Sabtu, Disember 12, 2009

Hapuskan tabiat buruk


Ramai dari kita sebenarnya menderita akibat tabiat buruk masing-masing, kan? Misalnya, tabiat suka melengah-lengahkan kerja menyebabkan kita sukar mencapai prestasi kerja yang diinginkan. Apa kata kalau kita hapuskan saja tabiat buruk ini kepada sesuatu yang lebih produktif, kerana sebenarnya tabiat manusia ini bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk di ubah. Yang pentingnya, kita sedar akan bahayanya dan cuba sedaya upaya untuk mengubahnya walau apa pun. Tekad dan keinginan seseorang untuk berubah boleh membantu.

Usaha ini boleh dilakukan dengan bantuan tiga dimensi penting ini :-

- Pengetahuan
- Kemahiran
- Keinginan

Terdapat 4 langkah penting untuk merealisasikan usaha penghapusan ini :-

Langkah 1


Kenal pasti tabiat buruk berkenaan. Misalnya tabiat sukar bangun pagi, sentiasa terlajak dan membiarkan jam loceng anda berdering-dering begitu saja. Walau pun nampak remeh, tapi ini adalah antara tabiat buruk yang sukar untuk ditangani kerana ia biasanya berakar umbi sejak zaman kanak-kanak. Ia berkaitan dengan disiplin diri dan rasa tanggungjawab seseorang terhadap kehidupannya sendiri. Masalahnya ialah tabiat ini menyebabkan kita hidup di dalam kerugian kerana banyak punca rezeki terdapat pada waktu awal pagi. Sekiranya kita terlewat bangun, pasti banyak peluang akan terlepas begitu saja.

Langkah 2

Siasat mengapa anda sukar sangat nak bangun pagi ini. Kenal pasti apakah faktor-faktor yang menyumbang kepada tabiat buruk ini. Pengetahuan adalah paradigma teoritikal tentang apa yang perlu dibuat dan mengapa ianya perlu dilakukan. Ia dirangsang oleh motivasi diri terhadap sesuatu keinginan.

Langkah 3

Bagaimanakah
caranya untuk menyesuaikan diri dengan tabiat buruk ini. Misalnya, bagi kes bangun lambat tadi, anda perlu mengunci jam pada masa yang sama setiap malam dan ubah posisi jam supaya berada jauh dari jangkauan tangan anda. Pola kelakuan juga perlu berubah supaya ia akan menghasilkan sesuatu yang positif.

Langkah 4

Tanya diri anda sendiri apakah sebenarnya motivasi diri ini. Anda perlu menyemarakkan rangsangan dan keinginan untuk berubah. Bagi kes bangun tidur lambat tadi, anda mungkin perlu memainkan lagu kegemaran anda yang berirama rancak pada setiap awal pagi. Selain ini, apa saja kuasa pendorong boleh menjadi penggerak awal kepada usaha menghapuskan tabiat buruk ini.

Bagi menghapuskan terus tabiat buruk, anda perlu berusaha dalam kesemua tiga dimensi ini tadi.

Pengetahuan - Apa yang perlu dibuat?
Kemahiran - Bagaimana melakukannya? Bagaimanakah cara yang paling praktikal dan berkesan?
Keinginan - Bagaimana nak mewujudkan rasa "mahu" untuk melakukannya?

Oleh itu, pilih satu tabiat yang sentiasa membataskan anda untuk mencapai potensi diri anda yang sebenar. Berusahalah secara konsisten dan pro aktif selama 30 hari untuk menghapuskan tabiat buruk berkenaan. Selepas 30 hari berlalu, kaji semula kemajuan anda setakat itu. Sekiranya anda telah berusaha keras dalam ketiga-tiga dimensi itu tadi dalam masa 30 hari, insyaallah anda dapat menghapuskan tabiat buruk itu dan berupaya menggantikannya dengan tabiat baru yang lebih produktif dan berkesan.

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin