Ahad, Disember 13, 2009

Anehnya realiti kehidupan


Realiti kehidupan ini sememangnya aneh! Fikirkanlah...Adakah anda sedar bahawa semakin banyak bangunan tinggi-tinggi dibina pada masa kini, semakin pendek pulak akal manusia ini. Contohnya bila berhadapan dengan masalah, cepat benar nak melenting atau panas baran tak menentu. Mengapa cepat sangat membuat persepsi negatif terhadap sesuatu itu tanpa mempertimbangkan secara halus dan terperinci?

Dan bila semakin luas jalan serta lebuhraya dibina, semakin sempit pulak daya pemikiran manusia tentang pelbagai perkara. Mudah sangat membuat generalisasi tanpa usul periksa. Tidak pernah sekali mahu melihat apa yang berada "di luar kotak". Tidak mahu langsung memikirkan sesuatu perkara baru yang mungkin jauh lebih baik dari yang dulu. Sukar betul nak menerima idea orang lain yang tidak sealiran semata-mata nak jaga ego dan ketaksuban terhadap bidang keilmuan masing-masing!

Anehnya juga, dalam kita mewah berbelanja, mengapa hidup ini masih ditakuk lama? Nampak macam beli banyak, tapi kenapa nikmat kegunaan atau faedahnya masih tidak dapat dirasai..? Rumah pulak makin banyak yang besar-besar bagai istana, tapi kenapa ahli keluarga yang menghuninya tak pulak ramai? Kadang-kadang, hanya tinggal pembantu rumah saja di dalamnya kerana tuan rumah terlalu sibuk dengan pelbagai urusan di luar rumah.

Apa gunanya ijazah berkeping-keping, tapi kurang daya berfikir? Ramai yang mengaku berpengetahuan, tapi malangnya, mereka kurang wajar dari segi pertimbangan akal. Tidak hairan lah kalau kita dapati walau pun golongan cerdik pandai makin ramai, tapi pelbagai masalah lain pulak yang timbul. Begitu juga dengan semakin banyak ubat-ubatan dicipta, semakin ramai pulak yang kurang sihat dengan pelbagai wabak penyakit baru!

Yang menyedihkan, dalam keadaan kita semakin mewah dan berharta ini, nilai-nilai murni dan harga diri pulak semakin kurang. Semakin banyak kita bercakap dan berkomunikasi, semakin luntur pulak nilai kasih sayang. Sebaliknya, rasa kebencian pulak yang makin meluap-luap di sana sini. Kita ini sebenarnya banyak sangat belajar tentang cara-cara bagaimana nak hidup, tetapi bukan pada erti kehidupan itu sendiri! Akhirnya kita dapati bahawa dalam pada umur kita yang semakin meningkat ini, kehidupan itu pulak menjadi semakin tidak bermakna! Aneh...!

Biar pun dah berulang alik manusia ke bulan, masih ramai jugak yang susah benar nak menjenguk jiran tetangga yang hanya di seberang jalan sana, untuk bertanya khabar! Kita dah menguasai angkasa tapi tidak di muka bumi ini. Kita bersihkan udara, tapi mencemarkan jiwa. Dalam pada kita dah mampu menguasai atom, kita masih gagal menghapuskan rasa prasangka pada orang lain. Kita banyak menulis, tapi masih kurang belajar. Merancang memang banyak, tapi pencapaiannya bagaimana pulak? Kita belajar cara bertindak pantas tapi tak belajar pulak cara bagaimana nak menunggu dengan sabar.

Dalam kemewahan hidup dimana suami dan isteri bekerja, kita dapati kadar perceraian semakin tinggi jugak. Rumah besar dan mewah, tapi tiada kebahagian malah ada yang berantakan bila anak-anak kehilangan arah tanpa bimbingan sewajarnya. Dalam masa yang sama jugak, pelbagai ubat-ubatan dicipta untuk kesejahteraan manusia, dari mengawal bentuk badan sehinggalah kepada pil pelbagai guna yang boleh buat kita gembira, diam ataupun mati!

Begitulah keanehan realiti kehidupan,....Sekadar ingatan :-

1. Luangkanlah masa untuk orang-orang yang dikasihi, kerana mereka takkan selamanya berada disisi kita.

2. Peluklah mereka erat-erat kerana ini sangat berharga dan merupakan satu-satunya khazanah yang mampu kita berikan dengan seikhlas hati. Tambahan pulak ia adalah percuma dan tak perlu mengeluarkan belanja!

3. Katakan "Aku sayang kamu' kepada pasangan anda dan orang-orang yang anda kasihi, dan katakanlah dengan seikhlas hati. Ciuman dan pelukan mampu menyembuh kelukaan hati sekiranya diucapkan sejujurnya dari lubuk hati.

4. Pegang tangan seerat-eratnya dan nikmati waktu bersama ini sebaik mungkin, kerana saat-saat sebegini takkan berulang kembali bila sampai masanya nanti. Berikan masa untuk cinta, kasih dan sayang, dan berikanlah masa untuk berkongsi idea dan pemikiran yang ada di dalam minda masing-masing sebelum semuanya berlalu ditelan masa...

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin