Khamis, Julai 09, 2009

Berjaya ala Michael Jackson


Pemergian lagenda pop dunia, Michael Jackson pastinya meninggalkan kesan mendalam, bukan saja pada peminat setianya tetapi juga kepada penggemar dunia hiburan seantero dunia. Samada kita suka atau tidak, keistimewaan manusia misteri ini tidak mudah untuk dilupakan begitu saja. Berita tentang beliau sering mendominasi dada akhbar dan majalah sehinggalah ke saat-saat akhir kehidupannya. Selepas seminggu kematiannya, jelas terasa impak kehilangannya yang terus diratapi jutaan peminat beliau di seluruh dunia.

Biar pun dilanda kontroversi yang berpanjangan, penuh misteri dan kesedihan, raja pop ini sememangnya seorang superstar yang mengecapi kemewahan hidup yang menjadi impian ramai. Apa agaknya rahsia kejayaan Michael Jackson ini, ya?

Terdapat empat rahsia yang boleh kita hubungkan dengan penghibur lagenda ini yang boleh dijadikan contoh bagi mencipta kejayaan bagi diri kita sendiri pula.

Contoh adalah seperti berikut:-

MICHAEL JACKSON SANGAT GHAIRAH DENGAN APA YANG BELIAU LAKUKAN :

Beliau membuat sesuatu yang menggembirakan beliau - menyanyi dan menari. Apabila kita gembira melakukan sesuatu, maka ia akan sentiasa merangsang secara semula jadi setiap apa yang kita lakukan. Kebahagiaan adalah penting dalam memastikan pencapaian kejayaan. Kita perlu rasa gembira untuk menjadi lebih fokus dalam apa jua yang kita lakukan. Keghairahan melakukan sesuatu itu akan mendorong kita melakukannya secara bersungguh-sungguh tanpa memikirkan tentang kesukaran yang terpaksa kita lalui. Sekiranya ingin berjaya, buatlah sesuatu yang kita suka, dan sentiasa ghairah dengan apa yang kita lakukan.

MICHAEL JACKSON DAN KUALITI KEANAK-ANAKANNYA :
Sebagai insan yang tidak melalui zaman kanak-kanak yang normal, beliau merasa bahagia apabila dapat menghubungkan dirinya dengan sifat keanak-anakan yang wujud dalam dirinya. Beliau sendiri memiliki kualiti keanak-anakan, dan enggan menjadi dewasa dan mahu menjalani kehidupannya secara yang tersendiri. Seorang kanak-kanak biasanya percaya yang dia akan mendapat apa saja yang dia impikan. Michael mungkin tidak memenuhi kesemua yang beliau idamkan tetapi yang pasti beliau memiliki segala apa yang masyarakat majoriti tidak berupaya mencapainya. Sekiranya kita mahu berjaya, contohilah Michael Jackson : Jangan terlalu mengambil serius akan kehidupan ini. Percaya lah bahawa segalanya tidak mustahil dan semua insan adalah orang yang baik-baik belaka - sebagaimana yang sering difikirkan oleh kanak-kanak.

MICHAEL JACKSON BERUBAH SECARA KONSISTEN :

Beliau sememangnya seorang pencipta yang unggul - yang sentiasa mencipta semula imej,lagu dan persembahannya dari masa kesemasa - perubahan ini melalui satu evolusi yang berkembang seiring dengan masa. Beliau dengan secara uniknya menjenamakan dirinya sendiri. Tiada yang lain sepertinya, dulu, kini dan selamanya. Beliau bertahan selama empat dekad dengan keberaniannya mengambil risiko. Biar pun tidak semua imejnya disenangi ramai, namun perlakuan dan gelagatnya mendefinisikan jenama bagi dirinya sendiri. Beliau turut mengekalkan misteri kehidupannya itu sehinggalah ke upacara pengkebumiannya. Sekiranya kita mau berjaya, serlahkan keunikan yang kita ada yang membuat kita tampak berbeza dan menonjol berbanding orang lain.

MICHAEL JACKSON CEMERLANG BIARPUN DALAM KESUKARAN DAN PENDERITAAN :
Latar belakang zaman awal beliau yang penuh kesukaran dan cabaran serta kehilangan zaman kanak-kanaknya yang normal, menyerlahkan lagi penjenamaan isu-isu yang berkaitan dengan dirinya. Kenapa? Ini kerana beliau telah berlaku jujur dan percaya kepada dirinya sendiri. Sekiranya kita mau berjaya, kita perlu mengelakkan diri kita dari menyalahkan orang lain di atas segala kegagalan yang berlaku. Sebaliknya kita perlu sentiasa berusaha mempertingkatkan diri kita dari masa ke semasa. Secara positifnya, kita perlu melihat kesengsaraan dan penderitaan hidup sebagai satu motivasi diri yang mampu mendorong kita untuk mencipta kejayaan.

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin