Ahad, April 03, 2011

Tampil menawan secara karismatik


Tidak semua orang bernasib baik dilahirkan dengan sifat-sifat karismatik untuk tampil menawan. Bagaimana pun, ianya tidak mustahil dan boleh kita bentuk dalam diri masing-masing. Karisma ini memerlukan daya tarikan yang luar biasa. Ibarat kita berdepan dengan tokoh2 atau selebriti popular, apa agaknya yang menjadikan kita terpana dengan ketrampilan individu berkenaan? Adakalanya ciri-ciri fizikal pada rupa paras seseorang itu bukan penentu bagi daya karismatik ini. Perwatakan dan cara berkomunikasi menjadi faktor 'X' yang mampu mencairkan perasaan orang lain untuk terus merapatkan diri dengan individu berkenaan. Ada beberapa faktor yang boleh menjadikan seseorang itu tampil menawan secara semula jadi. Antaranya :

1. Sebahagian besarnya adalah secara komunikasi bukan lisan. Biasanya, bahasa tubuh atau body language mampu mengucapkan lebih dari perkataan itu sendiri. Kajian menunjukkan bahawa hanya 7% dari pemahaman datangnya dari keupayaan mendengar seseorang itu dalam sebarang bentuk perbualan. Oleh yang demikian, bahasa tubuh yang positif adalah penting dalam sebarang bentuk perbincangan. Cara kita duduk, berdiri dan bercakap misalnya melahirkan mesej-mesej tertentu kepada orang yang dilawan berbual. Senyum dan pandanglah tepat ke matanya semasa berkomunikasi untuk menunjukkan yang anda benar-benar mendengar apa yang diperkatakannya. Angguk kepala pada ketika yang sesuai dan benarkan individu berkenaan menghabiskan ayatnya sebelum anda menerjahnya dengan soalan atau respon anda sendiri.

2. Bina skil kominukasi yang baik - terutama cara bercakap dan menulis. Bertuturlah dengan penuh yakin tanpa teragak-agak. Nada suara, kelajuan pertuturan, intonasi suara, dan isi perbualan menyumbang kepada gaya percakapan seseorang, dan juga gaya penulisan anda. Tulisan yang kemas memerlukan latihan, begitu jugalah cara anda berkomunikasi. Belajar satu dua perkataan baru dari kamus pada setiap hari dan gunakannya pada konteks yang sesuai.

3. Bentuk gaya ketrampilan yang sesuai dengan personaliti anda, dari segi pakaian dan cara anda membawa diri. Ini membantu anda menyerlahkan diri di khalayak ramai dan memberi impak yang besar kepada orang-orang yang anda temui dengan impresi pertama yang anda berikan. Ia meliputi kesantunan anda dalam bertingkahlaku dan gaya anda berkomunikasi. Ketrampilan yang menawan ini tidak memerlukan kos yang mahal. Cukup sekadar anda kelihatan kemas, bersih dan bergaya dari hujung rambut sehinggalah kehujung kaki.

4. Individu yang karismatik biasanya di percayai oleh orang lain dari segi tutur kata dan kelakuannya. Keikhlasannya jelas terpancar di wajah. Daya tarikan inilah yang menjadikan seseorang itu tampil menawan kerana perwatakan ini menyenangkan orang lain yang berinteraksi dengannya tanpa rasa mual atau tertekan.

5. Pastikan anda mampu membuat orang lain yang anda temui itu merasakan dirinya penting. Berkomunikasi lah secara ikhlas dan jujur. Wujudkan suasana berinteraksi yang menyeronokkan. Cari tajuk perbualan yang disukai oleh orang berkenaan. Elakkan diri dari asyik menceritakan tentang diri sendiri tanpa memikirkan tentang perasaan orang lain yang mungkin bosan dengan gelagat anda itu.

6. Sifat berjenaka juga penting untuk menjadikan orang seronok untuk berkomunikasi dengan anda tanpa terasa tertekan dengan topik perbualan dan kehadiran anda. Tampilkan imej mesra dan santai. Jangan terlalu terbawa-bawa segala depresi yang anda hadapi itu ke khalayak ramai. Berlawaklah tanpa menyinggung perasaan orang lain.

7. Kuasai apa yang anda ingin perkatakan. Buat persediaan yang rapi tentang subjek berkenaan, dan bina kemahiran, kepakaran dan pengetahuan yang bersesuaian. Tangani segala kekurangan atau kelemahan anda dalam bidang tertentu itu secara bijak. Ambil inisiatif untuk mengkaji terlebih dahulu tentang sesuatu perkara itu sebelum temujanji itu berlangsung. Ini satu cara yang baik untuk meyakinkan orang lain tentang keupayaan dan kesungguhan anda berkaitan sesuatu perkara itu.

8. Minat terhadap sesuatu perkara itu boleh menjadikan anda nampak bersungguh-sungguh, spontan dan bertenaga. Perwatakan sebeginilah yang sering mengundang perhatian orang lain sekranya anda berada di khalayak ramai. Anda akan kelihatan hebat dan menonjol sekiranya anda mempamerkan gaya dan perwatakan ini.

9. Kesungguhan : Orang yang karismatik sukar menerima "Tidak" sebagai jawapan. Mereka tidak mudah mengalah. Kesungguhan akan akhirnya dapat menawan orang-orang lain yang sukar memberikan kerjasama yang diperlukan.

10. Beranikan diri untuk berhadapan dengan apa jua rintangan. Bersedialah untuk menhadapi risiko. Keyakinan diri perlu ditingkatkan dari masa ke semasa. Segalanya datangnya dari minda yang terbuka dan positif. Sekiranya anda yakin dan positif, selagi itu lah anda mampu menangani semuanya dengan mudah dan teratur.

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin