Rabu, Julai 22, 2009

Positifkan pernyataan diri


Ada masanya kita seolah-olah tak bersemangat nak buat apa-apa pun pada hari-hari tertentu. Ia berpunca dari banyak sebab : kecewa, stress, bengang, keliru dan sebagainya. Perasaan yang berkecamuk seperti ini mudah membuat kita menangguh-nangguh tugas-tugas penting yang perlu disempurnakan. Sekiranya di beri pilihan, kita lebih rela berbaring dan bermalas-malasan tanpa berbuat apa-apa semata-mata nak melayan emosi yang tak keruan itu.

Malangnya, kita tak berupaya berbuat demikian kerana kehidupan kita pada masa kini banyak tertakluk kepada faktor masa. Tempoh masa yang telah ditetapkan itu perlu dikejar walau apa pun tekanan atau permasalahan yang melanda emosi kita pada waktu itu. Jika ia berkait rapat dengan soal kerja, kita perlu mengenepikan segala gangguan ini dan bertindak profesional.

Terdapat beberapa cara yang boleh kita lakukan untuk menangani keadaan ini.Misalnya, sekiranya anda merasakan :-

1. AKU TAK PEDULI: Jangan fikirkan langsung tentang tugas berkenaan. Sebaliknya, fikirkan faedah atau keuntungan yang bakal anda perolehi setelah anda selesai menyempurnakan tugas itu. Contohnya : Sekiranya anda berasa malas untuk mencuci pinggan pada setiap hari, fikirkan keinginan anda untuk mendapatkan dapur yang bersih dan kemas akan dapat mengikis sikap malas tadi.

2. KENAPA PULAK AKU?: Sikap memberontak ini tidak akan membawa anda kemana. Tumpukan perhatian kepada matlamat akhir anda. Kenapa anda mahu melakukan tugas itu? Apa hasil yang anda ingin capai?

3. BUAT YANG ITU LAGI BEST, KAN?: Perkara lain nampak lebih menarik untuk dilakukan. Minda anda nampaknya cuba mengelat. Satu cara untuk mengelakkan ini berlaku ialah dengan berjanji kepada diri sendiri bahawa anda akan membuat perkara lain yang lebih menarik itu selepas anda selesai menyempurnakan tugas yang lebih utama itu terlebih dahulu.

4. AKU TAK PERNAH BUAT MACAM TU!: Perkara baru memang menakutkan. Kita lebih gembira dan selesa melakukan perkara yang kita dah biasa buat. Anda perlu mencari seseorang yang sangat berminat dan gembira melakukan perkara itu untuk menceritakan pengalamannya kepada anda. Ini akan mendorong rasa ingin tahu anda untuk turut mencuba segala apa yang telah diceritakan kepada anda itu.

5. SAYA TAK SUKAKAN PERUBAHAN:
Perasaan ini berkait rapat dengan "AKU TAK PERNAH BUAT MACAM TU' itu tadi. Ia tak lebih dari alasan kepada perasaan takut yang di alami. Apabila kita rasa takut, ia akan menjadikan kita mudah berpuas hati dan rasa selesa dengan apa yang sedia ada. Ini menyebabkan kita tidak mahu mencuba perkara yang baru.

6. AKU DAH SELALU BUAT MACAM NI, OK JE..!: Sikap berlengah-lengah menjadi semakin kronik apabila anda suka benar mengenang masa lalu dengan kaedah-kaedah usang yang dah tak releven tu. Tinggalkan sahaja cerita lama tu dan terus bergerak ke hadapan untuk langkah-langkah baru yang lebih positif.

7. ADOI...!BANYAK NYA KERJA NAK BUAT!
Nampak macam banyak tapi sebenarnya sekiranya anda membuatnya pada masa yang sepatutnya ianya dilakukan, kerja itu akan menjadi lebih mudah. Lagi pun, nak berubah, memang lah kena kerja keras sikit, kan?

Orang yang berjaya adalah mereka yang sentiasa berusaha dan bekerja keras. Sebarang tugas akan menjadi lebih mudah sekiranya anda telah mematuhi tata cara yang betul dan konsisten dalam melakukannya. Sebaliknya, ia pasti menjadi sukar jika anda berlengah-lengah atau tidak melakukannya langsung.

Jika anda mahu mengelakkan diri dari perangkap sikap berlengah-lengah atau menangguh kerja ini, berikan perhatian kepada perkataan atau ayat yang anda gunakan serta tabiat berlengah-lengah ini.Sekiranya anda dapati anda sering menggunakan frasa-frasa di atas itu tadi, anda sebenarnya telah menghentikan pergerakan anda untuk maju ke hadapan.

Cuba tangani masalah ini dengan mengamalkan tindakan yang dicadangkan di atas tadi. Semoga anda akan menukar tabiat pasif ini kepada amalan yang lebih berfaedah dan menguntungkan anda.

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin