Ahad, Februari 14, 2010

Mencari cinta dalam kehidupan


Cinta adalah sesuatu yang sukar di cari sekiranya anda sendiri tak pasti akan kewujudannya. Adakalanya, pengalaman lalu membuatkan anda bosan dengan karenah dunia percintaan, tidak mahu memikirkan lagi soal cinta, lantas memadamkan terus api cinta dalam diri anda kerana sebab musabab yang anda sendiri tahu. Pada hakikatnya, cinta sebenarnya wujud dalam kehidupan semua orang. Manusia itu sendiri lahir dari rasa cinta kedua ibu bapanya. Cinta membuat dunia ini terus berputar dengan segala keindahan perhubungan berkasih sayang yang wujud di dalamnya. Anda perlu sedari akan kewujudannya sekurang-kurangnya dengan cara mencintai diri anda sendiri kerana ini adalah cinta terbaik yang mudah anda cari. Belajar untuk mencintai diri sendiri adalah cinta paling hebat kerana ia mampu memotivasi diri anda untuk menjadi insan cemerlang dan terbilang.

Kehidupan seharian boleh menjadi begitu menekan apabila anda tidak mencintai diri anda sendiri. Adalah sukar untuk menikmati kehidupan dengan membiarkan masa berlalu begitu saja tanpa apa-apa usaha di buat untuk meraikan diri sendiri. Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk membahagiakan diri. Anda hanya perlu melihat sesuatu itu dari sudut yang positif. Perspektif minda anda ini akan menyerlahkan cahaya kebahagiaan serta ketenangan di wajah anda secara semula jadi. Antara amalan sihat dan positif yang boleh anda lakukan ialah :-

Sentiasa bersyukur dan berterima kasih

Sebaik saja bangun tidur, fikirkan perkara-perkara yang perlu anda syukuri akan kenikmatannya, sekurangnya kehidupan anda. Bersyukur dikurniakan kesihatan yang baik, keluarga yang bahgia, serta kerjaya yang memuaskan sehingga anda dapat tidur dengan lena pada setiap malam. Anda juga perlu berterima kasih kepada segala pencapaian anda, tanpa mengira sama ada ianya besar atau kecil. Diri anda perlu dihargai seadanya kerana anda telah benar-benar berusaha ke arah itu.

Cintailah orang lain


Menghabiskan masa dengan orang tercinta merupakan salah satu dari kaedah pencarian cinta dalam kehidupan ini. Anda boleh meluahkan kasih sayang anda, bukan hanya dari segi perkataan tetapi juga perbuatan. Selain dari membahagiakan orang lain, cinta yang bertimbal balik antara satu sama lain ini akan melahirkan satu kesan emosi yang sangat mendalam pada setiap orang. Pastinya, anda sendiri perlu merasa bahagia dalam pencarian cinta ini kerana sekiranya tidak, anda perlulah mencari kebahagiaan bagi diri anda terlebih dahulu.

Merancang aktiviti yang menyeronokkan anda

Anda perlu merancang dengan teliti aktiviti-aktiviti yang boleh membahagiakan anda. Sekiranya anda suka mengembara, kenal pasti tempat atau negara yang anda berminat untuk pergi bagi menenangkan fikiran atau pun meraikan diri anda sendiri. Dalam usaha mencari cinta dalam kehidupan ini, anda perlu meluangkan sedikit masa untuk berehat, bersantai dan memanjakan diri.

Sentiasa bersikap positif dalam kehidupan


Anda perlu mencintai kehidupan anda sendiri. Jangan dekati badi aura negatif dalam diri kerana ia boleh membawa rasa kebencian terhadap orang lain dan kehidupan. Senaraikan kesemua aspek positif dalam kehidupan anda. Walau pun keluarga dan sahabat handai mungkin menduduki tempat teratas dalam senarai anda, ini tidak bermakna anda perlu fokus seratus peratus kepada mereka saja. Adakalanya, anda juga perlu memberi perhatian kepada perkara-perkara yang di anggap kecil seperti tempat perlindungan, makan minum, atau pun pakaian yang walau pun ianya merupakan keperluan asas bagi kehidupan manusia, tapi seringkali diambil mudah serta diabaikan.

Mengasihi diri dan kehidupan merupakan kaedah terbaik untuk mencari cinta dalam kehidupan anda. Cinta dalam kehidupan anda berbeza dari cinta yang anda kongsi dengan insan yang lain. Ia adalah cinta yang akan anda temui dalam diri anda sendiri apabila anda akhirnya berupaya mencintai diri anda sendiri.

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin