Isnin, Jun 01, 2009

Ilmu Pemangkin Kemajuan Bangsa


Pernah tak tertanya-tanya? Kenapa ada bangsa jauh lebih maju dari yang lain? Maju di sini maksudnya dari segi teknologi, daya pemikiran, kreativiti, daya inovatif, dsb. Semuanya berpunca dari kesungguhan bangsa berkenaan terutamanya, dari segi penguasaan ilmu. Sejarah telah membuktikan bahawa kecemerlangan ketamadunan sesebuah bangsa adalah berkait rapat dengan pencapaian bangsa berkenaan dalam penguasaan ilmu dan kemahiran mereka dalam bidang sains dan teknologi. Ilmu sejak dari dulu lagi dah jadi pemangkin kepada kemajuan bangsa cuma dengan cara dan pendekatan yang berbeza.

Cuba hayati sejarah penjajahan. Bagaimana bangsa Anglo Saxon seperti British, Belanda, Portugis dan Sepanyol mampu menerokai dan menjajah bangsa lain yang jauh lebih besar dari segi saiz wilayah dan kependudukannya. Apa yang mereka ada tetapi kita tidak? Sudah pasti puncanya sekali lagi ialah ILMU. Dengan ilmu, bangsa Anglo Saxon dari Eropah ini mampu menjajah dengan teknologi perkapalan, navigasi pelayaran serta pensenjataan yang jauh lebih canggih dari penduduk tempatan. Teknologi secanggih itu takkan mampu dicipta tanpa kecintaan terhadap ilmu yang tinggi yang diransang kuat oleh sifat ketekunan, kesungguhan serta daya kreativiti yang berinovatif. Sifat agresif serta rasa ingin tahu turut menyumbang kepada keupayaan inovatif pada waktu itu sehingga banyak melahirkan ciptaan-ciptaan baru yang mempelopori teknologi canggih yang wujud pada hari ini.

Cuma bukan sikap menjajah itu yang hendak ditekankan disini, apa yang lebih penting ialah contohilah sifat-sifat positif yang meransang kepada daya kreativiti dan inovatif itu. Kita takkan selamanya menjadi negara pengguna semata-mata, tetapi kita perlu bangkit sebagai bangsa yang mencipta sendiri teknologi. Akar umbinya tetap bertitik tolak dari sejauhmanakah bangsa kita sanggup meletakkan penguasaan ilmu sebagai satu keutamaan dalam hidupnya. Sekiranya pencarian ilmu menjadi keutamaan atau prioriti majoriti penduduk negara ini, insyaallah, kita takkan bertanya lagi sebab musabab bangsa lain boleh maju sehingga boleh mendominasi nilai pemikiran sejagat ini, kerana tindakan serta usaha selanjutnya bergantung kepada diri kita sendiri.

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin