Ahad, Disember 20, 2009
.....dan sebenarnya
......dan sebenarnya, kata-kata yang diucapkan terlalu kerap boleh menyusutkan nilai maksudnya. Pengucapan yang dah terlalu biasa didengar ini akhirnya jadi tak lebih dari satu tabiat yang dilakukan sekadar memenuhi jadual harian anda saja.
Misalnya, apabila kita terlalu kerap menyatakan kata sayang dan cinta kepada orang-orang yang anda sayangi, ia dah jadi terlalu routine dan sekadar melepas batuk ditangga sekiranya ianya tidak diberikan penghayatan sewajarnya kepada emosi sentimental ini. Apa yang lebih bermakna ialah apabila perasaan ini dapat dizahirkan melalui perbuatan yang membuktikan kasih sayang anda itu.
Ada beberapa cara yang boleh anda lakukan tanpa perlu meluahkan kasih dan sayang ini melalui kata-kata ;-
1. Sentiasalah berada di sisi mereka dan mendengar segala keluhan atau apa jua yang ingin mereka luahkan. Sememangnya, setiap orang memerlukan seseorang untuk mereka bercerita dan berkongsi masalah atau pun perasaan. Tiada siapa yang lebih baik dan sesuai selain dari orang-orang yang anda sayangi ini, bukan? Tunjukkan minat anda terhadap apa yang mereka perkatakan. Sekiranya tidak mampu memberi cadangan, sekurang-kurangnya berikan perhatian agar mereka tak merasa keseorangan dalam menghadapi masalah berkenaan.
2. Jadilah orang yang boleh mereka harapkan walau pun atas perkara-perkara yang remeh dan kurang penting. Adalah penting bagi pasangan anda untuk merasakan bahawa anda seorang yang bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh dalam perhubungan ini.
3. Jangan bersifat menghakim (judgemental) dan cuba elakkan diri dari memberi komen-komen yang berunsur sindiran terhadap sifat atau kelakuan pasangan anda yang tidak anda senangi. Gunakan perkataan yang lebih berhemah dan tidak menyinggung perasaan mereka. Adakalanya, terlalu berterus terang di anggap kurang sopan dan biasanya akan menimbulkan perselisihan faham. Bertutur dengan kata-kata yang lembut dan manis bukan saja akan berjaya mengubah sifat buruk yang tidak anda senangi tadi, malah akan meningkatkan kasih sayang anda berdua.
4. Habiskan masa berkualiti bersama. Bawalah mereka ke tempat-tempat menarik yang membolehkan anda melakukan aktiviti bersama pada hujung minggu.
5. Sayangilah mereka dengan sepenuh hati dengan melakukan perkara-perkara yang menyerlahkan perasaan anda ini. Apabila perasaan sayang ini ditonjolkan melalui perbuatan, dengan sendirinya rasa kasih dan sayang itu dapat dirasai walau pun tanpa ucapan dimulut. Ia bukan saja membahagiakan mereka malah dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan