Jumaat, Jun 12, 2009

Mantapkan motivasi diri


Salah satu aspek yang sering menghambat kita dari mencipta kejayaan ialah kurangnya motivasi diri. Cuba fikirkan semula, berapa kali kah anda cuba membuat atau merancang sesuatu, tetapi akhirnya ia terbengkalai begitu saja? Tidakkah kebanyakan sebabnya adalah berpunca dari kurangnya motivasi atau pendorong yang mendesak anda untuk benar-benar melakukannya. Kemampuan kita untuk melaksanakan apa jua yang kita rancang atau ingini bergantung kepada setinggi mana tahap motivasi diri yang kita ada untuk mencapainya. Pastinya motivasi ini sememangnya datang dari diri kita sendiri.

Terdapat lima peringkat yang perlu dilalui dalam proses mengekalkan motivasi diri ini ;-

MENETAPKAN MATLAMAT ATAU SASARAN
Buat satu carta alir yang jelas tentang perancangan proses-proses yang perlu dilalui dan tindakan-tindakan yang perlu di ambil. Penetapan matlamat penting dalam mengekalkan hala tuju yang yang telah dirancang sebagaimana yang telah dirancang. Motivasi diri akan meningkat dari masa kesemasa sebaik saja sesuatu peringkat itu telah berjaya dicapai. Ini akan mendorong kita untuk terus bergerak ke hadapan dengan pencapaian matlamat seterusnya.


BERTANGGUNG JAWAB KE ATAS PENCAPAIAN MATLAMAT
Apabila sesuatu matlamat itu telah ditetapkan, adalah baik untuk kita berkongsi mengenainya bersama-sama dengan orang-orang yang menyokong kita. Minat dan sokongan dari pihak yang lain ini akan menjadikan kita lebih bertanggungjawab ke atas pencapaian matlamat kerana ada orang yang akan mengambil berat dan sentiasa bertanyakan tentang perkembangannya kepada kita. Sokongan mereka ini perlu dalam meningkatkan motivasi diri kita dari masa ke semasa.


ELAKKAN ORANG-ORANG YANG BERFIKIRAN NEGATIF
Jauhi dari berinteraksi dengan orang-orang yang berfikiran negatif kerana mereka akan hanya melemahkan keyakinan dan motivasi diri anda.


AMBIL TINDAKAN
Penetapan matlamat dan perancangannya akan jadi sia-sia sekiranya tiada tindakan susulan di ambil ke atasnya. Mimpi akan hanya jadi kenyataan dengan berusaha ke arah merealisasikannya. Usaha yang konsisten dan berterusan terhadap pencapaian matlamat haruslah dilakukan dengan bersungguh-sungguh walau apa pun halangannya.


MENGINGATKAN DIRI AKAN FAEDAH DAN HASILNYA

Bayangkan faedah yang akan diperolehi dari usaha anda itu. Segala kebaikan yang akan terhasil dari usaha ini akan terus menjadi motivasi diri yang sentiasa mengingatkan kita supaya tidak mengalah sebelum berjuang dan berusaha keras untuk mencipta kejayaan yang diimpikan.

Dalam mencapai matlamat, memang terdapat banyak halangan dan cabaran yang perlu ditempuhi. Kadangkala kita terpaksa mengambil alternatif atau pilihan lain dalam memastikan ianya tercapai. Bersikap terbuka dan ambil mana-mana jalan yang boleh membantu kepada pencapaian matlamat walau pun ia tidak sebagaimana yang telah dirancang pada awalnya. Semuanya ini adalah sebahagian dari proses pembelajaran dan pengalaman yang terpaksa kita tempuhi demi masa depan kita. Yang pentingnya matlamat akhir yang kita nak capai tadi tetap utuh dan tidak berubah.

Ingatlah bahawa motivasi diri datangnya dari dalam diri kita sendiri dan kita bertanggungjawab untuk mengekalkannya. Ibarat kata pepatah " Genggam bara api biar sampai jadi arang"!

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin