Ahad, Disember 20, 2009

.....dan sebenarnya


......dan sebenarnya, kata-kata yang diucapkan terlalu kerap boleh menyusutkan nilai maksudnya. Pengucapan yang dah terlalu biasa didengar ini akhirnya jadi tak lebih dari satu tabiat yang dilakukan sekadar memenuhi jadual harian anda saja.

Misalnya, apabila kita terlalu kerap menyatakan kata sayang dan cinta kepada orang-orang yang anda sayangi, ia dah jadi terlalu routine dan sekadar melepas batuk ditangga sekiranya ianya tidak diberikan penghayatan sewajarnya kepada emosi sentimental ini. Apa yang lebih bermakna ialah apabila perasaan ini dapat dizahirkan melalui perbuatan yang membuktikan kasih sayang anda itu.

Ada beberapa cara yang boleh anda lakukan tanpa perlu meluahkan kasih dan sayang ini melalui kata-kata ;-

1. Sentiasalah berada di sisi mereka dan mendengar segala keluhan atau apa jua yang ingin mereka luahkan. Sememangnya, setiap orang memerlukan seseorang untuk mereka bercerita dan berkongsi masalah atau pun perasaan. Tiada siapa yang lebih baik dan sesuai selain dari orang-orang yang anda sayangi ini, bukan? Tunjukkan minat anda terhadap apa yang mereka perkatakan. Sekiranya tidak mampu memberi cadangan, sekurang-kurangnya berikan perhatian agar mereka tak merasa keseorangan dalam menghadapi masalah berkenaan.

2. Jadilah orang yang boleh mereka harapkan walau pun atas perkara-perkara yang remeh dan kurang penting. Adalah penting bagi pasangan anda untuk merasakan bahawa anda seorang yang bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh dalam perhubungan ini.

3. Jangan bersifat menghakim (judgemental) dan cuba elakkan diri dari memberi komen-komen yang berunsur sindiran terhadap sifat atau kelakuan pasangan anda yang tidak anda senangi. Gunakan perkataan yang lebih berhemah dan tidak menyinggung perasaan mereka. Adakalanya, terlalu berterus terang di anggap kurang sopan dan biasanya akan menimbulkan perselisihan faham. Bertutur dengan kata-kata yang lembut dan manis bukan saja akan berjaya mengubah sifat buruk yang tidak anda senangi tadi, malah akan meningkatkan kasih sayang anda berdua.

4. Habiskan masa berkualiti bersama. Bawalah mereka ke tempat-tempat menarik yang membolehkan anda melakukan aktiviti bersama pada hujung minggu.

5. Sayangilah mereka dengan sepenuh hati dengan melakukan perkara-perkara yang menyerlahkan perasaan anda ini. Apabila perasaan sayang ini ditonjolkan melalui perbuatan, dengan sendirinya rasa kasih dan sayang itu dapat dirasai walau pun tanpa ucapan dimulut. Ia bukan saja membahagiakan mereka malah dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Sabtu, Disember 19, 2009

Belajar untuk memaaf dan melupakan


Kadangkala sukar betul nak memaafkan kesalahan orang lain, kan? Bila ada yang menyinggung perasaan kita ataupun buat sesuatu yang kita tak suka, memang berat betul rasanya nak melupakan saja apa yang telah berlaku..

Biar apa pun, belajar untuk memaafkan orang lain adalah untuk kebaikan diri kita sendiri juga sebenarnya. Ia juga harus datang dari keikhlasan dan kerelaan hati. Sedangkan Nabi sendiri ampunkan umatnya, kan? Oleh itu, anda perlu memaafkan, walau apa pun..Jika tidak, anda sendiri yang akan terus menderita sedangkan insan berkenaan sedikit pun tidak merasa apa-apa, malah terus bahagia dengan kehidupannya seperti biasa.

Jangan suka mengingat atau mengulang tayang insiden-insiden yang menyinggung perasaan anda itu kerana akhirnya, anda sendiri yang akan merasa tertekan kerananya. Kenapa biarkan orang lain memainkan emosi anda sebegitu rupa? Belajar untuk memaaf dan melupakan itu tidak bermakna anda membiarkan kepala anda dipijak tanpa dapat berbuat apa-apa pun ke atasnya. Memaafkan bermaksud menyerahkan kesalahan orang lain itu di tangan Tuhan untuk diadili dengan balasan yang setimpal. Apa yang perlu anda lakukan ialah meneruskan kehidupan anda seperti biasa demi masa depan anda. Anda tak perlu membuang masa untuk memikirkan bagaimana anda perlu membalas balik perbuatan yang telah dilakukannya kepada diri anda itu.

Belajar untuk memaaf dan melupakan bukan suatu proses yang mudah tapi anda perlu bertekad yang anda perlu melakukannya dan terus memulakan proses penyembuhan ini. Cuba lakukan perkara-perkara di bawah ini untuk belajar memaaf dan akhirnya melupakan terus segala perkara yang menyinggung perasaan anda itu :-

* Pertimbangkan bahawa insan berkenaan mungkin telah mengalami isu-isu atau pengalaman yang menyedihkan di masa lampau yang mungkin mempengaruhi tindak tanduk perlakuannya terhadap diri anda.

* Berdoa ke hadrat Illahi agar dosanya di ampunkan. Membuka hati anda boleh i langkah pertama untuk bersedia untuk memaafkan.

* Buat sesuatu yang baik kepada insan berkenaan. Walau pun ini agak sukar, namun ia tak semestinya sesuatu yang berat untuk dilakukan. Anda mungkin boleh membelikannya secawan kopi; walaupun dia akan menolaknya sekiranya dia merasa bersalah! Ini boleh menjadi pembuka jalan untuk anda memaafkan dan juga untuk insan berkenaan memohon maaf daripada anda. Bagaimana pun, sekiranya anda tidak menerima kata kemaafan darinya, sekurang-kurangnya anda telah mencuba dan menjalankan tanggungjawab anda dengan sebaiknya. Anda perlu meneruskan kehidupan anda seperti biasa..

* Sekiranya anda merasa sukar untuk memaafkan, anda perlu mendapatkan khidmat kaunseling.

* Aromaterapi merupakan cara alternatif yang perlu untuk membebaskan trauma emosi ini dan merangsang suasana yang kondusif bagi proses memaaf dan melupakan ini. Ia boleh membantu anda memasukkannya dalam kerangka minda anda itu.

* Imbas kembali pengalaman anda di masa lampau. Fikirkan saat-saat di mana anda juga pernah melakukan kesalahan dan bilamana orang lain bersedia memaafkan anda. Tak kiralah betapa besar pun perkara itu, kerana perkara yang mungkin kecil di mata anda itu mungkin membawa makna yang besar pula kepada orang yang lain, malah lebih dari apa yang anda sangkakan.

Belajar untuk memaafkan bukan satu tugas yang mudah, tetapi anda boleh belajar memaaf dan melupakan........hanya dengan kerelaan hati anda sendiri....Tidakkah anda sendiri mahu diri anda dimaafkan oleh orang lain?

Ahad, Disember 13, 2009

Anehnya realiti kehidupan


Realiti kehidupan ini sememangnya aneh! Fikirkanlah...Adakah anda sedar bahawa semakin banyak bangunan tinggi-tinggi dibina pada masa kini, semakin pendek pulak akal manusia ini. Contohnya bila berhadapan dengan masalah, cepat benar nak melenting atau panas baran tak menentu. Mengapa cepat sangat membuat persepsi negatif terhadap sesuatu itu tanpa mempertimbangkan secara halus dan terperinci?

Dan bila semakin luas jalan serta lebuhraya dibina, semakin sempit pulak daya pemikiran manusia tentang pelbagai perkara. Mudah sangat membuat generalisasi tanpa usul periksa. Tidak pernah sekali mahu melihat apa yang berada "di luar kotak". Tidak mahu langsung memikirkan sesuatu perkara baru yang mungkin jauh lebih baik dari yang dulu. Sukar betul nak menerima idea orang lain yang tidak sealiran semata-mata nak jaga ego dan ketaksuban terhadap bidang keilmuan masing-masing!

Anehnya juga, dalam kita mewah berbelanja, mengapa hidup ini masih ditakuk lama? Nampak macam beli banyak, tapi kenapa nikmat kegunaan atau faedahnya masih tidak dapat dirasai..? Rumah pulak makin banyak yang besar-besar bagai istana, tapi kenapa ahli keluarga yang menghuninya tak pulak ramai? Kadang-kadang, hanya tinggal pembantu rumah saja di dalamnya kerana tuan rumah terlalu sibuk dengan pelbagai urusan di luar rumah.

Apa gunanya ijazah berkeping-keping, tapi kurang daya berfikir? Ramai yang mengaku berpengetahuan, tapi malangnya, mereka kurang wajar dari segi pertimbangan akal. Tidak hairan lah kalau kita dapati walau pun golongan cerdik pandai makin ramai, tapi pelbagai masalah lain pulak yang timbul. Begitu juga dengan semakin banyak ubat-ubatan dicipta, semakin ramai pulak yang kurang sihat dengan pelbagai wabak penyakit baru!

Yang menyedihkan, dalam keadaan kita semakin mewah dan berharta ini, nilai-nilai murni dan harga diri pulak semakin kurang. Semakin banyak kita bercakap dan berkomunikasi, semakin luntur pulak nilai kasih sayang. Sebaliknya, rasa kebencian pulak yang makin meluap-luap di sana sini. Kita ini sebenarnya banyak sangat belajar tentang cara-cara bagaimana nak hidup, tetapi bukan pada erti kehidupan itu sendiri! Akhirnya kita dapati bahawa dalam pada umur kita yang semakin meningkat ini, kehidupan itu pulak menjadi semakin tidak bermakna! Aneh...!

Biar pun dah berulang alik manusia ke bulan, masih ramai jugak yang susah benar nak menjenguk jiran tetangga yang hanya di seberang jalan sana, untuk bertanya khabar! Kita dah menguasai angkasa tapi tidak di muka bumi ini. Kita bersihkan udara, tapi mencemarkan jiwa. Dalam pada kita dah mampu menguasai atom, kita masih gagal menghapuskan rasa prasangka pada orang lain. Kita banyak menulis, tapi masih kurang belajar. Merancang memang banyak, tapi pencapaiannya bagaimana pulak? Kita belajar cara bertindak pantas tapi tak belajar pulak cara bagaimana nak menunggu dengan sabar.

Dalam kemewahan hidup dimana suami dan isteri bekerja, kita dapati kadar perceraian semakin tinggi jugak. Rumah besar dan mewah, tapi tiada kebahagian malah ada yang berantakan bila anak-anak kehilangan arah tanpa bimbingan sewajarnya. Dalam masa yang sama jugak, pelbagai ubat-ubatan dicipta untuk kesejahteraan manusia, dari mengawal bentuk badan sehinggalah kepada pil pelbagai guna yang boleh buat kita gembira, diam ataupun mati!

Begitulah keanehan realiti kehidupan,....Sekadar ingatan :-

1. Luangkanlah masa untuk orang-orang yang dikasihi, kerana mereka takkan selamanya berada disisi kita.

2. Peluklah mereka erat-erat kerana ini sangat berharga dan merupakan satu-satunya khazanah yang mampu kita berikan dengan seikhlas hati. Tambahan pulak ia adalah percuma dan tak perlu mengeluarkan belanja!

3. Katakan "Aku sayang kamu' kepada pasangan anda dan orang-orang yang anda kasihi, dan katakanlah dengan seikhlas hati. Ciuman dan pelukan mampu menyembuh kelukaan hati sekiranya diucapkan sejujurnya dari lubuk hati.

4. Pegang tangan seerat-eratnya dan nikmati waktu bersama ini sebaik mungkin, kerana saat-saat sebegini takkan berulang kembali bila sampai masanya nanti. Berikan masa untuk cinta, kasih dan sayang, dan berikanlah masa untuk berkongsi idea dan pemikiran yang ada di dalam minda masing-masing sebelum semuanya berlalu ditelan masa...

Sabtu, Disember 12, 2009

Hapuskan tabiat buruk


Ramai dari kita sebenarnya menderita akibat tabiat buruk masing-masing, kan? Misalnya, tabiat suka melengah-lengahkan kerja menyebabkan kita sukar mencapai prestasi kerja yang diinginkan. Apa kata kalau kita hapuskan saja tabiat buruk ini kepada sesuatu yang lebih produktif, kerana sebenarnya tabiat manusia ini bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk di ubah. Yang pentingnya, kita sedar akan bahayanya dan cuba sedaya upaya untuk mengubahnya walau apa pun. Tekad dan keinginan seseorang untuk berubah boleh membantu.

Usaha ini boleh dilakukan dengan bantuan tiga dimensi penting ini :-

- Pengetahuan
- Kemahiran
- Keinginan

Terdapat 4 langkah penting untuk merealisasikan usaha penghapusan ini :-

Langkah 1


Kenal pasti tabiat buruk berkenaan. Misalnya tabiat sukar bangun pagi, sentiasa terlajak dan membiarkan jam loceng anda berdering-dering begitu saja. Walau pun nampak remeh, tapi ini adalah antara tabiat buruk yang sukar untuk ditangani kerana ia biasanya berakar umbi sejak zaman kanak-kanak. Ia berkaitan dengan disiplin diri dan rasa tanggungjawab seseorang terhadap kehidupannya sendiri. Masalahnya ialah tabiat ini menyebabkan kita hidup di dalam kerugian kerana banyak punca rezeki terdapat pada waktu awal pagi. Sekiranya kita terlewat bangun, pasti banyak peluang akan terlepas begitu saja.

Langkah 2

Siasat mengapa anda sukar sangat nak bangun pagi ini. Kenal pasti apakah faktor-faktor yang menyumbang kepada tabiat buruk ini. Pengetahuan adalah paradigma teoritikal tentang apa yang perlu dibuat dan mengapa ianya perlu dilakukan. Ia dirangsang oleh motivasi diri terhadap sesuatu keinginan.

Langkah 3

Bagaimanakah
caranya untuk menyesuaikan diri dengan tabiat buruk ini. Misalnya, bagi kes bangun lambat tadi, anda perlu mengunci jam pada masa yang sama setiap malam dan ubah posisi jam supaya berada jauh dari jangkauan tangan anda. Pola kelakuan juga perlu berubah supaya ia akan menghasilkan sesuatu yang positif.

Langkah 4

Tanya diri anda sendiri apakah sebenarnya motivasi diri ini. Anda perlu menyemarakkan rangsangan dan keinginan untuk berubah. Bagi kes bangun tidur lambat tadi, anda mungkin perlu memainkan lagu kegemaran anda yang berirama rancak pada setiap awal pagi. Selain ini, apa saja kuasa pendorong boleh menjadi penggerak awal kepada usaha menghapuskan tabiat buruk ini.

Bagi menghapuskan terus tabiat buruk, anda perlu berusaha dalam kesemua tiga dimensi ini tadi.

Pengetahuan - Apa yang perlu dibuat?
Kemahiran - Bagaimana melakukannya? Bagaimanakah cara yang paling praktikal dan berkesan?
Keinginan - Bagaimana nak mewujudkan rasa "mahu" untuk melakukannya?

Oleh itu, pilih satu tabiat yang sentiasa membataskan anda untuk mencapai potensi diri anda yang sebenar. Berusahalah secara konsisten dan pro aktif selama 30 hari untuk menghapuskan tabiat buruk berkenaan. Selepas 30 hari berlalu, kaji semula kemajuan anda setakat itu. Sekiranya anda telah berusaha keras dalam ketiga-tiga dimensi itu tadi dalam masa 30 hari, insyaallah anda dapat menghapuskan tabiat buruk itu dan berupaya menggantikannya dengan tabiat baru yang lebih produktif dan berkesan.

Ahad, November 29, 2009

Budayakan keghairahan diri


Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih...Begitulah pepatah Melayu yang menggambarkan tentang keghairahan seseorang dalam mencapai apa jua impiannya. Keghairahan merupakan satu tenaga luar biasa yang mampu menonjolkan potensi diri sebenar seseorang itu. Ia di rangsang oleh inspirasi, fokus serta minat yang mendalam terhadap sesuatu perkara itu. Keghairahan yang dimiliki inilah yang akhirnya membezakan seorang yang terbukti cemerlang berbanding dengan mereka yang "biasa-biasa" saja. Ia terdapat dalam pelbagai lapangan kehidupan misalnya, politik, sukan, perniagaan, hiburan atau apa saja.Kita dapati bahawa tiada siapa pun akan capai ke kemuncaknya tanpa keghairahan untuk melakukan sesuatu itu. Sejarah sendiri membuktikan bahawa tiada apa-apa pencapaian besar berlaku dalam ketamadunan manusia tanpa usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh dari semua pihak yang terlibat pada masa itu.


Keghairahan sebagai pemangkin kepada kecemerlangan


Halangan besar kepada pencapaian seseorang sebenarnya bukan terletak kepada bakat, tetapi sebaliknya kekurangan daya usaha dan kesungguhan. Terdapat orang yang ambil mudah kepada masa depan serta peluang-peluang yang ada didepan mata. Tidak semua melihat hala tuju dan perancangan dalam kehidupan ini sebagai satu keutamaan yang perlu di berikan perhatian yang serius. Keghairahan lahir dari rasa percaya kepada sesuatu perkara itu. Pertamanya, kita kena percaya pada diri kita sendiri..Sekiranya kita memandang rendah kepada kebolehan kita sendiri, sudah pastilah kita takkan bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara. kan?

Satu kesilapan besar manusia ialah apabila kita selalu memandang rendah kepada kebolehan serta potensi yang ada pada diri. Rendah diri biarlah bertempat! Ini bukannya masa untuk berdolak dalih dengan seribu satu alasan semata-mata kerana takut pada bayang-bayang sendiri! Pada hakikatnya, manusia ini tidak sama secara biologikalnya, kan? Tiada siapa pun yang mempunyai DNA, cap jari ataupun suara yang sama identikal nya 100% dengan kita! Kita dilahirkan dengan pakej yang tersendiri, yang sekiranya digilap boleh menghasilkan sesuatu yang kita sendiri tidak sedari akan potensinya. Selain itu, kita juga perlu percaya kepada misi kita sendiri. Apa tanggungjawab yang perlu kita mainkan kepada agama, masyarakat dan negara tercinta?

Keghairahan akan membunuh sikap yang suka berlengah-lengah

Sikap berlengah-lengah adalah musuh utama kepada pencapaian sesuatu matlamat. Ia membunuh usaha dan mengakibatkan kejumudan tindakan! Bagaimanapun, kesungguhan boleh merangsang tindakan apabila adanya minat kepada tugas yang bakal dilakukan itu.

Keghairahan boleh mengekalkan kuasa dan tenaga

Setiap tugas mempunyai cabaran-cabaran yang tersendiri. Kesungguhan memberikan tenaga ekstra yang luar biasa untuk masa-masa membosankan ini. Keupayaan untuk berhadapan dan bertahan dengan cabaran ini tanpa menghilangkan daya usaha dan kesungguhan adalah tunggak kepada pencapaian matlamat.

Keghairahan boleh berjangkit

Tiada virus yang berjangkit dengan mudah sebagaimana daya keghairahan ini.Ia seolah magnet yang mampu mempengaruhi orang lain untuk mempunyai keghairahan yang sama dengan kita. Jika kita perhatikan,kita biasanya tidak menjadi pengikut kepada mereka yang sarat dengan idea-idea baru, tetapi kita lebih terpengaruh dengan orang-orang yang mempunyai keghairahan, dinamik dan bersikap positif. Karisma yang dimantapkan dengan keghairahan akan berupaya menarik lebih ramai pengikut setia dalam apa jua bidang pun.

Cara terbaik untuk membudayakan keghairahan dalam hidup ini ialah dengan sentiasa bertindak bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara tanpa mengira masa dan keadaan. Biar betapa sukar pun keadaan yang dihadapi, lihatlah secara positif akan segala peluang dan kemungkinan yang ada dihadapan kerana segalanya pasti ada. Apabila ia jelas didepan mata, maka dengan sendirinya keghairahan itu akan merangsang pencapaiannya. Keghairahan akan sentiasa tumbuh selaras dengan jangkaan kita. Semakin tinggi jangkaan kita terhadap sesuatu perkara itu, maka semakin ghairah kita untuk mencapainya. Jauhilah diri dari mereka yang pasif dan sentiasa melihat sesuatu dari sudut yang negatif, kerana mereka ini sering menekankan kepada masalah yang bakal melemahkan keghairahan anda dalam melakukan sesuatu itu. Sebaliknya dekati mereka yang berfikiran positif, yang sentiasa berupaya memudahkan keadaan walau sesukar mana pun cabaran yang mendatang.....!

Sabtu, Oktober 31, 2009

Membina Keyakinan Diri


Keyakinan diri merupakan aset berharga yang boleh memberikan impak yang besar kepada persepsi orang lain terhadap potensi diri anda. Ada orang terpaksa berjuang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keyakinan diri ini. Keadaan sebegini boleh berlaku disebabkan oleh pengalaman lalu di zaman kanak-kanak, tekanan yang melampau, masalah kesihatan dan rasa rendah diri yang menghantui anda. Bahayanya ialah, apabila tahap keyakinan diri seseorang itu jatuh, maka agak sukar untuk mendapatkannya kembali kerana rasa rendah diri ini akan menyukarkan proses pembinaan semula ini berlaku.

Bagaimana pun, terdapat beberapa cara yang boleh membantu pembinaan semula keyakinan diri ini. Jika anda berhadapan dengan masalah ini maka anda perlu :-

1. Mengubah cara berfikir

Tahap keyakinan diri yang rendah akan menghambat keinginan kita untuk maju dengan menghalang kita dari terus mencuba. Kepercayaan kepada diri dan pengalaman lalu boleh membawa kepada pemikiran positif terhadap diri dan keupayaan sendiri. Jadikan pengalaman pahit di masa lalu sebagai pengajaran di masa akan datang. Hadapilah kenyataan bahawa anda tidak perlu merujuk kepada pengalaman lalu untuk menentukan masa depan anda.Anda perlu lihat semua cabaran yang dihadapi dari sudut yang positif.

2. Melupakan saja kesilapan yang lalu

Satu perkara yang perlu anda sedari ialah kepercayaan terhadap diri anda sendiri sebenarnya berakar umbi dari masa silam anda. Kini anda perlu memandang ke hadapan dan terus melangkah jauh. Anda perlu :

- Tulis 3 kepercayaan anda yang anda rasa telah menjejaskan keyakinan diri anda (Contohnya : Aku rasa diri aku hodoh).

- Tulis 3 kepercayaan yang anda rasa boleh meningkatkan keyakinan diri, keupayaan dan pemikiran positif tentang diri anda. (Contohnya : Aku suka dengan paras rupa aku ini).

- Sekarang buat senarai apa yang perlu dilakukan untuk mengubah kepercayaan negatif itu tadi kepada positif. Contohnya :

• Aku perlu ubah gaya rambut aku.
• Aku akan mula memakan makanan yang berkhasiat dan bersenam setiap hari.
• Aku akan beli pakaian baru yang kebih bergaya.
• Aku akan lebih banyak menghabiskan masa dengan kawan-kawan yang selalu menghargai dan suka akan penampilan aku.

Ini sangat membantu kerana kebanyakan perkara yang ada dalam senarai ini boleh dicapai. Yang pentingnya, perubahan yang nak dibuat itu adalah jelas dan terperinci kerana ini akan membantu anda untuk merancang langkah-langkah praktikal yang seterusnya di masa akan datang.

Apabila melaksanakan segala usaha ini, adalah penting bagi anda untuk merancang jangka masa yang bersesuaian dengan kemampuan diri anda untuk mencapainya. Sekiranya anda meletakkan sasaran masa yang tidak realistik, anda sebenarnya merancang kegagalan anda, dan ini sudah pasti tidak membantu anda meningkatkan keyakinan diri! Cuba usahakan satu demi satu mengikut keutamaannya. Percayalah bahawa akan mencapai sasarannya , walau apa pun halangan atau cabarannya.

3. Bayangkan diri anda yang lebih berkeyakinan


Kuasa daya pemikiran anda sebenarnya mampu mengubah kehidupan anda. Minda adalah alat berkuasa yang anda perlu gunakan secara tepat dan bijak bagi membuat perubahan yang menakjubkan pada diri anda. Bagi mencapai tujuan ini, anda perlu :

- cari tempat yang selesa dan sunyi untuk duduk dan berehat.
- tutup mata dan ambil nafas sedalam-dalamnya.
- bayangkan diri anda yang berkeyakinan. berada di tempat yang anda telah biasa, misalnya, di pejabat, di dewan kuliah atau dimana saja.
- tumpukan perhatian kepada bagaimana berkeyakinannya diri anda tadi ; cara anda bergaul, cara anda berbual dengan orang lain? Apa yang anda pakai? Perhatikan mimik muka dan kesantunan anda tadi. Biarkan diri anda menyerap segala perubahan ini dalam masa beberapa minit untuk mendapatkan diri anda yang lebih berkeyakinan.

Khamis, Oktober 15, 2009

Multi Gaya Jamuan Raya

Jamuan Raya di kampung =>>



Jamuan Raya Jabatan =>>






Jamuan Raya di rumah sendiri =>>






Jamuan Raya di rumah pelajar ;>>







Jamuan Raya Fakulti





Ahad, September 27, 2009

Kenangan Aidilfitri 2009

Hari Raya Pertama : 20hb. Sept. 2009 (Ahad)

Macam biasa, pagi raya selepas sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri, ada sesi bergambar bersama keluarga di Sg. Siput (U), Perak =>>

1. Keluarga besar



2. Keluarga sendiri



3. Permata hati tercinta



Lepas tu, macam biasa jugak, sesi bermaaf maafan, 0 - 0 (kosong-kosong)! ;-) =>>




Menziarahi pusara arwah ayah tercinta, Haji Bakri Alang Bee....Al Fatihah....=>>





Seperti biasa juga, bertemu sahabat lama, Faridah di sini =>>



Pergi beraya ke kampung halaman di Sayong, Kuala Kangsar =>>



Mula-mula ke rumah arwah Ayah Ngah, untuk menziarahi Mak Ngah dan sepupu-sepupu kami sebelah arwah ayah : Bedah dan Zurina =>>



Lepas tu, ke rumah sepupu sulung kami, Abang Pijun (duduk paling kanan dalam gambar ni) =>>




Bersama sepupu-sepupu : Zurina (dua dari kanan) dan Bedah (duduk paling kanan)=>>



Hari Raya Kedua : 21 hb. Sept. 2009 (Isnin)


Beraya di Lenggong, Perak (kampong halaman suami)

Di rumah Abang Anuar (abang ipar)



Di hadapan rumah Zaida di Kpg Pechah Batu, Lenggong =>>



Berkelah di Taman Nur Lembah, Lenggong, di tepian Sungai Perak =>>









Hari Raya Ketiga : 22hb. Sept. 2009 (Selasa)

Beraya di Taiping

Menginap di Hotel Seri Malaysia. Tak sangka dapat bilik sebesar ini! Sebenarnya ini adalah Dewan Seminar yang telah di ubah suai menjadi bilik penginapan kami malam itu... =>>=>>



Bila dah namanya Dewan Seminar, sudah pastilah bilik ini ada kelengkapan LCD dan skrin besar! Jadi, kami dapat tengok wayang free lah malam tu.......=>>



Bersiaran di Taman Tasek Taiping =>>




Mengimbau kenangan di sekolah lama, Treacher Methodist Girls' School @ TMGS, yang penuh bersejarah =>>




Di rumah Azian @ Kampong Expo Tambahan



Reunion dengan Najmi, Azian dan Azila di apartment Azian @ Bukit Merah Laketown Resort =>>



Reunion di rumah Zuraidah @ Kampong Boyan



Hari Raya Keempat : 23hb. Sept. 2009 (Rabu)

Menghadiri kenduri tahlil di rumah Yeop @ Alor Setar, Kedah, bersama dengan Kak Yong dan Masliyana =>>



Beraya di rumah Auntie Jam @ Prai =>>



Hari Raya Kelima : 24hb. Sept. 2009 (Khamis)


Naik feri ke Pulau Pinang =>>





Bergambar di Taman Kota Lama bersama keluarga Sufian, kawan suami



Beraya di rumah Azila @ Bukit Mertajam =>>



Makan laksa di Kuala Kangsar =>>





Hari Raya Ke Enam : 25hb. Sept. 2009

Di akhiri dengan sambutan hari lahir Aizat yang ke 23 tahun di rumah Wan Chu Yan (adik ipar) di Taman Sri Gombak =>>





Pendek kata, Aidilfitri 2009 ni memang best, sebab dapat menziarahi sanak saudara dan kawan-kawan lama, sambil "Cuti-cuti Malaysia" bersama keluarga tercinta. Bukan senang nak dapat peluang macam ni, kan? ;-)

Blog Widget by LinkWithin