Jumaat, September 18, 2009

Mengambil risiko sememangnya berisiko


Satu sebab mengapa anda tidak sanggup mengambil risiko ialah kerana sesuatu perkara itu memang berisiko! Sebaik saja anda membuat keputusan untuk mengambil risiko dan mencuba untuk mendapatkan sesuatu yang belum pernah anda capai, anda perlu bertekad untuk tidak cepat mengalah dengan segala cabaran yang bakal ditempuhi. Kita sedia maklum bahawa risiko dan kegagalan seringkali berlaku secara berturutan. Tapi ini tidak bermakna bahawa kita tidak boleh atau tidak harus mengambil risiko. Kegagalan adalah sebahagian dari proses pengambilan risiko dan begitulah juga dengan kejayaan. Mereka yang berjaya adalah mereka yang telah mengambil risiko secara ekstrim dan bersungguh-sungguh. Sesetengah mereka gagal berkali-kali sebelum menempa kejayaan itu. Akhirnya, kegagalan yang pernah ditempuhi itu akan dilupakan begitu saja apabila anda berasa seronok dan bahagia dengan kejayaan yang akhirnya dapat dikecapi.

Pernah tak anda terfikir sama ada kerja yang anda lakukan itu bersesuaian dengan diri dan jiwa anda? Misalnya, terdapat orang yang membuat kerja-kerja keusahawanan yang bukan pun bidang yang diminatinya. Kadangkala anda tidak dapat menggunakan sepenuhnya potensi diri, pengetahuan serta kemahiran yang anda miliki. Jadi, bagaimanakah anda mampu untuk keluar dari bidang masing-masing? Sudah pasti jawapannya ialah dengan mengambil risiko! Tiada siapa yang akan menyuruh anda mengambil risiko yang tidak masuk akal atau membahayakan nyawa anda, kan? Bagaimana pun, anda perlu mempunyai impian untuk mencapai sesuatu yang anda mungkin anggap mustahil kerana sesuatu yang mustahil itu kadangkala tidak mustahil untuk dicapai jika anda benar-benar berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapainya.

Ambil masa untuk memikirkan satu dua perkara yang anda inginkan selama ini yang belum lagi berjaya dicapai. Misalnya, mungkin memulakan perniagaan, menjual barangan secara online, bertugas di luar negara atau pun menjadi seorang kaunselor. Anda perlu memikirkan cara-cara atau langkah-langkah yang perlu untuk mencapainya secara bijak. Adakah anda akan mengikut kata hati atau anda perlu membuat pertimbangan yang wajar sekiranya anda berdepan dengan pelbagai pilihan yang sama menariknya. Rancangkan tempoh masa yang sesuai untuk mencapat matlamat anda itu. Berusaha terus ke arah itu secara konsisten dari hari ke hari sehinggalah sasaran anda itu akhirnya dapat dicapai.

Mengambil risiko sememangnya berisiko tetapi sekiranya anda bertanya orang yang pernah mencuba dan gagal berkali-kali sama ada mereka pernah menyesal dengan pengalaman itu, jawapannya sudah pasti adalah "TIDAK"!

Selasa, September 08, 2009

Adunan resipi kejayaan


Ingat tak kali terakhir anda berasa sangat gembira sebaik saja misi anda tercapai? Masih segar rasa keseronokan itu kan? Misalnya, bila dapat keputusan yang cemerlang atau bila berjaya menghasilkan kek coklat yang anda dah lama teringin nak buat atau pun bila anda dah membahagiakan rakan anda dengan satu hadiah unik yang sangat diimpikannya.

Walau apa pun keadaannya, perasaan gembira ini menjadikan anda puas dan lebih yakin tentang kemampuan diri anda. Pencapaian ini memerlukan satu resipi yang mengandungi bahan-bahan penting yang diadun bersama di dalamnya. Antaranya ialah :-

#1 Bahan Pertama : Apakah perkara yang paling anda suka nak buat dan anda rasa anda boleh buat dengan lebih baik daripada orang yang lain? Apabila perasaan ini dirasakan dalam minda anda, secara sendirinya anda rasa berkeyakinan dan gembira dengan kemampuan anda itu.

#2 Bahan Kedua
: Apakah satu-satunya perkara yang rasa anda boleh lakukan dengan mudah sekiranya anda mendapat sokongan dan sumber-sumber yang dapat membantu? Masa depan anda akan menjadi lebih cerah sekiranya bahan kedua ini dapat digabungkan dengan bahan pertama tadi.

#3 Bahan Ketiga : Bahan ini sebenarnya membuka minda anda kepada pelbagai kemungkinan yang boleh anda perolehi yang di luar dari jangkaan anda. Sekiranya anda menghadapi masalah untuk mencapai kemungkinan-kemungkinan yang banyak ini, fokus kepada satu-satu perkara yang berkait rapat dengan impian sebenar anda. Gaulkan bersama dengan bahan pertama dan kedua tadi.

Sekarang mula "memasak" dengan tiga adunan tadi dan carilah kaedah yang memudahkan anda untuk anda menghasilkan "masakan" yang diingini.

Anda akan dapati bahawa setelah bahan pertama berjaya dilaksanakan, keyakinan diri anda akan bertambah.

Kemudian apabila anda mencuba bahan kedua, anda akan dapat sokongan atau bantuan orang-orang serta sumber-sumber yang diperlukan untuk mencapai sasaran.

Apabila anda dah menemui cara-cara ini dan percaya bahawa anda boleh memcari jalan-jalan mudah untuk melaksanakannya, anda akan merumuskan bahawa bahan ketiga tidak lah mustahil untuk di capai.

Oleh itu, carilah kaedah mudah untuk mencampur gaulkan adunan ketiga-tiga bahan itu tadi supaya anda sentiasa gembira dengan apa jua pilihan yang telah anda buat.

"Dimana ada kemahuan, di situlah ada jalan!"

Isnin, Ogos 31, 2009

Seragamkan Aliran Pendidikan Demi `1 Malaysia'


Hari ini genap 52 tahun negara kita menyambut ulangtahun kemerdekaannya daripada penjajahan British. Ini bermakna sudah 52 tahun kita mentadbir dan memerintah negara tercinta ini dengan cara kita sendiri. Dalam mengharungi jangka masa ini, telah banyak cabaran yang kita tempuhi bersama. Era tahun 1960an yang penuh goyah dek tinggalan Dasar Pecah dan Perintah British telah mengelompokkan kaum-kaum di Malaysia bukan sahaja dari segi tempat tinggal, tetapi juga pekerjaan dan juga aliran pendidikan. Interaksi yang amat terbatas di antara kaum, ditambah pula dengan kadar pengangguran serta kemiskinan yang tinggi pada waktu itu (49.7%) telah secara tidak langsung, mencetuskan peristiwa berdarah, Rusuhan Kaum 13hb. Mei, 1969. Bagaimana pun, tragedi ini ada hikmah disebaliknya kerana rentetan dari peristiwa itu, ia telah menyedarkan pihak kerajaan akan betapa pentingnya perpaduan bagi rakyat Malaysia dan bagaimana ia seharusnya diberikan perhatian sewajarnya demi pembangunan negara.

Ini telah membawa kepada perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971 yang bertujuan untuk mencapai perpaduan nasional melalui strategi serampang dua mata; membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat supaya tiada satu kaum pun akan dikenali dengan fungsi-fungsi ekonomi yang tertentu sebagaimana yang berlaku pada zaman penjajahan dahulu. Selain daripada DEB, banyak lagi dasar-dasar lain dibentuk di sekitar awal 1970an seperti Rukun Negara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Rukun Tetangga dan sebagainya.

Perpaduan merupakan asas kekuatan negara dan ianya perlu diperkukuhkan lagi bagi masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia ini. Rakyat Malaysia perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur. Konsep `1 Malaysia' yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri baru-baru ini adalah selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’. Ayat yang menyebut “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People” menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Mereka juga di tuntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik atau kaum masing-masing.

Seperti dasar atau polisi-polisi yang terdahulu, konsep `1 Malaysia' ini sudah pasti berhadapan dengan pelbagai cabaran semasa yang sedikit sebanyak akan menjejaskan perlaksanaannya. Antara yang paling asas dan penting sekali ialah soal pendidikan. Kita semua maklum bahawa pendidikan adalah satu elemen penting dalam pembentukan sebuah negara bangsa. Jika sistem pendidikan kita berbentuk perkauman, maka kita akan menghasilkan generasi yang tebal dengan sifat perkaumannya. Ini sudah pasti akan menyukarkan pencapaian konsep `1 Malaysia' itu tadi. Selagi sekolah vernakular yang berasaskan kaum ini masih wujud di bumi bertuah ini, selagi itu lah kita tidak berupaya untuk menyeragamkan cara berfikir dan nilai bersama sebagaimana yang di harapkan ini. Bahasa Jiwa Bangsa. Ungkapan ini jelas menggambarkan bagaimana bahasa mampu menyerapkan roh dan jiwa di kalangan penuturnya untuk berfikir dengan misi dan visi yang seragam. Mana mungkin interaksi boleh berlaku secara tulus dan ikhlas sekiranya kita bercakap dengan nada dan maksud yang berbeza!

Setakat ini, hanya Malaysia satu-satunya negara didunia ini yang mempunyai pendidikan pelbagai kaum atau vernakular ini. Hanya orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak tidak ada sekolah mereka sendiri. Yang ada ialah sekolah kebangsaan untuk semua. Sistem inilah yang diguna pakai diseluruh dunia dimana semua bentuk pendidikan diseragamkan demi mencapai matlamat nasional. Contohnya, Thailand, Indonesia, malah dinegara-negara maju seperti Singapura, Eropah dan Amerika Syarikat. Negara-negara ini sanggup mengorbankan identiti kaum masing-masing demi perpaduan dan kemajuan negara masing-masing. Penyeragaman pendidikan di negara-negara ini telah berupaya menyatukan cara berfikir bangsa itu dan ini sudah pasti memudahkan proses perlaksanaan apa jua aspirasi negara berkenaan. Cuba fikirkan, agaknya mampukah Barrack Obama menjadi Presiden Amerika sekiranya beliau bertutur dalam bahasa Kenya atau mendapat pendidikan berbeza daripada majoriti rakyat Amerika?

Setelah 52 tahun merdeka, kita masih lagi sukar mengorbankan identiti kaum masing-masing. Kita perlu berfikir jauh ke hadapan demi perpaduan negara yang tercinta. Sistem pendidikan kita masih belum merdeka sepenuhnya kerana setiap kaum masih terbelenggu dengan kepompong cauvinistik kaum masing-masing, atau pun disebabkan oleh kepentingan politik yang tersendiri. Kehidupan kita sebenarnya semakin jauh dan terasing. Amat menyedihkan apabila kita bertutur dalam bahasa Melayu dengan kanak-kanak dari sekolah rendah aliran jenis kebangsaan, mereka seolah-olah tidak memahami apa yang kita perkatakan, sedangkan mereka telah dibesarkan sejak lahir di bumi tercinta ini! Ini tidak menghairankan kerana bahasa Melayu hanya diajar tiga kali seminggu di sekolah berbanding dengan bahasa ibunda mereka yang diajar pada setiap hari termasuk matapelajaran lain seperti matematik, Sains, Kemahiran Hidup, Pendidikan Moral, Sivik dan Kajian Tempatan. Secara umumnya, tahap penguasaan bahasa Melayu di kalangan kanak-kanak ini adalah rendah. Sedangkan hakikatnya, pada peringkat inilah mereka perlu dididik dengan bahasa yang membolehkan mereka berinteraksi dengan kaum-kaum lain dengan baik bagi memupuk perpaduan.

Sekiranya, bahasa Melayu dipelajari hanya sekadar untuk lulus peperiksaan sahaja, kesannya jelas terpancar pada corak interaksi antara pelajar-pelajar yang terdapat di sekolah menengah kebangsaan dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia pada waktu ini. Pengelompokan kaum boleh dilihat di dewan-dewan kuliah, perpustakaan, asrama, dan juga dalam membuat tugasan kerana mereka lebih selesa bertutur dalam bahasa ibunda sendiri. Ketidakupayaan berbahasa Melayu telah mengekang penglibatan mereka dalam perbincangan di dewan-dewan kuliah dan nampak seolah-olah tidak berpengetahuan dan pasif berbanding pelajar-pelajar yang lain. Ini sangat merugikan kerana idea mereka tidak dapat dikongsi dan disalurkan di gelanggang yang betul hanya kerana tidak yakin dengan kebolehan berbahasa Melayu ini. Kita harus sedar bahawa realiti di alam kerjaya kelak jauh berbeza. Kita dah tak mampu lagi untuk hanya bergaul dengan kaum masing-masing saja seumur hidup. Era globalisasi tak membenarkan ini berlaku kerana kita perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi yang baik dengan kaum-kaum atau bangsa-bangsa lain didunia ini untuk pergi jauh dalam apa bidang sekali pun.

Konsep Satu Malaysia seharusnya membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara.

Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama '1 Malaysia' iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini. Bagi menjayakan konsep `1 Malaysia', setiap kaum harus bersifat terbuka, bertolak ansur dan sanggup berkorban demi perpaduan negara tercinta ini.

Aliran sistem pendidikan yang tidak seragam menyukarkan penyatuan dari segi cara berfikir serta penyerapan nilai-nilai bersama yang penting dalam mewujudkan masyarakat yang berdaya maju pada masa akan datang. Aspek-aspek perpaduan dalam pendidikan haruslah diberikan perhatian yang serius supaya pemikiran kita tidak terus dibelenggu dengan pemikiran perkauman yang sempit yang membahayakan perpaduan negara. Saranan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir untuk mewujudkan Sekolah Wawasan harus di berikan pertimbangan yang serius kerana idea ini mampu menyeragamkan pendidikan dan meningkatkan interaksi di antara pelajar dari berbagai kaum tanpa menafi atau menjejaskan identiti masing-masing. Sempena ulangtahun kemerdekaan yang ke 52 tahun ini, marilah kita sama-sama berazam untuk terus maju ke hadapan dengan mengambil kekuatan dari setiap kaum untuk membina satu bangsa Malaysia yang lebih bersatu padu, matang dan berdaya maju!

Sabtu, Ogos 29, 2009

Tingkatkan keyakinan diri anda


Keyakinan diri merupakan elemen yang penting dalam mencapai set minda yang diperlukan untuk berjaya. Belajarlah untuk membina keyakinan diri kerana ia penting dalam mengharungi kehidupan peribadi dan juga alam kerjaya. Dalam usaha membina keyakinan diri ini, terdapat beberapa langkah yang boleh diamalkan untuk menyegerakan proses ini :

1. Beritahu pengkritik dalaman untuk senyap
- Tahukah anda bahawa dalam diri setiap orang ada suara yang berperanan untuk memandu kita melaksanakan apa yang telah kita fikirkan dalam minda masing-masing. Ia membantu kita merenung kembali tindakan yang telah lalu dan mengingatkan kita apa yang perlu dilakukan. Bagaimana pun, suara ini boleh menjadi pengkritik paling buruk apabila ia menjadikan anda sangsi atau pun cemas tak tentu pasal. Apabila suara pengkritik dalaman ini semakin kuat, beritahu dia supaya senyap. Berhenti bercakap....anda tak mau dengar apa-apa lagi darinya. Sekurang-kurangnya, anda dah mampu mengawal keadaan buat sementara. Apabila suara itu datang lagi, anda ulangi lah proses yang sama ini.

2. Beritahu diri anda tiga perkara yang benar-benar anda suka tentang diri anda.
Sekiranya pengkritik dalaman mula berkata " Ya, tapi.......", sekali lagi, beritahu dia untuk senyap.

3. Senyum, bertanya khabar, dan pandang tepat ke mata
orang yang dilawan bercakap itu dengan seikhlas hati. Pancarkan keyakinan diri anda. Anda akan terkejut betapa ramainya orang yang bertindak balas. Akhirnya, anda akan mula rasa gembira dengan diri anda sendiri.

4. Cakap "Tidak" kepada orang yang meminta anda membuat sesuatu yang anda tak suka nak buat.

5. Bersuara untuk diri sendiri. Memang ada ketikanya anda lebih suka berdiam diri untuk mengelakkan diri dari ditimpa masalah....misalnya apabila ada orang menyampuk ketika anda sedang bercakap atau ada orang yang memotong giliran anda. Namun begitu, apabila dah terlalu kerap berlaku, tahap kesabaran anda mungkin tercabar jua akhirnya. Anda tak boleh lagi berdiam diri. Bersuaralah tanpa menyinggung perasaan orang lain. Anda boleh katakan "Maafkan saya, saya belum habis bercakap lagi ni.." atau "Ini giliran saya sekarang ni.." Berlatih menyuarakan isi hati sendiri kerana ini akan memberi lonjakan dan latihan untuk menangani cabaran yang lebih besar.

6. Setiap orang ada pakaian yang dia nampak cantik dan hebat jika memakainya. Pakailah pakaian itu dan nikmatilah keindahan perasaan anda ketika itu.

7. Belanjalah diri anda sendiri seperti makan malam di restoran istimewa, sekarangan bunga, atau rawatan istimewa di salon dan spa.

8. Ucaplah tahniah pada diri sendiri
pada setiap kejayaan yang anda telah capai, tak kira lah sama ada ianya kecil atau pun besar.

9. Katakan "Tidak" pada amalan tidak sihat. Gunakan 24 jam dalam satu hari ini untuk menahan diri dari berbuat sesuatu yang anda tidak gemar lakukan......tak kiralah sama ada ianya bergosip, menggigit kuku, atau pun memakan makanan ringan yang tak berkhasiat.

10. Berbuat baik kepada orang lain tanpa meminta balasan.

11. Bersikap berani untuk mengambil risiko walau pun ianya sangat mencabar.

12. Tutup mata anda dan bayangkan anda seorang yang sangat berkuasa dan berkeyakinan diri.

Jumaat, Ogos 28, 2009

Bersaing dengan diri sendiri


Kejayaan dalam mencapai sesuatu misi dalam kehidupan adalah kemuncak kepada impian dan harapan semua orang. Banyak dah didengar tentang cerita-cerita kejayaan orang lain dan ramai juga yang cuba mengikuti jejak langkah mereka tapi gagal. Anda sering tertanya-tanya mengapa orang lain boleh berjaya sedangkan anda tidak? Apa sebenarnya yang menghalang pencapaian anda itu? Kadangkala tanpa anda sedari, ianya berpunca dari diri anda sendiri. Anda sebenarnya bersaing dengan diri sendiri! Pemikiran yang negatif dalam set minda itu misalnya, boleh menghalang usaha anda untuk mencipta kejayaan. Apabila ini berlaku, keyakinan diri akan luntur dan anda akan rasa takut terhadap cabaran-cabaran yang mendatang. Sedangkan apa yang dianggap sukar itu sebenarnya adalah perkara mudah sekiranya anda menanganinya secara positif. Orang yang positif akan bertindak bijak dengan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk melaksanakannya kerana :

1. Kita tak kan mungkin mencipta kejayaan secara bersendirian.
Setiap kisah kejayaan adalah kisah kejayaan orang-orang yang bekerja sebagai satu kumpulan dengan setiap orang menyumbang keunikan bakat, kemahiran dan kebolehan masing-masing. Buat saja yang terbaik yang anda termampu kerana kekurangan anda pada aspek-aspek tertentu itu akan ditampung oleh ahli-ahli kumpulan anda yang lain itu. Manusia ini tidak sempurna 100 peratus, bukan? Setiap orang ada kelebihan dan kekurangannya.

2. Kesungguhan diri selalu akan membantu anda untuk berjaya.
Anda tidak akan gagal selagi anda tidak mengalah. Carilah alternatif atau cara lain bagi setiap usaha yang tidak berhasil. Teuskan berusaha dan jangan sekali-kali tunduk dan mengalah kepada keadaan, bak kata pepatah "Usaha itu Tangga Kejayaan".

3. Ambil masa sejenak dari kesibukan seharian itu untuk duduk dan berfikir atau bermuhasabah diri. Tumpukan perhatian pada diri anda sendiri dan fikirkan cara bagaimana yang boleh anda lakukan untuk menjadi lebih cekap dan berjaya. Ini lah masa untuk anda berfikir sedalam-dalamnya tentang strategi baru anda supaya anda dapat mengatur kehidupan anda dengan lebih baik.

4. Sekiranya anda tidak berpuas hati dengan pencapaian anda sekarang, jangan jangka atau harapkan masa depan yang lebih baik tanpa berbuat apa-apa untuk ke arah itu. Ubahlah sikap, keutamaan dan aktiviti-aktiviti anda itu supaya ianya lebih kreatif dan inovatif bagi mencipta kejayaan. Dekatkan diri dengan orang-orang yang telah berjaya dan jadikan mereka inspirasi dan model yang boleh anda contohi.

5. Anda sebenarnya adalah produk kepada pemikiran anda sendiri. Apa yang anda sering fikirkan di kebanyakan masa akan menghasilkan apa saja yang berlaku dalam kehidupan anda sekarang. Sekiranya anda menginginkan yang lebih baik, ubahlah cara berfikir anda itu supaya ia dapat menghasilkan kejayaan yang diimpikan itu. Buang pemikiran negatif itu jauh-jauh supaya ia tidak lagi menghantui emosi dan daya juang anda.

6. Anda akan sentiasa mendapat balik apa yang telah anda berikan. Misalnya, sekiranya inginkan pertolongan, jadilah orang yang suka menolong orang lain. Sekiranya anda mahukan perhubungan yang ikhlas, jadilah orang yang jujur. Sekiranya anda impikan kejayaan, bantulah orang lain untuk mencapai apa yang mereka inginkan. Sekiranya anda mahukan kasih sayang, jadilah orang yang penyayang. Kita sebenarnya akan mendapat apa yang kita cari dalam kehidupan ini.

7. Kehidupan ini ibarat filem di pawagam.
Anda yang menulis skrip dan anda jugalah bintangnya, pengarah dan juga pengkritiknya. Dan seperti juga filem, ia akan tamat pada penghujungnya. Apa yang penting dalam kehidupan ini bukan sahaja perjalanan ceritanya, tetapi juga kualiti perjalanan cerita berkenaan. Itu lah sebabnya kita perlu pastikan setiap hari yang kita tempuhi itu adalah yang terbaik bagi kita. Sekiranya kita sentiasa menjaga kualiti setiap episod perjalanan itu, insyaallah, "filem" hasil dari buah tangan anda ini akan berakhir dengan kejayaan...!


Selasa, Ogos 25, 2009

Mengatur kehidupan secara bijak


Disiplin diri dan rasa tanggungjawab seseorang itu terserlah dari cara bagaimana dia mengatur kehidupan sehariannya dengan baik. Ada orang sampai takut nak balik rumah kerana rimaskan keadaan rumah yang tidak terurus dan berselerak, sedangkan keadaan yang tidak teratur ini berpunca dari amalan atau tabiat diri sendiri yang tidak "organized" atau teratur. Sikap buruk ini boleh menyusahkan pihak lain apabila kerja tak dapat disiapkan mengikut masa, sering mungkir janji kerana banyak temujanji yang bertindan dalam satu masa, atau pun seringkali cuai dan tidak cekap dalam perlaksanaan tugas ditempat kerja. Ketidakupayaan seseorang dalam mengatur kehidupan sehariannya adalah berpunca dari berbagai perkara :

1. Sesetengah orang menyalahkan kemalasan diri sebagai punca, sedangkan pokok pangkalnya adalah datangnya dari rasa tanggungjawab masing-masing. Malas hanya dijadikan alasan bagi mengelakkan diri dari melaksanakan sesuatu tugas. Ia tak lebih dari satu justifikasi bagi disiplin diri yang rapuh yang telah berakar umbi dalam diri.

2. Anda tak jelas tentang apa yang anda mahukan dalam hidup, apa yang perlu dilakukan dan apa hasilnya yang nak dicapai. Kekaburan misi dan visi ini menjadikan anda tak endah tentang perlaksanaan dan pencapaiannya.

3. Anda tak faham kenapa kita perlu mengurus kehidupan, kerjaya atau apa saja secara teratur. Anda tak nampak kebekesanan tabiat ini dalam meningkatkan prestasi kerja anda dan anda tak fikir bahawa semua ini adalah satu perkara yang perlu diberikan keutamaan dalam hidup anda.

4. Anda tak tau bagaimana nak menguruskan masa dan kerja secara bijak, kerana telah terbiasa dengan suasana "porak peranda" ini sejak dari dulu lagi.

Keupayaan anda mengurus dan mengatur kehidupan anda akan menyebabkan anda lebih lebih teratur dan cekap. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh anda lakukan :-

1. Buat senarai tugas seharian. Tulis semuanya di atas papan putih atau dalam buku nota yang anda sering bawa bersama. Ini akan membantu daya ingatan anda dan juga masa anda.

2. Letakkan di satu tempat yang tertentu supaya ia mudah dicari
. Ia mungkin dalam bentuk notepad, nota lekat, papan putih, atau apa saja .......

3. Jaga kesihatan dengan baik -- Kekal sihat dapat menajamkan tumpuan akal dan minda. Makanlah makanan berkhasiat, rehat yang mencukupi, dan banyak bersenam.

4. Gunakan alat perakam
-- Rakamkan apa yang anda fikirkan dengan alat perakam kecil. Sekiranya anda terfikirkan sesuatu secara tiba-tiba, anda boleh merakamlan idea berkenaan.

5. Gunakan telefon
-- Set kan jam untuk mengingat tentang perkara-perkara penting seharian yang anda perlu lakukan segera untuk hari berkenaan.

6. Sentiasa berfikiran positif -
- Pemikiran positif akan menyebabkan anda terangsang untuk melakukan sesuatu yang produktif.

7. Nota pelekat -- Satu cara yang boleh membantu daya ingatan anda. Lekatkan nota pelekat ini di tempat yang mudah anda lihat seperti di papan putih atau di peti sejuk.

8. Catitkan tugas atau temujanji di adalam diari atau kalender meja yang besar supaya anda dapat melihat dengan jelas perancangan anda dalam tempoh masa tertentu, seminggu, sebulan atau pun setahun.

9. Buang segala barang yang tidak diperlukan lagi dari masa ke semasa supaya ruang yang ada di bilik atau almari anda itu hanya dipenuhi dengan barang-barang yang diperlukan sahaja.

Segalanya ini sebenarnya terletak dalam pengawalan mental anda sendiri. Anda perlu sentiasa mendisiplinkan diri untuk membereskan kerja pada waktu yang telah ditetapkan tanpa berlengah-lengah lagi. Sikap menyegerakan kerja boleh membantu anda mengatur dan mengubah kehidupan anda menjadi lebih baik. Kehidupan yang teratur akan menjadikan minda anda lebih tenang, jelas dan tidak berserabut.

Isnin, Ogos 24, 2009

Berfikir dengan Set Minda Pemenang


Manusia memang sukar untuk berubah, kecuali ada sesuatu mala petaka atau pengajaran besar yang berlaku dalam kehidupannya. Kejadian yang menginsafkan ini biasanya akan menyebabkan anda berfikir panjang dan bermuhasabah diri ke arah kebaikan. Keinginan untuk berubah itu sebenarnya tetap ada, cuma ia seringkali di sandarkan kepada pra syarat ciptaan sendiri. Misalnya :-

- Aku akan hanya melakukannya sekiranya semuanya telah dirancang dengan teliti.
- Aku akan berdiet selepas Tahun Baru, atau selepas hari lahir, atau pun sebaik sahaja balik dari percutian ke luar negara.
- Aku akan melanjutkan pelajaran apabila simpanan aku dah cukup.
- Kita akan memikirkan tentang anak apabila kewangan kita dah stabil nanti.
- Aku nak mula berniaga apabila modal dah cukup.

Seringkali ada perkataan 'APABILA' atau "JIKA' atau pun "ESOK', kan?

Malangnya, "ESOK' yang dinanti itu adakalanya, tak pernah kunjung tiba pun. Anda hanya menyandarkan peluang untuk berjaya kepada sasaran yang jarang dapat anda capai. Sekiranya mahu berjaya dalam apa jua lapangan yang diceburi, terutamanya dalam perniagaan, anda memerlukan satu peralihan paradigma. Ia tak boleh lagi dalam bentuk "AKAN", atau "SEKIRANYA". Sebaliknya, anda perlu melihat kehidupan ini dari perspektif yang berbeza secara keseluruhannya.

Sebahagian besar daripada kita masih melihat dari perspektif yang lama. Misalnya, aku perlu wang yang mencukupi supaya aku akan mendapat apa yang aku mahukan untuk mencapai cita-cita aku. Masalahnya, berapa sebenarnya jumlah simpanan yang mencukupi itu? Kita tahu atau tidak apa sebenarnya yang kita mahukan? Apa sebenarnya cita-cita yang kita nak capai itu?

Usahawan yang berjaya tahu bagaimana permainan ini perlu dimainkan. Mereka berjaya kerana perspektif kehidupan mereka adalah berasaskan kepada model yang diamalkan kebanyakan pemenang iaitu : Jadi/Buat/Miliki. Ini bermakna bahawa langkah pertamanya ialah kita perlu menjadi insan yang kita mahu jadi, kemudiannya, mesti melakukan sebagaimana orang-orang yang telah berjaya itu telah lakukan. Akhirnya, insyallah, kita akan miliki jua apa sahaja yang dimiliki oleh orang-orang yang dah berjaya tadi.

Bagaimana nak jadi orang yang berbeza dan lebih berjaya dari sebelumnya ini? Ia sebenarnya adalah masalah set minda. Itu yang perlu diubah terlebih dahulu. Sukar untuk berubah sekiranya anda tak berfikir sebagaimana usahawan yang berjaya tadi berfikir. Anda takkan jadi kaya sekiranya anda tak percaya bahawa anda boleh jadi kaya. Sekiranya mimpi anda tak sebesar impian yang anda ingin nak capai, anda tetap akan kekal berada di takuk yang lama sampai bila-bila pun. Cara anda berfikir telah meletakkan anda di fasa atau liga yang anda duduki sekarang dan anda akan terus berada disini tanpa sebarang peningkatan, sekiranya cara berfikir anda masih tetap sama.

Sebaik sahaja anda menukar set minda, anda perlu mencari orang yang telah berjaya dalam bidang itu dan lakukanlah sebagaimana yang telah mereka lakukan sebelum ini. Kenapa perlu bermula dari bawah? Orang-orang yang berjaya telah belajar apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak. Belajar lah secara bijak dari pakar-pakar yang terbaik ini. Mulakan penyelidikan di internet dan binalah rangkaian-rangkaian jaringan. Libatkan diri dalam kumpulan-kumpulan pencetus idea dan carilah mentor yang sesuai. Bersungguh-sungguhlah tanpa menyinggung perasaan orang lain. Orang lain akan mudah memberi tunjuk ajar sekiranya anda mempamerkan kesungguhan dan kesediaan untuk berbuat apa sahaja untuk menjadi pemenang. Akhirnya, sekiranya anda mematuhi paradigma baru ini dengan membuat peralihan set minda sebagaimana orang-orang yang telah berjaya, maka anda akan miliki apa sahaja yang anda mahukan dan akhirnya menjadi seorang pemenang juga.
Blog Widget by LinkWithin