Sabtu, Julai 18, 2009

Budaya Ilmu dan Pembelajaran


"Pembinaan budaya ilmu yang bersepadu merupakan pra syarat awal dan terpenting bagi kekuatan dan kecemerlangan sesebuah bangsa. Kajian Profesor Ezra Vogel dari Universiti Harvard merumuskan bahawa kejayaan Jepun terletak kepada kepekaan pemimpin, institusi dan rakyat Jepun terhadap ilmu dan maklumat serta kesungguhan mereka dalam mengumpul dan menggunakan ilmu untuk faedah mereka (Wan Mohd. Nor, 1997). Semangat ghairah untuk menuntut ilmu atau memperoleh pendidikan di kalangan masyarakat Jepun dikatakan bermula pada awal Zaman Meiji (antara tahun 1860an hingga 1880an). Pada akhir tahun 1888, terdapat hampir 30,000 pelajar yang menghadiri hampir 90 buah sekolah swasta di Tokyo dan 80 % daripada mereka ini datangnya dari kawasan luar bandar. Pelajar miskin dibiayai oleh sistem biasiswa pemberian dari tuan tanah dan hartawan. Mereka disajikan dengan kisah kejayaan dari Timur dan Barat serta motivasi yang terkandung dalam buku teks pendidkan moral atau akhlak sekolah rendah yang kemudiannya terbawa ke peringkat individu, keluarga, masyarakat dan negara. Semangat kegigihan menuntut ilmu disebarkan melalui buku teks, tugu dan nyanyian yang bersifat pragmatis dan nasionalis.

Pada umumnya, masyarakat China memberikan penekanan yang istimewa kepada pembelajaran dan pendidikan sejak dahulu lagi. Dalam tamadun China, para cendiakawan mempunyai pengaruh yang amat besar dalam kehidupan negara dan masyarakat. Bagaimana pun, “ilmu” tidak menduduki martabat satu konsep asas atau tidak menjadi satu slogan yang dicita-citakan oleh semua lapisan rakyat seperti dalam tamadun Islam misalnya (Wan Mohd. Nor, 1997). Ilmu pada pandangan masyarakat China khasnya daripada mazhab Konfuciunisme Baru, dipengaruhi oleh penekanan kepada amal yang dianggap lebih utama daripada ilmu dan menjadi perhatian utama individu dan masyarakat. Kecenderungan kuat terhadap amal menyebabkan kebudayaan China tidak mempunyai falsafah formal (yang membolehkan mereka menulis dan menghuraikan dengan sistematik gagasan pemikiran mereka ) yang meliputi bidang logik (kaedah berfikir), epistemologi (berkenaan sumber ilmu, cara memperoleh dan membuktikannya) dan aksiologi (berkenaan nilai).

Mengikut ahli sejarah falsafah China yang terkenal, Fung Yu Lan, kebanyakan ahli falsafah China tidak menganggap ilmu sebagai perkara penting kecuali yang boleh diamalkan. Kecenderungan amali dalam falsafah China telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan teknologi dalam tamadun mereka. Tamadun China telah memberikan sumbangan yang besar dalam penciptaan teknologi awal seperti pembuatan kertas, sutera, percetakan, kompas, ubat nerian dan lain-lain.

Budaya India Kuno pula mencerminkan kecenderungan yang bertentangan dengan falsafah China di mana penekanan ilmu yang paling abstrak merupakan ciri umum budaya berkenaan. Dalam falsafah India, amal adalah kurang penting berbanding ilmu. Semua cabang ilmu tumbuh dan berkembang di sekitar keperluan agama Hindu yang menjadi teras kehidupan masyarakat India Kuno. Ilmu astronomi lahir daripada penyembahan kepada matahari, bulan dan bintang. Pemerhatian dan kajian tentang makhluk ini bertujuan untuk memastikan tarikh bagi perayaan dan pengorbanan keagamaan. Ilmu bahasa seperti nahu dan bidang lain tumbuh kerana keperluan beribadat yang memerlukan ianya dilafazkan dengan betul. Sumbangan keilmuan India penting dalam bidang astronomi, geometri, perubatan dan beberapa bidang lain. Sistem kasta dalam agama Hindu yang tertutup membataskan penglibatan keilmuan ini yang dipelopori dan dikembangkan oleh golongan agama, khasnya Brahmin.

Jerman Barat juga dikenali sebagai negara ilmu pendidikan. Orang Jerman berjuang untuk mendapatkan sistem pengetahuan yang sempurna berasaskan analisa yang mendalam, pengelolaan yang cermat dan pemakaian teori (Masanori, 1985). Orang-orang terpelajar dan sarjana dianggap pemberi khidmat atau hamba kepada sains. Hasilnya, mereka menikmati kewibawaan yang tinggi dan dihormati. Di antara semua bidang sains, kimia merupakan kekuatan utama dan Jerman merupakan penyumbang terbesar bidang ini berbanding negara-negara lain. Orang yang mula-mula sekali membayangkan lingkaran benzene (benzene ring) yang menjadi titik tolak kepada kajian kimia organik ialah seorang ahli sains Jerman bernama Friedrich A. Kekule yang menggambarkannya dalam bentuk kura-kura manakala seorang lagi iaitu H. Standingen pula mula mengkaji struktur polimer yang merintis jalan ke arah pembangunan fiber tiruan (Masanori, 1985).

Jika Britain mendapat gelaran negara fiziks dan reka cipta, Jerman pula adalah negara kimia dan penemuan baru. Kekurangan orang Jerman dari segi kecerdasan otak berbanding orang Inggeris di atasi dengan bekerja keras, mengumpul maklumat, menganalisa dan meluaskan konsep untuk membina sistem yang tepat dan jelas berdasarkan logik. Walau pun sikap ingin tahu mereka kurang berbanding orang Inggeris, namun mereka menyanjung serta menghargai tradisi dan serius dari segi sikap, kelakuan, tabiat dan tingkah laku, bersifat mulia, tegap dan kukuh. Hasil dari sifat sebeginilah yang menjayakan Jerman dalam membangunkan teknologinya yang bergerak pantas seperti elektronik. Kekuatan Jerman terletak pada cara ia menilai sains tulen dengan begitu tinggi dan dilengkapi dengan keunggulan teknologinya."

# Petikan dari buku : "DIMENSI BUDAYA TEKNOLOGI DALAM ERA GLOBALISASI" oleh NORHANI BAKRI
yang bakal diterbitkan oleh Penerbit UTM.

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin