Sabtu, Disember 19, 2009

Belajar untuk memaaf dan melupakan


Kadangkala sukar betul nak memaafkan kesalahan orang lain, kan? Bila ada yang menyinggung perasaan kita ataupun buat sesuatu yang kita tak suka, memang berat betul rasanya nak melupakan saja apa yang telah berlaku..

Biar apa pun, belajar untuk memaafkan orang lain adalah untuk kebaikan diri kita sendiri juga sebenarnya. Ia juga harus datang dari keikhlasan dan kerelaan hati. Sedangkan Nabi sendiri ampunkan umatnya, kan? Oleh itu, anda perlu memaafkan, walau apa pun..Jika tidak, anda sendiri yang akan terus menderita sedangkan insan berkenaan sedikit pun tidak merasa apa-apa, malah terus bahagia dengan kehidupannya seperti biasa.

Jangan suka mengingat atau mengulang tayang insiden-insiden yang menyinggung perasaan anda itu kerana akhirnya, anda sendiri yang akan merasa tertekan kerananya. Kenapa biarkan orang lain memainkan emosi anda sebegitu rupa? Belajar untuk memaaf dan melupakan itu tidak bermakna anda membiarkan kepala anda dipijak tanpa dapat berbuat apa-apa pun ke atasnya. Memaafkan bermaksud menyerahkan kesalahan orang lain itu di tangan Tuhan untuk diadili dengan balasan yang setimpal. Apa yang perlu anda lakukan ialah meneruskan kehidupan anda seperti biasa demi masa depan anda. Anda tak perlu membuang masa untuk memikirkan bagaimana anda perlu membalas balik perbuatan yang telah dilakukannya kepada diri anda itu.

Belajar untuk memaaf dan melupakan bukan suatu proses yang mudah tapi anda perlu bertekad yang anda perlu melakukannya dan terus memulakan proses penyembuhan ini. Cuba lakukan perkara-perkara di bawah ini untuk belajar memaaf dan akhirnya melupakan terus segala perkara yang menyinggung perasaan anda itu :-

* Pertimbangkan bahawa insan berkenaan mungkin telah mengalami isu-isu atau pengalaman yang menyedihkan di masa lampau yang mungkin mempengaruhi tindak tanduk perlakuannya terhadap diri anda.

* Berdoa ke hadrat Illahi agar dosanya di ampunkan. Membuka hati anda boleh i langkah pertama untuk bersedia untuk memaafkan.

* Buat sesuatu yang baik kepada insan berkenaan. Walau pun ini agak sukar, namun ia tak semestinya sesuatu yang berat untuk dilakukan. Anda mungkin boleh membelikannya secawan kopi; walaupun dia akan menolaknya sekiranya dia merasa bersalah! Ini boleh menjadi pembuka jalan untuk anda memaafkan dan juga untuk insan berkenaan memohon maaf daripada anda. Bagaimana pun, sekiranya anda tidak menerima kata kemaafan darinya, sekurang-kurangnya anda telah mencuba dan menjalankan tanggungjawab anda dengan sebaiknya. Anda perlu meneruskan kehidupan anda seperti biasa..

* Sekiranya anda merasa sukar untuk memaafkan, anda perlu mendapatkan khidmat kaunseling.

* Aromaterapi merupakan cara alternatif yang perlu untuk membebaskan trauma emosi ini dan merangsang suasana yang kondusif bagi proses memaaf dan melupakan ini. Ia boleh membantu anda memasukkannya dalam kerangka minda anda itu.

* Imbas kembali pengalaman anda di masa lampau. Fikirkan saat-saat di mana anda juga pernah melakukan kesalahan dan bilamana orang lain bersedia memaafkan anda. Tak kiralah betapa besar pun perkara itu, kerana perkara yang mungkin kecil di mata anda itu mungkin membawa makna yang besar pula kepada orang yang lain, malah lebih dari apa yang anda sangkakan.

Belajar untuk memaafkan bukan satu tugas yang mudah, tetapi anda boleh belajar memaaf dan melupakan........hanya dengan kerelaan hati anda sendiri....Tidakkah anda sendiri mahu diri anda dimaafkan oleh orang lain?

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin