Selasa, Julai 07, 2009

Pancarkan keikhlasan dalam budi bahasa


Peredaran zaman yang semakin materialistik dah menjadikan hubungan antara sesama manusia menjadi agak hipokrit dan lebih berasaskan "untung dan rugi". Dimanakah perginya keikhlasan pabila hubungan ini dah jadi tak lebih dari satu ikatan "kahwin kontrak" yang tempoh luputnya kan tiba pabila segala misi dan visi dah tercapai. Malangnya nasib kawan yang dipergunakan sebegitu rupa, ibarat "Ada duit abang datang, takde duit, abang melayang"! Tidakkah sedikit pun ada rasa sensitiviti kepada perasaan orang lain agaknya? Bukan kah sesuatu hubungan itu perlu di bajai sentiasa dengan penuh keikhlasan tanpa sebarang niat lain yang lebih berasaskan keuntungan peribadi?

Keikhlasan bukan saja terpancar di mata tetapi juga terjelma dalam bentuk perlakuan dan tindak tanduk kita! Sikap yang saling mengambil berat dan bertanya khabar, misalnya, adalah jelmaan dari rasa keikhlasan ini. Tidak perlu wang ringgit berjuta untuk melakukan ini semua, cukup sekadar budi bahasa dan rasa hormat sebagai tanda menghargai perhubungan ini. Teringat bagaimana bangsa Jepun sering memulakan hari pertama kerja dengan ucapan "Harap beri tunjuk ajar kepada saya!" . Agak mengagumkan bagaimana bangsa yang maju ini mampu merendahkan dirinya begitu sekali demi menjaga hubungan baik sesama pekerja. Rendah diri orang Jepun ini memang bertempat dan penuh dengan keikhlasan. Inilah budi bahasa bangsa Jepun yang menjadi salah satu daripada kunci kejayaan mereka. Ibarat resam padi "Semakin tinggi, semakin ia menunduk".

Perhubungan yang berkesan sangat bergantung kepada keikhlasan pihak-pihak yang terlibat dalam jalinan ini. Ia pasti takkan dapat bertahan lama sekiranya hanya berdasarkan kepada "untung dan rugi". Keikhlasan adalah penting bagi memastikan emosi yang wujud antara kedua-dua pihak itu adalah tulus dan suci tanpa sebarang syarat yang mengikat antara kedua-duanya. Hanya keikhlasan saja yang mampu memperjuang dan mengekalkan hubungan sesama manusia, walau apa pun yang terjadi....

Tiada ulasan:

Blog Widget by LinkWithin