Ahad, Julai 19, 2009

Pengaruh Persekitaran Terhadap Perwatakan Bangsa


"Faktor persekitaran memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi perlakuan manusia. Pengasas ilmu sosiologi, Ibn Khaldun (1332-1406) dalam kitab beliau Al-Muqaddimah, telah mengaitkan perubahan sistem sosial antara masyarakat dengan faktor persekitaran seperti iklim, tanah, makanan, sumber galian, kemampuan berfikir, jiwa dan emosi mereka. Beliau menghuraikan bagaimana masyarakat Badwi menjadi kasar dan ganas akibat kehidupan di padang pasir yang panas dan kering. Bagaimana pun, kehidupan mereka yang berpindah randah ini telah menjadikan kaum ini lebih bersikap berani berbanding kaum yang tinggal secara tetap seperti orang-orang Barbar, bangsa Turki, Turkoman serta Slavia, contohnya. Bagi Ibn Khaldun, kaum-kaum yang tinggal di desa-desa dan kawasan pergunungan dengan kegiatan bercucuk tanam ini menjadi malas, bersikap ambil mudah, dan tenggelam dalam kenikmatan serta kemewahan.

Kekuatan utama orang-orang Jepun pula dikatakan lahir daripada persekitaran Jepun dan perwatakan orang-orangnya. Iklim Jepun yang panas dan lembap serta bentuk muka buminya yang sesuai bagi penanaman padi menyebabkan tanaman ini menguasai sejarah dan peradaban Jepun sehingga perkataan Jepun bagi padi mempunyai simbol yang sama dengan makanan (Herbig, 1998). Penerusan dan kejayaan budaya penanaman padi telah mempengaruhi sistem sosial dan gaya hidup masyarakat Jepun seperti kesabaran, ketekunan, kerajinan, kerjasama, sifat pasif, konservatif, fatalisme, bertenaga, berani, berdikari, ketabahan, merendah diri dan berpegang kepada undang-undang. Penanaman padi memerlukan sistem pengairan yang sukar dibina dan dikekalkan atau dilindungi oleh sesebuah keluarga tertentu sahaja. Seluruh komuniti perlu bekerjasama dalam satu unit yang besar bagi meneruskan kehidupan mereka. Herbig (1998) menjelaskan bahawa orang-orang Jepun telah membentuk adat saling tolong menolong, penyelarasan kolektif, berkongsi risiko dan penyesuaian yang fleksibel terhadap persekitaran melalui pengalaman pertanian sejak berabad-abad lamanya.

Jika dilihat dari segi sejarah perkembangan masyarakat Amerika pula, jelas kelihatan bagaimana faktor persekitaran turut mempengaruhi pembentukan budaya masyarakat berkenaan. Kebanjiran kaum pendatang untuk menerokai tanah-tanah luas di Amerika pada abad ke 18 dan 19 telah menyemai sikap tabah serta daya juang yang tinggi dalam diri mereka. Berdekad-dekad lamanya, hak pemilikan tanah bagi seseorang itu diperolehi dengan cara mengusahakan tanah berkenaan dan mempertahankannya daripada diceroboh oleh orang lain. Mereka terpaksa mengejar apa sahaja peluang yang datang demi survival masing-masing. Keluasan tanah di Amerika menjadikan penempatan penduduk pada waktu itu agak berselerak, terpencil dan berjauhan antara satu sama lain. Keadaan ini menjadikan mereka berani, tabah serta mengutamakan kehidupan peribadi masing-masing yang akhirnya membentuk sikap individualistik dalam diri mereka. Pekerjaan sering disama ertikan dengan kejayaan manakala masa pula dengan wang. Pada umumnya, masyarakat Amerika bersikap optimistik, berorientasikan masa depan (future-oriented) dan tidak takutkan cabaran serta persaingan (Lewis, 2000).

Berbeza dengan masyarakat Barat yang melihat hak asasi berpaksi di sekitar individu, masyarakat Asia dan Afrika menyanjung tinggi hak komuniti atau bangsa mereka. Pengalaman serta perjuangan semasa di zaman penjajahan di sesetengah negara Asia menjadikan semangat berkumpulan itu lebih menebal di kalangan mereka. Semangat kerjasama serta hubungan kekeluargaan yang rapat merupakan antara ciri signifikan kebanyakan masyarakat di Asia. Keadaan yang sama dapat di dilihat di kalangan masyarakat di negeri China di mana keluarga merupakan institusi yang dihormati di China dan hierarkinya dipelihara. Confucianisme menganggap keluarga sebagai unit utama dalam masyarakat dan ketaatan kepada ibu bapa adalah sangat penting dalam hubungan kekeluargaan. Ketaatan ini dikatakan lebih utama daripada ketaatan kepada anak-anak, isteri atau pemimpin. Mereka diajar supaya merendah diri dan tidak meminta kerana kesederhanaan adalah satu kebaikan di China."

# Petikan dari buku : "DIMENSI BUDAYA TEKNOLOGI DALAM ERA GLOBALISASI" oleh NORHANI BAKRI
yang bakal diterbitkan oleh Penerbit UTM.

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin