Khamis, Jun 18, 2009

Tanya APA bukan KENAPA


Kita sering kecewa apabila sesuatu yang berlaku itu tidak seperti yang diharap atau jangkakan. Satu persoalan biasa yang sering berlegar difikiran ialah "KENAPA?'. Soalan ini akan biasanya menyebabkan kita rasa bengang, terbantut dan tewas sebab jawapan kepada persoalan ini adalah kenyataan-kenyataan yang kita tak suka nak dengar atau tak cuba nak faham. Persoalan "KENAPA" biasanya diakhiri dengan frasa "ENTAH, AKU TAK TAU!". Sekiranya "KENAPA" digunakan secara tidak tepat, ia tak akan membantu langsung, malah akan memburukkan lagi keadaan atau masalah yang kita hadapi.

Contoh ;

* KENAPA aku buat macam ni?
* KENAPA dia tinggalkan aku?
* KENAPA aku yang jadi mangsa?
* KENAPA jadi begini?

Persoalan begini tak akan membawa kita kemana? Ia akan hanya membebankan kita dengan jawapan yang tidak pasti tanpa sebarang penyelesaian yang positif kepada isu berkenaan. Yang membimbangkan, ada yang merasa tertekan dan mengalami masalah mental akibat dari keadaan ini. Ada juga yang masih murung dengan kisah silam atau luka semalam dan tak habis-habis mempersoalkan "KENAPA?" yang seringkali mendapat jawapan yang sama "ENTAH, AKU TAK TAU!" Sedangkan, pada hakikatnya kita sedar kehidupan ini sebenarnya penuh dengan misteri, kerana ada masa dan ketikanya, kita tak dapat mentafsir jawapan sebenar mengapa sesuatu itu berlaku pada diri kita. Sekiranya kita membenarkan diri dibebankan dengan persoalan "KENAPA' yang ketidakpastian jawapannya tiada berpenghujungnya ini, maka ia akan menyebabkan kita semakin tertekan, kecewa dan kekosongan.

Adalah lebih baik sekiranya kita bertanyakan "APA?" dalam usaha kita menyelesaikan masalah kerana ia akan menyebabkan kita lebih fokus kepada kaedah atau jalan penyelesaiannya, dan bukannya kepada permasalahannya atau isunya.

Contoh;

* APA yang menyebabkan kita tertekan?
* APA tujuan kita buat begitu?
* APA cadangan kita untuk mengurangkan berat badan?
* APA masalah kita sebenarnya?

Kita tak perlu tahu kenapa ianya jadi begitu atau begini tapi yang penting ialah kita perlu tahu bagaimana untuk menjadi begitu atau begini itu. Elakkan mengambil tindakan yang sama seperti 20 tahun yang silam misalnya, kerana kaedah itu mungkin dah tak releven lagi pada masa kini. Perkara betul yang pernah kita lakukan pada suatu waktu dulu mungkin dah tak sesuai lagi digunakan pada hari ini. Set minda yang "terkepung" dan "terperangkap" ini perlu diapungkan keluar supaya ianya bebas berlegar bagi mendapatkan nafas atau idea baru. Oleh itu, sekiranya pemikiran anda tiba-tiba tersangkut atau terbantut, cubalah bertanya soalan "APA" dan bukannya "KENAPA". Ini akan membuka minda anda untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih kreatif dan merangsang anda untuk melakukan sesuatu yang berbeza. Ini barulah dikatakan perubahan yang positif!

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin