Ahad, Jun 07, 2009

Jangan jadi Robin Hood

Demi nafsu dan keinginan, adakalanya manusia sanggup mewajarkan sesuatu perkara atau perbuatan yang terbukti bertentangan bukan sahaja dari segi hukum agama, tetapi juga peraturan moral dan etika. Kewajaran terhadap kelakuan ini biasanya berlaku apabila manusia mencipta alasan-alasan yang boleh diterima bagi kelakuan berkenaan, yang sebenarnya bukan berasaskan kepada sebab musabab yang tepat. Matlamat menghalalkan cara tajaan Teori Machiavelli seolah-olah menjadi model kepada kewajaran ini. Apa saja cara boleh digunakan asalkan ianya mencapai matlamat tanpa mengira samada jalannya betul atau pun salah.

Masalahnya, apa sahaja nama atau alasan yang diberikan kepada perbuatan itu, jika ianya salah, ia tetap salah dan tidak dapat diterima oleh masyarakat kerana implikasi dari perbuatan ini tetap buruk dan merosakkan, samada terhadap diri sendiri, masyarakat atau pun persekitaran. Jangan jadi seperti Robin Hood yang berbakti kepada orang miskin dengan merompak harta benda orang kaya. Perbuatan merompak itu sendiri sudah ternyata tidak bermoral, walau apa pun alasan diberikan kepada matlamat rompakan itu.


Matlamat menghalalkan cara ala Robin Hood seringkali terjadi di zaman moden ini apabila kita mewajarkan apa jua perbuatan, tak kira benar atau salah, demi mencapai matlamat yang diidamkan. Perbuatan tidak bermoral seperti rasuah, salah guna kuasa, "tikam dari belakang", surat layang, fitnah menfitnah adalah jelmaan dari kewajaran ala Robin Hood ini. Sekiranya Robin Hood dahulu beroperasi di hutan Sherwood, Nottinghamshire, Robin Hood moden kini beraksi dibilik berhawa dingin dengan hanya menggunakan hujung jari hasil dari kecanggihan teknologi maklumat.

Nilai yang berbeza terhadap apa yang dikatakan benar dan salah itu mempengaruhi tindakan seseorang. Ianya sangat subjektif dan terhasil dari proses sosialisasi yang dialami bersama ibu bapa, keluarga, rakan sebaya dan sekolah. Bagaimana pun, pegangan agama berupaya menyatukan nilai yang tetap dan sama kepada keseluruhan umatnya walau apa pun latar belakang mereka. Masalahnya, pegangan ini sering goyah dengan cabaran-cabaran era globalisasi seperti pengaruh media dan teknologi maklumat. Apa yang perlu dibekal dan dimantapkan lagi ialah keimanan serta jati diri bagi menangkis pengaruh-pengaruh luar ini secara bijak supaya kita tidak perlu jadi seperti Robin Hood.

Memetik kata Mahatma Gandhi:

Apa bezanya kepada yang terkorban, yang yatim piatu, atau yang tidak berumah, sama ada kemusnahan akibat perang ini berlaku atas nama pembinaan negara, kebebasan atau pun demokrasi?

......sebab walau apa pun nama atau kewajaran yang diberikan kepada peperangan itu, kesannya tetap sama : pembaziran, kemusnahan dan kehilangan nyawa! Kalah jadi abu, menang jadi arang! Namun pihak yang pasti menang ialah para pengeluar senjata perang, kereta kebal dan jet pejuang!

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin