Isnin, Ogos 31, 2009

Seragamkan Aliran Pendidikan Demi `1 Malaysia'


Hari ini genap 52 tahun negara kita menyambut ulangtahun kemerdekaannya daripada penjajahan British. Ini bermakna sudah 52 tahun kita mentadbir dan memerintah negara tercinta ini dengan cara kita sendiri. Dalam mengharungi jangka masa ini, telah banyak cabaran yang kita tempuhi bersama. Era tahun 1960an yang penuh goyah dek tinggalan Dasar Pecah dan Perintah British telah mengelompokkan kaum-kaum di Malaysia bukan sahaja dari segi tempat tinggal, tetapi juga pekerjaan dan juga aliran pendidikan. Interaksi yang amat terbatas di antara kaum, ditambah pula dengan kadar pengangguran serta kemiskinan yang tinggi pada waktu itu (49.7%) telah secara tidak langsung, mencetuskan peristiwa berdarah, Rusuhan Kaum 13hb. Mei, 1969. Bagaimana pun, tragedi ini ada hikmah disebaliknya kerana rentetan dari peristiwa itu, ia telah menyedarkan pihak kerajaan akan betapa pentingnya perpaduan bagi rakyat Malaysia dan bagaimana ia seharusnya diberikan perhatian sewajarnya demi pembangunan negara.

Ini telah membawa kepada perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971 yang bertujuan untuk mencapai perpaduan nasional melalui strategi serampang dua mata; membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat supaya tiada satu kaum pun akan dikenali dengan fungsi-fungsi ekonomi yang tertentu sebagaimana yang berlaku pada zaman penjajahan dahulu. Selain daripada DEB, banyak lagi dasar-dasar lain dibentuk di sekitar awal 1970an seperti Rukun Negara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Rukun Tetangga dan sebagainya.

Perpaduan merupakan asas kekuatan negara dan ianya perlu diperkukuhkan lagi bagi masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia ini. Rakyat Malaysia perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur. Konsep `1 Malaysia' yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri baru-baru ini adalah selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’. Ayat yang menyebut “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People” menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Mereka juga di tuntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik atau kaum masing-masing.

Seperti dasar atau polisi-polisi yang terdahulu, konsep `1 Malaysia' ini sudah pasti berhadapan dengan pelbagai cabaran semasa yang sedikit sebanyak akan menjejaskan perlaksanaannya. Antara yang paling asas dan penting sekali ialah soal pendidikan. Kita semua maklum bahawa pendidikan adalah satu elemen penting dalam pembentukan sebuah negara bangsa. Jika sistem pendidikan kita berbentuk perkauman, maka kita akan menghasilkan generasi yang tebal dengan sifat perkaumannya. Ini sudah pasti akan menyukarkan pencapaian konsep `1 Malaysia' itu tadi. Selagi sekolah vernakular yang berasaskan kaum ini masih wujud di bumi bertuah ini, selagi itu lah kita tidak berupaya untuk menyeragamkan cara berfikir dan nilai bersama sebagaimana yang di harapkan ini. Bahasa Jiwa Bangsa. Ungkapan ini jelas menggambarkan bagaimana bahasa mampu menyerapkan roh dan jiwa di kalangan penuturnya untuk berfikir dengan misi dan visi yang seragam. Mana mungkin interaksi boleh berlaku secara tulus dan ikhlas sekiranya kita bercakap dengan nada dan maksud yang berbeza!

Setakat ini, hanya Malaysia satu-satunya negara didunia ini yang mempunyai pendidikan pelbagai kaum atau vernakular ini. Hanya orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak tidak ada sekolah mereka sendiri. Yang ada ialah sekolah kebangsaan untuk semua. Sistem inilah yang diguna pakai diseluruh dunia dimana semua bentuk pendidikan diseragamkan demi mencapai matlamat nasional. Contohnya, Thailand, Indonesia, malah dinegara-negara maju seperti Singapura, Eropah dan Amerika Syarikat. Negara-negara ini sanggup mengorbankan identiti kaum masing-masing demi perpaduan dan kemajuan negara masing-masing. Penyeragaman pendidikan di negara-negara ini telah berupaya menyatukan cara berfikir bangsa itu dan ini sudah pasti memudahkan proses perlaksanaan apa jua aspirasi negara berkenaan. Cuba fikirkan, agaknya mampukah Barrack Obama menjadi Presiden Amerika sekiranya beliau bertutur dalam bahasa Kenya atau mendapat pendidikan berbeza daripada majoriti rakyat Amerika?

Setelah 52 tahun merdeka, kita masih lagi sukar mengorbankan identiti kaum masing-masing. Kita perlu berfikir jauh ke hadapan demi perpaduan negara yang tercinta. Sistem pendidikan kita masih belum merdeka sepenuhnya kerana setiap kaum masih terbelenggu dengan kepompong cauvinistik kaum masing-masing, atau pun disebabkan oleh kepentingan politik yang tersendiri. Kehidupan kita sebenarnya semakin jauh dan terasing. Amat menyedihkan apabila kita bertutur dalam bahasa Melayu dengan kanak-kanak dari sekolah rendah aliran jenis kebangsaan, mereka seolah-olah tidak memahami apa yang kita perkatakan, sedangkan mereka telah dibesarkan sejak lahir di bumi tercinta ini! Ini tidak menghairankan kerana bahasa Melayu hanya diajar tiga kali seminggu di sekolah berbanding dengan bahasa ibunda mereka yang diajar pada setiap hari termasuk matapelajaran lain seperti matematik, Sains, Kemahiran Hidup, Pendidikan Moral, Sivik dan Kajian Tempatan. Secara umumnya, tahap penguasaan bahasa Melayu di kalangan kanak-kanak ini adalah rendah. Sedangkan hakikatnya, pada peringkat inilah mereka perlu dididik dengan bahasa yang membolehkan mereka berinteraksi dengan kaum-kaum lain dengan baik bagi memupuk perpaduan.

Sekiranya, bahasa Melayu dipelajari hanya sekadar untuk lulus peperiksaan sahaja, kesannya jelas terpancar pada corak interaksi antara pelajar-pelajar yang terdapat di sekolah menengah kebangsaan dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia pada waktu ini. Pengelompokan kaum boleh dilihat di dewan-dewan kuliah, perpustakaan, asrama, dan juga dalam membuat tugasan kerana mereka lebih selesa bertutur dalam bahasa ibunda sendiri. Ketidakupayaan berbahasa Melayu telah mengekang penglibatan mereka dalam perbincangan di dewan-dewan kuliah dan nampak seolah-olah tidak berpengetahuan dan pasif berbanding pelajar-pelajar yang lain. Ini sangat merugikan kerana idea mereka tidak dapat dikongsi dan disalurkan di gelanggang yang betul hanya kerana tidak yakin dengan kebolehan berbahasa Melayu ini. Kita harus sedar bahawa realiti di alam kerjaya kelak jauh berbeza. Kita dah tak mampu lagi untuk hanya bergaul dengan kaum masing-masing saja seumur hidup. Era globalisasi tak membenarkan ini berlaku kerana kita perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi yang baik dengan kaum-kaum atau bangsa-bangsa lain didunia ini untuk pergi jauh dalam apa bidang sekali pun.

Konsep Satu Malaysia seharusnya membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara.

Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama '1 Malaysia' iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini. Bagi menjayakan konsep `1 Malaysia', setiap kaum harus bersifat terbuka, bertolak ansur dan sanggup berkorban demi perpaduan negara tercinta ini.

Aliran sistem pendidikan yang tidak seragam menyukarkan penyatuan dari segi cara berfikir serta penyerapan nilai-nilai bersama yang penting dalam mewujudkan masyarakat yang berdaya maju pada masa akan datang. Aspek-aspek perpaduan dalam pendidikan haruslah diberikan perhatian yang serius supaya pemikiran kita tidak terus dibelenggu dengan pemikiran perkauman yang sempit yang membahayakan perpaduan negara. Saranan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir untuk mewujudkan Sekolah Wawasan harus di berikan pertimbangan yang serius kerana idea ini mampu menyeragamkan pendidikan dan meningkatkan interaksi di antara pelajar dari berbagai kaum tanpa menafi atau menjejaskan identiti masing-masing. Sempena ulangtahun kemerdekaan yang ke 52 tahun ini, marilah kita sama-sama berazam untuk terus maju ke hadapan dengan mengambil kekuatan dari setiap kaum untuk membina satu bangsa Malaysia yang lebih bersatu padu, matang dan berdaya maju!

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin