagaimana untuk mencipta kejayaan setiap kali dilanda masalah. Segala tekanan akan hilang sekiranya kita lebih menumpukan perhatian kepada penyelesaian masalah dan bukannya hanya bercakap mengenainya. Masalah anda akan berkurangan dengan terhapusnya tekanan kerana anda telah mengambil tindakan yang sewajarnya dalam memperbaiki situasi yang dihadapi.

Empat peraturan ini merupakan satu permulaan bagi membangunkan kehidupan yang lebih bermakna. Kita perlu mencari dan meneroka cara baru bagi menangani segala cabaran yang datang. Ingatlah, jangan hanya fokus kepada cabaran berkenaan tetapi lebih kepada cara atau kaedah terbaik untuk respon terhadap cabaran itu. Dengan berbuat demikian, insyaallah, minda kita akan menjadi lebih aman dan tenang.

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin