Ahad, Ogos 02, 2009

Kemana hilangnya akal?


Adakalanya akal yang dianugerahkan Tuhan kepada kita tidak disalurkan ke jalan yang wajar dan berfaedah. Kita sering hilang pertimbangan akibat nafsu dan emosi yang menguasai minda dan fikiran. Manusia sanggup jadi bodoh, diperbodohkan dan memperbodohkan orang lain hanya kerana kepentingan diri atau pihak-pihak tertentu. Perhimpunan haram di Kuala Lumpur semalam atas misi menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jelas menggambarkan ketidakmatangan sesetengah pihak dalam mengendalikan pertelingkahan atas isu-isu tertentu.Ramai yang cuba menangguk di air keruh dengan menjadi hero dalam budaya berdemonstrasi ini. Mereka tidak ambil endah akan kesan atau implikasi perbuatan itu kepada masyarakat, atau pun persekitaran. Hero-hero ini sanggup mempertaruhkan maruah dan imej negara demi mencapai tujuan politik atau pun kepentingan diri masing-masing. Mereka menjadi pendokong setia kepada Teori Machievelli yang menghalalkan segala cara bagi mencapai matlamat!

Tidakkah mereka memikirkan akan implikasi perhimpunan haram di tengah-tengah bandaraya pada waktu sibuk itu akan menyusahkan banyak pihak yang tidak berdosa, khususnya para peniaga dan orang ramai yang bersesak dengan urusan seharian yang perlu di selesaikan? Di manakah letaknya hati perut dan akal fikiran manusia ini, yang kerakusan mereka dah menyamai mentaliti masyarakat tertindas di negara mundur. Sedangkan pada hakikatnya,di negara tercinta ini, tidak pernah kelihatan senario manusia kelaparan ibarat rangka bergerak, berkeliaran kesana sini mencari sesuap nasi, atau pun orang merempat tidak berumah! Tidakkah mereka merasa bersyukur dengan segala kenikmatan yang ada dinegara ini, yang tahap kemajuan pembangunan serta keharmonian masyarakatnya, sering dijadikan contoh dan dicemburui rakyat dari negara lain yang dilanda kemiskinan, peperangan serta konflik yang berpanjangan?

Bagaimana nak jadi negara maju, kalau asyik dengan demonstrasi yang tak berkesudahan? Bila masanya yang kita boleh betul-betul duduk bekerja dan melaksanakan apa saja tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita. Bukankah ini masanya untuk kita merapatkan barisan sebagai satu Bangsa Malaysia untuk menjadi satu bangsa yang bersatu padu dan bermaruah! Orang-orang yang tidak bersyukur ini patut di hantar saja ke negara-negara miskin, atau mundur untuk belajar erti penderitaan sebenar yang berbaloi dan wajar untuk di perjuangkan habis-habisan! Mudah-mudahan dengan ini, mereka tidak lagi cepat melatah dan terikut-ikut dengan budaya demonstrasi ini bagi meluahkan ketidakpuasan hati. Sekurang-kurangnya, rakyat di negara miskin itu mempunyai sebab kukuh dengan seribu satu masalah untuk mereka berdemonstrasi!

Sekiranya mereka tahu sebab musabab rakyat kita berdemonstrasi itu ialah untuk menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah berjaya mengawal keamanan dan perpaduan sehingga kita mampu membangun sepesat ini, saya yakin mereka akan tertawa sinis dan kehairanan. Kerana di negara mereka, demonstrasi berlaku kerana kelaparan tetapi ironiknya, di Malaysia ini, rakyat berdemonstrasi kerana nak menghapuskan Akta yang telah menstabilkan keamanan negara sejak sekian lama, dan membolehkan kita mencari rezeki dengan selesa dan tidak menjadi lapar seperti mereka.

Teringat kata-kata pelajar antarabangsa saya dari Ghana yang baru sampai ke Malaysia untuk meneruskan pengajiannya di sini : "Sebaik saya sampai ke KLIA, saya menangis sebak kerana rasa kagum yang amat sangat dengan tahap kemajuan yang negara puan telah capai. Ghana dan Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun yang sama (1957) tetapi lihatlah Malaysia! Pembangunan negara puan sangat mengagumkan saya, penduduknya bebas bergerak, hidup dengan aman tanpa rasa takut, peralihan kuasa berlaku secara aman tanpa pertumpahan darah, dan puan patut bersyukur dengan pencapaian negara puan yang mengagumkan banyak pihak diluar sana, kerana sejak sekian lama, kami masih lagi tidak berupaya menikmati kemajuan sepesat ini!"

Lalu saya terfikir, memang manusia tak pernah puas dengan apa yang ada kerana kita sering tewas dengan ketamakan kuasa dan harta duniawi. Pergi ke luar negara sejenak dan lihatlah penderitaan di luar sana seluas-luasnya! Mudah-mudahan dengan ini, anda akan menjadi lebih menghargai keamanan negara ini dan tidak lagi menggadaikan maruah bangsa dengan mentaliti sempit yang bersandarkan nafsu semata-mata!

1 ulasan:

Unknown berkata...

hahaha.. nak dengar cerita lawak tak? kite cakap "matlamat menghalalkan cara" tu quote dari robin hood.. terbelahak kawan political science kite gelakkan kite..

Blog Widget by LinkWithin