Khamis, Jun 11, 2009

Kekalkan kesihatan emosi


Kesihatan emosi adalah satu perkara yang perlu dititikberatkan dalam menjalani kehidupan seharian kita kerana ia penting dalam memastikan kita sentiasa berada dalam keadaan yang rasional dan tenang terutamanya dalam membuat sesuatu keputusan penting. Kalau emosi tak sihat, ia mudah menjadikan kita hilang pertimbangan dan berada dalam keadaan kemurungan yang berpanjangan. Sebagaimana kesihatan fizikal, emosi juga perlu sentiasa dijaga dan dirawat supaya ianya tak membawa kepada kesakitan mental yang kronik. Antara cara yang boleh dilakukan untuk menangani masalah ini ialah :-

1. MENJAGA KESIHATAN DIRI dengan sebaik mungkin. Bertenang, bersenam, mengekalkan diet yang seimbang serta mendekati orang-orang yang bersikap positif boleh membantu menceriakan diri dan menonjolkan potensi diri kita yang sebenar.

2. TUMPUKAN PEMIKIRAN KEPADA PERKARA-PERKARA YANG POSITIF. Jangan terlalu memikirkan perkara-perkara negatif kerana ini akan menyebabkan anda menjadi semakin murung dan tertekan. Jika anda sentiasa melihat sesuatu dari sudut yang positif, ia akan merangsang usaha dan menjadikan anda seorang yang optimis dan sentiasa nampak akan pelaung-peluang yang menanti di hadapan.

3. LUPAKAN KISAH SILAM yang melukakan hati anda. Masa akan terbuang begitu sahaja kerana sibuk memikirkan perkara yang dah berlalu yang anda dah tak berupaya untuk mengubahnya lagi. Menoleh kebelakang akan hanya menyukarkan kita untuk bergerak ke hadapan,kan? Oleh itu, pandanglah ke hadapan untuk masa depan yang lebih positif dan lebih bermakna.

4. BERTANGGUNGJAWAB KE ATAS KEHIDUPAN SENDIRI. Jangan suka menyalahkan orang lain atas nasib yang menimpa anda pada hari ini. Anda seharusnya bertanggungjawab ke atas kehidupan anda sendiri dan pilihan-pilihan yang telah anda lakukan. Menyalahkan orang lain akan hanya menyebabkan anda rasa marah dan kecewa dan ini pasti akan memberi impak kepada kesihatan emosi anda.

5. BERSYUKURLAH DENGAN APA YANG ADA dalam kehidupan anda terutamanya, dengan keluarga anda, kawan-kawan, anak-anak, pekerjaan dan sebagainya. Berterima kasihlah dengan mereka yang bertanggungjawab dengan segala kejayaan dan pencapaian anda kerana tanpa doa dan usaha mereka, anda mungkin tak dapat mengecap kenikmatan ini.

6. MEMPUNYAI SAHABAT YANG BOLEH DIPERCAYAI. Kita insan biasa yang perlukan seseorang yang boleh menyokong dan mengambil berat tentang diri kita. Cari seorang sahabat yang anda percaya yang sanggup bersama anda diwaktu susah dan senang, seseorang yang boleh berlaku jujur dengan segala apa pandangan dan perasaan yang anda alami.

7. TUTURKAN KATA-KATA POSITIF kerana ianya boleh mempengaruhi tindakan dan keyakinan terhadap diri sendiri. Perkataan-perkataan positif ini boleh merangsang kita untuk berusaha lebih baik pada setiap masa.

8. BERSEDIA UNTUK MEMAAFKAN ORANG LAIN. Kajian perubatan menunjukkan bahawa sekiranya kita sukar memaafkan orang lain, ia akan membawa kesan serius kepada kesihatan emosi. Ia ibarat barah yang boleh merebak sepanjang perhubungan kita dengan orang berkenaan dan adakalanya boleh membawa kepada kematian.

9. BUATLAH PILIHAN YANG BIJAK. Kehidupan adalah tentang membuat pilihan. Apa sahaja yang berlaku pada kita hari ini adalah akibat dari pilihan-pilihan yang telah kita buat pada masa lalu. Misalnya dari segi pasangan hidup, kerjaya dan cara hidup. Adalah penting bagi kita untuk mendapat khidmat nasihat yang sewajarnya bagi membantu kita membuat pilihan yang tepat dengan diri kita.

10. SENTIASA MEMBUAT PERANCANGAN. Kita perlu merancang apa jua perkara penting dalam hidup ini supaya kita boleh melaksanakannya dengan lancar kerana telah membuat persiapan yang rapi dari segi mental dan fizikal. Sekiranya tidak kesampaian apa yang dihajati, kita kena sentiasa ada Pelan B atau pelan alternatif sebagai mengganti perancangan yang asal tadi. Pelan B ini akan jadi penawar dan dapat mengurangkan rasa kecewa. Ibarat kata pepatah "Sekiranya tiada rotan, akar pun berguna juga". Percayalah bahawa "Setiap yang berlaku tu, adalah hikmah disebaliknya". Sekiranya kita berpegang kepada pendirian ini, insyallah, jiwa tak tertekan, emosi pun akan sihat...!

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin