Isnin, Ogos 24, 2009

Berfikir dengan Set Minda Pemenang


Manusia memang sukar untuk berubah, kecuali ada sesuatu mala petaka atau pengajaran besar yang berlaku dalam kehidupannya. Kejadian yang menginsafkan ini biasanya akan menyebabkan anda berfikir panjang dan bermuhasabah diri ke arah kebaikan. Keinginan untuk berubah itu sebenarnya tetap ada, cuma ia seringkali di sandarkan kepada pra syarat ciptaan sendiri. Misalnya :-

- Aku akan hanya melakukannya sekiranya semuanya telah dirancang dengan teliti.
- Aku akan berdiet selepas Tahun Baru, atau selepas hari lahir, atau pun sebaik sahaja balik dari percutian ke luar negara.
- Aku akan melanjutkan pelajaran apabila simpanan aku dah cukup.
- Kita akan memikirkan tentang anak apabila kewangan kita dah stabil nanti.
- Aku nak mula berniaga apabila modal dah cukup.

Seringkali ada perkataan 'APABILA' atau "JIKA' atau pun "ESOK', kan?

Malangnya, "ESOK' yang dinanti itu adakalanya, tak pernah kunjung tiba pun. Anda hanya menyandarkan peluang untuk berjaya kepada sasaran yang jarang dapat anda capai. Sekiranya mahu berjaya dalam apa jua lapangan yang diceburi, terutamanya dalam perniagaan, anda memerlukan satu peralihan paradigma. Ia tak boleh lagi dalam bentuk "AKAN", atau "SEKIRANYA". Sebaliknya, anda perlu melihat kehidupan ini dari perspektif yang berbeza secara keseluruhannya.

Sebahagian besar daripada kita masih melihat dari perspektif yang lama. Misalnya, aku perlu wang yang mencukupi supaya aku akan mendapat apa yang aku mahukan untuk mencapai cita-cita aku. Masalahnya, berapa sebenarnya jumlah simpanan yang mencukupi itu? Kita tahu atau tidak apa sebenarnya yang kita mahukan? Apa sebenarnya cita-cita yang kita nak capai itu?

Usahawan yang berjaya tahu bagaimana permainan ini perlu dimainkan. Mereka berjaya kerana perspektif kehidupan mereka adalah berasaskan kepada model yang diamalkan kebanyakan pemenang iaitu : Jadi/Buat/Miliki. Ini bermakna bahawa langkah pertamanya ialah kita perlu menjadi insan yang kita mahu jadi, kemudiannya, mesti melakukan sebagaimana orang-orang yang telah berjaya itu telah lakukan. Akhirnya, insyallah, kita akan miliki jua apa sahaja yang dimiliki oleh orang-orang yang dah berjaya tadi.

Bagaimana nak jadi orang yang berbeza dan lebih berjaya dari sebelumnya ini? Ia sebenarnya adalah masalah set minda. Itu yang perlu diubah terlebih dahulu. Sukar untuk berubah sekiranya anda tak berfikir sebagaimana usahawan yang berjaya tadi berfikir. Anda takkan jadi kaya sekiranya anda tak percaya bahawa anda boleh jadi kaya. Sekiranya mimpi anda tak sebesar impian yang anda ingin nak capai, anda tetap akan kekal berada di takuk yang lama sampai bila-bila pun. Cara anda berfikir telah meletakkan anda di fasa atau liga yang anda duduki sekarang dan anda akan terus berada disini tanpa sebarang peningkatan, sekiranya cara berfikir anda masih tetap sama.

Sebaik sahaja anda menukar set minda, anda perlu mencari orang yang telah berjaya dalam bidang itu dan lakukanlah sebagaimana yang telah mereka lakukan sebelum ini. Kenapa perlu bermula dari bawah? Orang-orang yang berjaya telah belajar apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak. Belajar lah secara bijak dari pakar-pakar yang terbaik ini. Mulakan penyelidikan di internet dan binalah rangkaian-rangkaian jaringan. Libatkan diri dalam kumpulan-kumpulan pencetus idea dan carilah mentor yang sesuai. Bersungguh-sungguhlah tanpa menyinggung perasaan orang lain. Orang lain akan mudah memberi tunjuk ajar sekiranya anda mempamerkan kesungguhan dan kesediaan untuk berbuat apa sahaja untuk menjadi pemenang. Akhirnya, sekiranya anda mematuhi paradigma baru ini dengan membuat peralihan set minda sebagaimana orang-orang yang telah berjaya, maka anda akan miliki apa sahaja yang anda mahukan dan akhirnya menjadi seorang pemenang juga.

Sabtu, Ogos 22, 2009

Kelebihan Ramadhan


1. Jin dan syaitan dibelenggu.

Nabi SAW telah menyebut juga bahawa pintu syurga dibuka, ditutup pintu neraka serta dibelenggu para syaitan (Riwayat Al-Bukhari, 1/18 ; Muslim, 1/41) ;

Mengikut imam Syafie hanya jin yang bengis dibelenggu. Mengikut imam Abu Hanifah, semua jin dibelenggu. Namun masih ada orang melakukan kejahatan kerana syaitan telah guna 11 bulan untuk terapkan nilai-nilai buruk dalam diri kita. Jadi dalam 1 bulan inilah kita harus ambil peluang utuk menyucikan segalanya.

Ada juga yang menyebut sebahagian jenis Syaitan yang utama sahaja di belenggu, manakala yang lain masih bebas lalu kerana itu masih terdapat yang membuat maksiat di bulan ini. Walaubagaimanapun, sebenarnya ia adalah akibat dorongan nafsu jahat yang telah lama terdidik dan terbiasa dengan ajakan Syaitan. Kebiasaan buruk ini mampu mendorong seseorang kearah kejahatan walau di ketika Syaitan utama di belenggu. (Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Syeikh Atiyyah Saqar, 2/13).

http://zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=594&Itemid=95


2. Setiap amalan fardhu dan sunat diganda 70 kali.

“ Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardu dan amal fardu diberi balasan 70 kali ganda

Contoh solat Jumaat. Sekiranya ada 5 kali Jumaat pada bulan itu, 5 x 70 = 350 Jumaat di luar Ramadahan = 7 tahun solat jumaat.

Pahala solat jumaat sama dengan pahala haji bagi orang miskin yang tak mampu mengerjakan haji.

*Solat Jumaat pada minggu akhir Ramadhan adalah solat Jumaat yang istimewa.
*Qadha solat fardhu juga dapat 70 kali ganda pahala.
Sedekah RM1 = RM70 di luar Ramadhan

* 1 dirham (RM1) hutang = 70 rakaat solat yang baik dan diterima ALLAH. Oleh itu langsaikanlah hutang sebelum kamu dilangsaikan.

3. Diampunkan dosa orang yang beri makan orang berbuka puasa

“Siapa memberi makan kepada orang yang berpuasa , pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya .”

4. Pintu neraka ditutup
Kepanasannya tidak sampai ke alam barzakh (alam perantaran). Seksaan dihentikan pada bulan ini. Sesiapa yang mati dibulan Ramadhan tidak diseksa dan disoal oleh Malaikat Mungkar dan Nakir. Ada yang berpendapat ia ditangguh sehingga lepas Ramadhan.

*Orang masuk neraka kerana degil atas kejahatannya.

5. Dibuka semua pintu syurga.

Banyak rahmat diturunkan pada bulan ini. Orang mukmin ditambah rezekinya seperti makanan yang sedap-sedap semua ada di bulan ini.

6. ALLAH hiaskan SYURGA. Bagaimana? Tidak terfikir oleh aqal manusia. Bidadari berpantun minta disegerakan bertemu bakal suaminya di syurga.

Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadhan . Pada awal bulan Ramadhan bertiup angina di bawah Arasy dan bergeraklah daun kayu dengan longlai di bawah syurga, terdengarlah desiran daun kayu, hembusan bayu syurga yang teramat indahnya, seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya hingga berdirilah di atas puncak mercu syurga itu, lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah ? Lalu bidadari lain pula bertanya : Apakah nama malam ini ? Jawab Malik Ridhwan , hai bidadari yang cantik manis, inilah malam Ramadhan .

7. Dilepaskan tahanan neraka dalam bulan Ramadahan (di akhirat juga masih ada bulan Ramadhan)

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam bersabda (yang ertinya): “Allah memiliki hamba-hamba yang dibebaskan dari neraka setiap siang dan malam bulan Ramadhan, dan semua orang muslim yang berdo’a akan dikabulkan do’anya.”

8.Diampunkan dosa yang lalu dan akan datang dari Syawal hingga Ramadhan sekiranya cukup dan sempurna syaratnya.

Peringatan-Maksiat mengurangkan pahala ibadat. Tambahkan ibadat, kurangkan/jauhkan maksiat untuk cemerlang dalam Ramadhan

9. Bulan dimana Al-Quran diturunkan dari LOH MAHFUZ ke Langit dunia (Baitul Izzah).


Quran diturunkan kepada Nabi secara berperingkat selama 23 tahun.Ayat pertama yang diturunkan iaitu IQRA’ tidak diturunkan semasa bulan Ramadhan tapi semasa Nabi berada di Gua Hira’.

Dai 1 /12 bulan, Ramadhan yang dipilih. Sudah tentu besar RAHMATnya bulan ini.

QURAN itu juga adalah RAHMAT yang besar (kehendak dan cara sembah Allah ada dalam quran) dan PETUNJUK. Selagi Quran ada diampunkan dosa kita, pintu taubat masih terbuka selagi ayat-ayat quran yang dihafal belum dihilangkan dari dada orang Islam.

Ad Dukhan [3] Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).

10. Lailatulqadar.


Umat Muhammad umurnya tidak seperti umat dahulu. Rasulullah dan Abu Bakar cuma 63tahun berbanding Bani Israel yang berjihad sehingga 80 tahun. Allah turunkan surah Al-Qadr untuk menenangkan para sahabat yang risau kerana tidak dapat beribadat seperti umat terdahulu.

Al-Qadr [4] Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

Allamah Sawi mengatakan pada malam itu turun ruh malaikat yang mempunyai 1 badan dan 1,000 muka. Besarnya ruh malaikat ini ialah kepalanya berada di bawah Arasy dan kakinya bertunjang ke bumi. Setiap muka mempunyai 1,000 mulut, kerjanya puji Allah, setiap lidah dalam bahasa yang berlainan (1,000 muka x 1,000 mulut = 1,000,000 bahasa)

Malaikat yang turun pada malam itu mengucapkan Salam kepada orang ISlam kecuali kepada peminum arak, pemakan babi dan orang Islam yang memutuskan Silatur-Rahim,

Al-Qadr [5] Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

2 malam yang istimewa dan tinggi darjahnya dalam islam ialah malam Lailatulqadar dan malam Nisfu Syaaban.

Majoriti ulama berpendapat lailatulqadar berlaku pada bulan Ramadhan. Hanya sebahagian kecil ulama (sahabat nabi- Abdullah bin Masud dan Imam Abu Hanifah) mengatakan di luar Ramadhan ada malam yang seperti Lailatulqadar.

Waktu lailatulqadar tidak sama antara satu tempat dengan tempat lain. Imam Ghazali mempunyai formula untuk mengira lailatulqadar berdasarkan hari mula puasa mengikut pengalamannya. (mungkin boleh dipakai di Malaysia kerana tempat beliau di Iran atau Iraq tidak jauh dari sini) Buatlah apa-apa ibadat pun seperti zikir, solat, baca quran. Semua orang tahu pahalanya 1000 bulan(84tahun).

Jika Awal Ramadhan (1 Ramadhan) jatuh pada hari :

[1] Ahad atau Rabu – Malam Lailatul Qadar dijangka akan berlaku pada malam ke-29 Ramadhan;

[2] Isnin – Malam Lailatul Qadar dijangka akan berlaku pada malam ke-21 Ramadhan;

[3] Selasa atau Jumaat – Malam Lailatul Qadar dijangka akan berlaku pada malam ke-27 Ramadhan;

[4] Khamis – Malam Lailatul Qadar dijangka akan berlaku pada malam ke-25 Ramadhan;

[5] Sabtu – Malam Lailatul Qadar dijangka akan berlaku pada malam ke-23 Ramadhan.

Carilah Lailatulqadar pada 10 malam terakhir, khasnya malam-malam ganjil.

Difailkan dalam: Fadhilat, Ramadhan

Rabu, Ogos 05, 2009

Melawan emosi negatif


Kunci utama bagi mengelakkan diri dari berfikiran negatif ialah menjauhkan diri dari rasa marah, tertekan, cemburu, sakit hati,resah gelisah, keliru dan risaukan perkara-perkara yang mustahil untuk ditangani. Jangan biarkan perasaan sebegini menguasai minda dan pemikiran kita. Emosi adalah sebahagian daripada tubuh badan kita dan ia akan tetap kekal disitu. Sekiranya kita sering memikirkan tentang emosi yang sama berulang-ulang kali dalam sehari, lama kelamaan ia akan mempengaruhi perasaan kita. Emosi yang paling dominan biasanya adalah rasa takut.
* Takut tak boleh buat....
* Takut takkan berjaya.....
* Takut ianya mustahil...
* Takut ianya tak sesuai untuk saya...
* Takut kita tak bernasib baik....
* Takut kita akan kalah......

Apabila ini berlaku, imaginasi akan dicengkam dengan lebih banyak pemikiran yang negatif. Adakalanya ini akan melumpuhkan tubuh badan sehingga kita tidak berdaya untuk berbuat apa-apa.

Contoh :
"Saya takut orang akan memandang rendah kepada saya sekiranya saya membuat sesuatu yang salah"

Pemikiran yang negatif sentiasa akan menghalang keinginan untuk bertindak dan mencari alternatif lain yang perlu dilakukan. Minda anda akan berperang dengan diri anda sendiri untuk mencari jawapan kepada setiap persoalan yang dikemukakan secara analitikal.

* "Kenapa orang memadang rendah kepada saya?"
* "Siapa orang-orang ini?"
* "Haruskah saya teruskan misi yang saya ada ini"
* "Pergi sajalah!"
* "Apa yang perlu saya lakukan?"

Apabila situasi negatif itu tiba, bersedialah, berhati-hati, dan yang paling penting ialah sentiasa berwaspada.

Adakalanya, apabila ini berlaku, anda akan terus berhenti daripada melakukan sesuatu, pergi ke mana-mana tempat yang agak sunyi dan duduk di situ buat seketika tanpa sebarang gangguan. Jangan cuba "berperang" denga perasaan negatif ini. Jangan bertanya, jangan menganalisa, jangan bercakap mengenainya, dan jangan terlalu memikirkan tentangnya.

Biarkan saja....

Yang penting, kita sedar akan perasaan ini dan biarkan ia menyerap ke seluruh tubuh badan supaya akhirnya ia akan bertukar menjadi positif kemudiannya.

Fahamilah walau apa pun punca kepada rasa ketidak selesaan yang sedang anda alami ini, anda seharusnya menerimanya secara terbuka. Anda harus tau di manakah letaknya rasa sakit itu, di dada, di lengan, atau di seluruh tubuh badan anda? Mungkin anda tak tau pun di mana lokasinya kerana perasaan itu berubah-ubah di tubuh anda. Kenalidari perasaan ini sebaliknya anda perlu berhadapan dengannya.

Katakan pada diri anda "Saya faham dan inilah yang saya sedang rasakan sekarang. Saya menerimanya."

Anda tak perlukan perkataan untuk memahami dan menerima sesuatu kerana adakalanya perkataan akan memburukkan sesuatu keadaan yang sememangnya sudah tegang. Dalam keadaan ini, adalah lebih baik untuk anda mendiamkan diri.

Anda tidak melawan perasaan negatif ini, tetapi sebaliknya menyerapnya dan menyebatikannya. Ia menjadi semakin mudah apabila anda sering mengulangi dengan cara yang sama ini.

Emosi bukanlah sesuatu yang anda boleh "membuang" atau "memadamnya" dengan mudah kerana anda sebenarnya tidak membuang apa-apa pun. Anda sebenarnya menyerap sesuatu untuk anda gunakan secara berfaedah di masa akan datang.

Amalan ini membolehkan anda menguasai perasaan negatif ini, terus maju ke hadapan dan bersedia untuk menghadapinya di masa yang akan datang.

Ahad, Ogos 02, 2009

Kemana hilangnya akal?


Adakalanya akal yang dianugerahkan Tuhan kepada kita tidak disalurkan ke jalan yang wajar dan berfaedah. Kita sering hilang pertimbangan akibat nafsu dan emosi yang menguasai minda dan fikiran. Manusia sanggup jadi bodoh, diperbodohkan dan memperbodohkan orang lain hanya kerana kepentingan diri atau pihak-pihak tertentu. Perhimpunan haram di Kuala Lumpur semalam atas misi menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jelas menggambarkan ketidakmatangan sesetengah pihak dalam mengendalikan pertelingkahan atas isu-isu tertentu.Ramai yang cuba menangguk di air keruh dengan menjadi hero dalam budaya berdemonstrasi ini. Mereka tidak ambil endah akan kesan atau implikasi perbuatan itu kepada masyarakat, atau pun persekitaran. Hero-hero ini sanggup mempertaruhkan maruah dan imej negara demi mencapai tujuan politik atau pun kepentingan diri masing-masing. Mereka menjadi pendokong setia kepada Teori Machievelli yang menghalalkan segala cara bagi mencapai matlamat!

Tidakkah mereka memikirkan akan implikasi perhimpunan haram di tengah-tengah bandaraya pada waktu sibuk itu akan menyusahkan banyak pihak yang tidak berdosa, khususnya para peniaga dan orang ramai yang bersesak dengan urusan seharian yang perlu di selesaikan? Di manakah letaknya hati perut dan akal fikiran manusia ini, yang kerakusan mereka dah menyamai mentaliti masyarakat tertindas di negara mundur. Sedangkan pada hakikatnya,di negara tercinta ini, tidak pernah kelihatan senario manusia kelaparan ibarat rangka bergerak, berkeliaran kesana sini mencari sesuap nasi, atau pun orang merempat tidak berumah! Tidakkah mereka merasa bersyukur dengan segala kenikmatan yang ada dinegara ini, yang tahap kemajuan pembangunan serta keharmonian masyarakatnya, sering dijadikan contoh dan dicemburui rakyat dari negara lain yang dilanda kemiskinan, peperangan serta konflik yang berpanjangan?

Bagaimana nak jadi negara maju, kalau asyik dengan demonstrasi yang tak berkesudahan? Bila masanya yang kita boleh betul-betul duduk bekerja dan melaksanakan apa saja tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita. Bukankah ini masanya untuk kita merapatkan barisan sebagai satu Bangsa Malaysia untuk menjadi satu bangsa yang bersatu padu dan bermaruah! Orang-orang yang tidak bersyukur ini patut di hantar saja ke negara-negara miskin, atau mundur untuk belajar erti penderitaan sebenar yang berbaloi dan wajar untuk di perjuangkan habis-habisan! Mudah-mudahan dengan ini, mereka tidak lagi cepat melatah dan terikut-ikut dengan budaya demonstrasi ini bagi meluahkan ketidakpuasan hati. Sekurang-kurangnya, rakyat di negara miskin itu mempunyai sebab kukuh dengan seribu satu masalah untuk mereka berdemonstrasi!

Sekiranya mereka tahu sebab musabab rakyat kita berdemonstrasi itu ialah untuk menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah berjaya mengawal keamanan dan perpaduan sehingga kita mampu membangun sepesat ini, saya yakin mereka akan tertawa sinis dan kehairanan. Kerana di negara mereka, demonstrasi berlaku kerana kelaparan tetapi ironiknya, di Malaysia ini, rakyat berdemonstrasi kerana nak menghapuskan Akta yang telah menstabilkan keamanan negara sejak sekian lama, dan membolehkan kita mencari rezeki dengan selesa dan tidak menjadi lapar seperti mereka.

Teringat kata-kata pelajar antarabangsa saya dari Ghana yang baru sampai ke Malaysia untuk meneruskan pengajiannya di sini : "Sebaik saya sampai ke KLIA, saya menangis sebak kerana rasa kagum yang amat sangat dengan tahap kemajuan yang negara puan telah capai. Ghana dan Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun yang sama (1957) tetapi lihatlah Malaysia! Pembangunan negara puan sangat mengagumkan saya, penduduknya bebas bergerak, hidup dengan aman tanpa rasa takut, peralihan kuasa berlaku secara aman tanpa pertumpahan darah, dan puan patut bersyukur dengan pencapaian negara puan yang mengagumkan banyak pihak diluar sana, kerana sejak sekian lama, kami masih lagi tidak berupaya menikmati kemajuan sepesat ini!"

Lalu saya terfikir, memang manusia tak pernah puas dengan apa yang ada kerana kita sering tewas dengan ketamakan kuasa dan harta duniawi. Pergi ke luar negara sejenak dan lihatlah penderitaan di luar sana seluas-luasnya! Mudah-mudahan dengan ini, anda akan menjadi lebih menghargai keamanan negara ini dan tidak lagi menggadaikan maruah bangsa dengan mentaliti sempit yang bersandarkan nafsu semata-mata!

Khamis, Julai 30, 2009

Mencipta Kejayaan dari Kegagalan


"Jika anda fikirkan anda dikalahkan, sememangnya anda telah kalah,
Jika anda fikirkan anda tidak berani, anda takkan berani mencuba,
Jika anda ingin menang, tapi anda fikir anda takkan menang,
Memang hampir pasti, anda tidak akan menang,
Jika anda fikir anda akan gagal, anda telah pun gagal.
Kerana segalanya tersemat dalam minda anda sendiri."

Orang yang berjaya belajar dari segala bentuk kegagalan yang mereka telah hadapi. Kita selalu rasa orang lain dapat mengecapi kejayaan dengan mudah. Pada hakikatnya, mereka telah bekerja keras untuk mencapai kemahiran di tahap yang luar biasa. Persaingan sengit di era globalisasi ini memerlukan kita mencari kelebihan bersaing yang akan menjadikan diri kita releven dan di perlukan dalam mana-mana organisasi. Ia memerlukan dorongan dan kesungguhan yang tak berbelah bagi.

Lihat saja pencapaian luar biasa orang-orang yang pernah gagal dan tidak pernah putus asa dalam perjuangannya. Henry Ford yang pernah menghadapi masalah kewangan akhirnya menjadi antara orang terkaya didunia, begitu juga dengan Albert Einstein yang beberapa kali gagal dalam subjek matematik nya. Thomas Edison telah gagal lebih 600 kali sebelum berupaya mencipta mentol lampu. Jesse Livermore, pedagang saham pernah menghadapi masalah kewangan berkali-kali akhirnya menjadi jutawan setelah beberapa kali menghadapi kegagalan.

JANGAN TAKUT KEPADA KEGAGALAN, SEBALIKNYA JADIKAN KEGAGALAN ITU SEBAGAI KAWAN

1. AKUI KEGAGALAN SECARA TERBUKA - Mengaku segala kesilapan dan terus maju ke hadapan.

2. JANGAN SALAHKAN ORANG LAIN - Jangan asyik mencari alasan. Bersedialah untuk memikul tanggungjawab sepenuhnya.

3. BELAJARLAH DARI KEGAGALAN - Setiap kejayaan dicapai itu berlaku apabila individu berupaya untuk menganalisis kekalahan yang telah dihadapi dan mendapat faedah daripada pengajaran ini.

4. JANGAN TERLALU AMBIL SERIUS DENGAN KEGAGALAN - Bangunkan elemen lucu dan kelakar dalam diri anda. Jangan terlalu serius dalam menangani cabaran-cabaran dalam kehidupan sehingga menyebabkan diri anda tertekan.

5. BERANIKAN DIRI - Jangan biarkan diri rasa terancam dengan kegagalan.

6. IMBANGI KEHIDUPAN ANDA - Semaikan minat dalam beberapa bidang kehidupan. Sekiranya anda gagal dalam bidang tertentu, anda masih ada peluang untuk mencipta kejayaan di bidang yang lain.

7. TETAPKAN SASARAN BARU - Henry Ford pernah berkata "Kegagalan adalah satu-satunya peluang untuk mencuba lagi untuk kali kedua dengan cara yang lebih bijak".

8. ORANG YANG KALAH BERKATA "Saya seorang yang gagal", manakala orang yang menang akan berkata "Aku telah gagal dalam percubaan, tetapi aku akan menang dan berjaya menangani semua cabarang yang menghalangi saya.

9. BERSEDIA UNTUK MENGHADAPI LEBIH BANYAK LAGI KEGAGALAN - Kita kena menjangkakan kegagalan pada setiap masa. Kegagalan adalah sebahagian dari kemenangan dan ramai orang tidak menang kerana mereka takut kepada kegagalan. Orang yang berjaya sebenarnya adalah orang yang telah banyak kali mengalami kegagalan dalam kehidupannya.

10. INGATLAH, KEGAGALAN SEBENARNYA ADALAH KEJAYAAN - Kegagalan adalah kejayaan dalam penciptaan. Orang yang tidak pernah melakukan kesilapan sebenarnya tidak berbuat apa-apa.

Lupakan segala kegagalan anda. Jangan tenggelam dalam kekecewaan.

Menjangkakan kegagalan. Sedarilah bahawa kita semua membuat kesilapan.

Lakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Jangan sesekali anda gagal kerana kurang daya usaha.

Belajarlah dari kesilapan. Jangan ulangi kesilapan yang lalu.

Cuba fahami sebab musabab kepada kegagalan anda. Kenal pasti kesilapan anda supaya anda tidak mengulanginya lagi.

Rabu, Julai 22, 2009

Positifkan pernyataan diri


Ada masanya kita seolah-olah tak bersemangat nak buat apa-apa pun pada hari-hari tertentu. Ia berpunca dari banyak sebab : kecewa, stress, bengang, keliru dan sebagainya. Perasaan yang berkecamuk seperti ini mudah membuat kita menangguh-nangguh tugas-tugas penting yang perlu disempurnakan. Sekiranya di beri pilihan, kita lebih rela berbaring dan bermalas-malasan tanpa berbuat apa-apa semata-mata nak melayan emosi yang tak keruan itu.

Malangnya, kita tak berupaya berbuat demikian kerana kehidupan kita pada masa kini banyak tertakluk kepada faktor masa. Tempoh masa yang telah ditetapkan itu perlu dikejar walau apa pun tekanan atau permasalahan yang melanda emosi kita pada waktu itu. Jika ia berkait rapat dengan soal kerja, kita perlu mengenepikan segala gangguan ini dan bertindak profesional.

Terdapat beberapa cara yang boleh kita lakukan untuk menangani keadaan ini.Misalnya, sekiranya anda merasakan :-

1. AKU TAK PEDULI: Jangan fikirkan langsung tentang tugas berkenaan. Sebaliknya, fikirkan faedah atau keuntungan yang bakal anda perolehi setelah anda selesai menyempurnakan tugas itu. Contohnya : Sekiranya anda berasa malas untuk mencuci pinggan pada setiap hari, fikirkan keinginan anda untuk mendapatkan dapur yang bersih dan kemas akan dapat mengikis sikap malas tadi.

2. KENAPA PULAK AKU?: Sikap memberontak ini tidak akan membawa anda kemana. Tumpukan perhatian kepada matlamat akhir anda. Kenapa anda mahu melakukan tugas itu? Apa hasil yang anda ingin capai?

3. BUAT YANG ITU LAGI BEST, KAN?: Perkara lain nampak lebih menarik untuk dilakukan. Minda anda nampaknya cuba mengelat. Satu cara untuk mengelakkan ini berlaku ialah dengan berjanji kepada diri sendiri bahawa anda akan membuat perkara lain yang lebih menarik itu selepas anda selesai menyempurnakan tugas yang lebih utama itu terlebih dahulu.

4. AKU TAK PERNAH BUAT MACAM TU!: Perkara baru memang menakutkan. Kita lebih gembira dan selesa melakukan perkara yang kita dah biasa buat. Anda perlu mencari seseorang yang sangat berminat dan gembira melakukan perkara itu untuk menceritakan pengalamannya kepada anda. Ini akan mendorong rasa ingin tahu anda untuk turut mencuba segala apa yang telah diceritakan kepada anda itu.

5. SAYA TAK SUKAKAN PERUBAHAN:
Perasaan ini berkait rapat dengan "AKU TAK PERNAH BUAT MACAM TU' itu tadi. Ia tak lebih dari alasan kepada perasaan takut yang di alami. Apabila kita rasa takut, ia akan menjadikan kita mudah berpuas hati dan rasa selesa dengan apa yang sedia ada. Ini menyebabkan kita tidak mahu mencuba perkara yang baru.

6. AKU DAH SELALU BUAT MACAM NI, OK JE..!: Sikap berlengah-lengah menjadi semakin kronik apabila anda suka benar mengenang masa lalu dengan kaedah-kaedah usang yang dah tak releven tu. Tinggalkan sahaja cerita lama tu dan terus bergerak ke hadapan untuk langkah-langkah baru yang lebih positif.

7. ADOI...!BANYAK NYA KERJA NAK BUAT!
Nampak macam banyak tapi sebenarnya sekiranya anda membuatnya pada masa yang sepatutnya ianya dilakukan, kerja itu akan menjadi lebih mudah. Lagi pun, nak berubah, memang lah kena kerja keras sikit, kan?

Orang yang berjaya adalah mereka yang sentiasa berusaha dan bekerja keras. Sebarang tugas akan menjadi lebih mudah sekiranya anda telah mematuhi tata cara yang betul dan konsisten dalam melakukannya. Sebaliknya, ia pasti menjadi sukar jika anda berlengah-lengah atau tidak melakukannya langsung.

Jika anda mahu mengelakkan diri dari perangkap sikap berlengah-lengah atau menangguh kerja ini, berikan perhatian kepada perkataan atau ayat yang anda gunakan serta tabiat berlengah-lengah ini.Sekiranya anda dapati anda sering menggunakan frasa-frasa di atas itu tadi, anda sebenarnya telah menghentikan pergerakan anda untuk maju ke hadapan.

Cuba tangani masalah ini dengan mengamalkan tindakan yang dicadangkan di atas tadi. Semoga anda akan menukar tabiat pasif ini kepada amalan yang lebih berfaedah dan menguntungkan anda.

Ahad, Julai 19, 2009

Pengaruh Persekitaran Terhadap Perwatakan Bangsa


"Faktor persekitaran memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi perlakuan manusia. Pengasas ilmu sosiologi, Ibn Khaldun (1332-1406) dalam kitab beliau Al-Muqaddimah, telah mengaitkan perubahan sistem sosial antara masyarakat dengan faktor persekitaran seperti iklim, tanah, makanan, sumber galian, kemampuan berfikir, jiwa dan emosi mereka. Beliau menghuraikan bagaimana masyarakat Badwi menjadi kasar dan ganas akibat kehidupan di padang pasir yang panas dan kering. Bagaimana pun, kehidupan mereka yang berpindah randah ini telah menjadikan kaum ini lebih bersikap berani berbanding kaum yang tinggal secara tetap seperti orang-orang Barbar, bangsa Turki, Turkoman serta Slavia, contohnya. Bagi Ibn Khaldun, kaum-kaum yang tinggal di desa-desa dan kawasan pergunungan dengan kegiatan bercucuk tanam ini menjadi malas, bersikap ambil mudah, dan tenggelam dalam kenikmatan serta kemewahan.

Kekuatan utama orang-orang Jepun pula dikatakan lahir daripada persekitaran Jepun dan perwatakan orang-orangnya. Iklim Jepun yang panas dan lembap serta bentuk muka buminya yang sesuai bagi penanaman padi menyebabkan tanaman ini menguasai sejarah dan peradaban Jepun sehingga perkataan Jepun bagi padi mempunyai simbol yang sama dengan makanan (Herbig, 1998). Penerusan dan kejayaan budaya penanaman padi telah mempengaruhi sistem sosial dan gaya hidup masyarakat Jepun seperti kesabaran, ketekunan, kerajinan, kerjasama, sifat pasif, konservatif, fatalisme, bertenaga, berani, berdikari, ketabahan, merendah diri dan berpegang kepada undang-undang. Penanaman padi memerlukan sistem pengairan yang sukar dibina dan dikekalkan atau dilindungi oleh sesebuah keluarga tertentu sahaja. Seluruh komuniti perlu bekerjasama dalam satu unit yang besar bagi meneruskan kehidupan mereka. Herbig (1998) menjelaskan bahawa orang-orang Jepun telah membentuk adat saling tolong menolong, penyelarasan kolektif, berkongsi risiko dan penyesuaian yang fleksibel terhadap persekitaran melalui pengalaman pertanian sejak berabad-abad lamanya.

Jika dilihat dari segi sejarah perkembangan masyarakat Amerika pula, jelas kelihatan bagaimana faktor persekitaran turut mempengaruhi pembentukan budaya masyarakat berkenaan. Kebanjiran kaum pendatang untuk menerokai tanah-tanah luas di Amerika pada abad ke 18 dan 19 telah menyemai sikap tabah serta daya juang yang tinggi dalam diri mereka. Berdekad-dekad lamanya, hak pemilikan tanah bagi seseorang itu diperolehi dengan cara mengusahakan tanah berkenaan dan mempertahankannya daripada diceroboh oleh orang lain. Mereka terpaksa mengejar apa sahaja peluang yang datang demi survival masing-masing. Keluasan tanah di Amerika menjadikan penempatan penduduk pada waktu itu agak berselerak, terpencil dan berjauhan antara satu sama lain. Keadaan ini menjadikan mereka berani, tabah serta mengutamakan kehidupan peribadi masing-masing yang akhirnya membentuk sikap individualistik dalam diri mereka. Pekerjaan sering disama ertikan dengan kejayaan manakala masa pula dengan wang. Pada umumnya, masyarakat Amerika bersikap optimistik, berorientasikan masa depan (future-oriented) dan tidak takutkan cabaran serta persaingan (Lewis, 2000).

Berbeza dengan masyarakat Barat yang melihat hak asasi berpaksi di sekitar individu, masyarakat Asia dan Afrika menyanjung tinggi hak komuniti atau bangsa mereka. Pengalaman serta perjuangan semasa di zaman penjajahan di sesetengah negara Asia menjadikan semangat berkumpulan itu lebih menebal di kalangan mereka. Semangat kerjasama serta hubungan kekeluargaan yang rapat merupakan antara ciri signifikan kebanyakan masyarakat di Asia. Keadaan yang sama dapat di dilihat di kalangan masyarakat di negeri China di mana keluarga merupakan institusi yang dihormati di China dan hierarkinya dipelihara. Confucianisme menganggap keluarga sebagai unit utama dalam masyarakat dan ketaatan kepada ibu bapa adalah sangat penting dalam hubungan kekeluargaan. Ketaatan ini dikatakan lebih utama daripada ketaatan kepada anak-anak, isteri atau pemimpin. Mereka diajar supaya merendah diri dan tidak meminta kerana kesederhanaan adalah satu kebaikan di China."

# Petikan dari buku : "DIMENSI BUDAYA TEKNOLOGI DALAM ERA GLOBALISASI" oleh NORHANI BAKRI
yang bakal diterbitkan oleh Penerbit UTM.
Blog Widget by LinkWithin