Rabu, Jun 10, 2009

Tak sangka dah top!

Baru seminggu Nora Bakry beroperasi di dunia maya ni, alhamdulillah dah disenaraikan sebagai antara blog yang top dalam carian.

Tak percaya? Jengok-jengoklah kat laman web ini:-

http://www.feesability.net/permata_pintar_/blogs.htm#


Related 'Permata Pintar' Searches:

________________________________________
top user searches: "permata pintar"
"nora bakry"
"permata pintar"
"permata pintar ukm"
"permatapintar"


Makin bersemangat rasanya nak menulis ni... Terima kasih atas sokongan semua kerana sudi membaca blog yang tak sepertinya ini. Apa pun yang ditulis setakat ini memang datangnya daripada pandangan peribadi saya yang tulus ikhlas tentang kehidupan dan motivasi diri yang perlu ada bagi menangani cabaran-cabaran di era globalisasi ini. Saya sekadar ingin berkongsi cerita dan pengalaman lalu yang telah banyak mengajar saya tentang jerit perih perjuangan yang harus kita tempuhi dalam meniti kejayaan. Disamping kita sibuk mengejar kemajuan ini, jangan sekali-kali kita lalai sehingga lupakan pegangan agama dan jati diri kita sebagai anak Malaysia di bumi bertuah ini.....Ini sebenarnya menjadi intipati penting dalam blog ini.

Semalam blog kesayangan saya yang satu lagi tu, "Dr. Honey" dah meraikan entri yang ke 100nya. Alhamdulillah, jumlah pembacanya dah semakin meningkat dari hari ke hari. Lihat bagaimana penggunaan Bahasa Inggeris dalam blog ini berupaya menarik pembaca dari seantero dunia. Menguasai Bahasa Inggeris tidak bermakna kita mengabaikan bahasa ibunda sendiri lantas menjadi kurang patriotik. Sebagai bahasa antarabangsa yang dipertuturkan oleh majoriti penduduk dunia, kita perlu menguasainya demi ilmu pengetahuan dan inovasi teknologi untuk kekal bersaing dengan negara-negara maju yang lain. Disamping itu juga, ia sangat membantu dalam membina jaringan hubungan diperingkat antarabangsa. Tak kiralah dari segi ekonomi, sosial atau pun politik.

Sekiranya bahasa boleh membawa kita pergi lebih jauh dan maju dalam apa jua bidang, apa salahnya kan? Yang penting kita tak mudah lupa diri dan masih kenal asal usul bangsa sendiri....Supaya tak jadi si Tanggang yang bongkak dengan ibunya bila dah jadi kaya dan berkahwin pulak dengan anak raja..! Kalau si Tanggang kena sumpah jadi batu, minta-minta tak adalah yang kena "sumpahan" dalam bentuk yang lain pula di zaman moden ni...

Ahad, Jun 07, 2009

Jangan jadi Robin Hood

Demi nafsu dan keinginan, adakalanya manusia sanggup mewajarkan sesuatu perkara atau perbuatan yang terbukti bertentangan bukan sahaja dari segi hukum agama, tetapi juga peraturan moral dan etika. Kewajaran terhadap kelakuan ini biasanya berlaku apabila manusia mencipta alasan-alasan yang boleh diterima bagi kelakuan berkenaan, yang sebenarnya bukan berasaskan kepada sebab musabab yang tepat. Matlamat menghalalkan cara tajaan Teori Machiavelli seolah-olah menjadi model kepada kewajaran ini. Apa saja cara boleh digunakan asalkan ianya mencapai matlamat tanpa mengira samada jalannya betul atau pun salah.

Masalahnya, apa sahaja nama atau alasan yang diberikan kepada perbuatan itu, jika ianya salah, ia tetap salah dan tidak dapat diterima oleh masyarakat kerana implikasi dari perbuatan ini tetap buruk dan merosakkan, samada terhadap diri sendiri, masyarakat atau pun persekitaran. Jangan jadi seperti Robin Hood yang berbakti kepada orang miskin dengan merompak harta benda orang kaya. Perbuatan merompak itu sendiri sudah ternyata tidak bermoral, walau apa pun alasan diberikan kepada matlamat rompakan itu.


Matlamat menghalalkan cara ala Robin Hood seringkali terjadi di zaman moden ini apabila kita mewajarkan apa jua perbuatan, tak kira benar atau salah, demi mencapai matlamat yang diidamkan. Perbuatan tidak bermoral seperti rasuah, salah guna kuasa, "tikam dari belakang", surat layang, fitnah menfitnah adalah jelmaan dari kewajaran ala Robin Hood ini. Sekiranya Robin Hood dahulu beroperasi di hutan Sherwood, Nottinghamshire, Robin Hood moden kini beraksi dibilik berhawa dingin dengan hanya menggunakan hujung jari hasil dari kecanggihan teknologi maklumat.

Nilai yang berbeza terhadap apa yang dikatakan benar dan salah itu mempengaruhi tindakan seseorang. Ianya sangat subjektif dan terhasil dari proses sosialisasi yang dialami bersama ibu bapa, keluarga, rakan sebaya dan sekolah. Bagaimana pun, pegangan agama berupaya menyatukan nilai yang tetap dan sama kepada keseluruhan umatnya walau apa pun latar belakang mereka. Masalahnya, pegangan ini sering goyah dengan cabaran-cabaran era globalisasi seperti pengaruh media dan teknologi maklumat. Apa yang perlu dibekal dan dimantapkan lagi ialah keimanan serta jati diri bagi menangkis pengaruh-pengaruh luar ini secara bijak supaya kita tidak perlu jadi seperti Robin Hood.

Memetik kata Mahatma Gandhi:

Apa bezanya kepada yang terkorban, yang yatim piatu, atau yang tidak berumah, sama ada kemusnahan akibat perang ini berlaku atas nama pembinaan negara, kebebasan atau pun demokrasi?

......sebab walau apa pun nama atau kewajaran yang diberikan kepada peperangan itu, kesannya tetap sama : pembaziran, kemusnahan dan kehilangan nyawa! Kalah jadi abu, menang jadi arang! Namun pihak yang pasti menang ialah para pengeluar senjata perang, kereta kebal dan jet pejuang!

Sabtu, Jun 06, 2009

Apa ada pada Rukun Negara?

Rasanya, negara kita yang paling banyak cuti umum berbanding negara-negara lain, kan? Maklumlah multi etnik,macam-macam perayaan kita sambut. Memang kita kaya betul dengan pelbagai jenis cuti ni. Dalam kita mewah dengan cuti, agak menghairankan juga bila ada juga orang yang kerap ambil cuti sakit, cuti kecemasan, ambil cuti sekerat hari, atau pun, ambil cuti dulu, esok baru isi borang cuti....pun ada juga..!

Dalam keghairahan kita bercuti ni, kadangkala kita lupa untuk menghayati sejenak tujuan cuti atau sebab musabab kita bercuti. Misalnya, masa cuti umum sempena "Maulud Nabi", pernah ke cuba menghayati sejarah Junjungan besar kita, Nabi Muhamammad s.a.w. Sekurang-kurangnya cuba mencontohi sifat-sifat mulia baginda. Di waktu Maal Hijrah, adakah kita cuba muhasabah diri dan berazam untuk "berhijrah" untuk menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya. Pada cuti "Hari Pekerja" pula, berapa ramai yang berazam untuk meningkatkan daya produktiviti atau menjadi pekerja berilmu (knowledge workers)? Atau kita lebih leka merancang kemana nak bercuti atau membeli belah? Tak salah untuk berseronok, tetapi adakalanya kita perlu duduk dan berfikir sejenak tentang maksud dan tujuan kita diberikan cuti ni.

Hari ni cuti umum sempena Hari Keputeraan Yang Di Pertuan Agung. Adakah "Kesetiaan kepada Raja dan Negara" kita yang menjadi prinsip kedua Rukun Negara itu menjadi semakin mantap atau sebaliknya. Kalau cuti hari ini tidak ada impaknya pada rasa kesetiaan ini, maka sia-sialah cuti umum ini rasanya. Penghayatan kepada Rukun Negara semakin hari semakin luntur akibat dari rasa tak endah kepada kepentingan nilai bersama yang perlu kita amalkan melalui lima prinsip Rukun Negara ini. Apa yang kita lihat pada hari ini, lima prinsip ini hanya sekadar hiasan di papan-papan tanda dan buku tulis di sekolah. Mungkin dah ramai agaknya yang lupa apakah lima prinsip Rukun Negara tu?


Segala kekecohan yang berlaku di negara kita sejak akhir-akhir ini berpunca dari sikap sambil lewa dan kealpaan kepada penghayatan maksud kelima-lima prinsip itu. Bagi masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia ni, nilai bersama seperti ini perlu dikongsi dan menjadi pegangan hidup bagi memantapkan lagi perpaduan. Kalau tidak, kita akan leka dengan arah dan nilai masing-masing yang tak sehaluan dan akhirnya akan menimbulkan konflik sesama kita. Prinsip pertama "Kepercayaan Kepada Tuhan" jelas menekankan kepentingan rakyat untuk berpegang kuat kepada agama masing-masing. Sekiranya kita benar-benar berpegang kepada nilai ini, kita akan menjadi bangsa yang lebih bersyukur, bertolak ansur dan saling menghormati di antara satu sama lain. Bila dah tak heran dengan prinsip "Kesetiaan kepada Raja dan Negara", itulah hingga ada yang sanggup kurang ajar dengan Raja, nak saman Raja dan dah lupa asal usul sejarah pemerintahan Beraja di negara ini.

Dimana bumi di pijak, disitulah langit perlu dijunjung. Berapa ramai yang tahu isi kandungan Perlembagaan Malaysia dan bagaimana ianya terbentuk? Demi kepentingan diri dan kaum masing-masing, prinsip ketiga "Keluhuran Perlembagaan' ini sentiasa dicabar kerana ramai tak cuba menghayati maksud prinsip ini dan sejarah pembentukannya. Sedangkan undang-undang tertinggi negara ini sepatutnya dimaklumi semua bahawa isi kandungannya telah dipersetujui oleh semua kaum sebelum kita mengecap kemerdekaan dari British pada tahun 1957. Mempersoalkan kewujudannya seolah-olah kita mepersoalkan "Mengapa nenek kita dulu bersetuju berkahwin dengan datuk kita, ya?". Dalam ertikata lain, kita perlu menghormati sejarah Perlembagaan Negara ini digubal dan cuba menghayati kepentingannya kepada perpaduan negara ini. Sebagai rakyat di bumi bertuah ini, kita perlu berfikir secara kolektif demi perpaduan negara dan bukannya hanya memikirkan kepentingan diri atau kaum masing-masing sahaja.

"Kedaulatan Undang-undang" sebagai prinsip keempat perlu dihormati bagi mengekalkan keamanan negara. Kita membangun mengikut acuan kita sendiri kerana budaya dan sejarah bangsa kita tak sama dengan apa yang terdapat di Amerika, Britain atau negara-negara lain. Jangan menggadaikan maruah bangsa hanya sekadar nak dilihat "senada dan seirama" dengan negara-negara ini kerana salah satu dari ciri pembangunan bagi sesebuah negara ialah apabila kita berupaya membebaskan diri dari kebergantungan kepada negara lain, terutamanya dalam menentukan hala tuju dan matlamat pembangunan kita sendiri. Dalam erti kata lain, kita berupaya maju dengan mengikut cara kita sendiri yang lebih berpijak dibumi nyata, dan bersesuaian dengan sejarah bangsa, budaya dan masyarakat di negara ini. Apa ertinya demokrasi sekiranya kita saling berbunuh-bunuhan sesama sendiri atas nama hak asasi dan kemanusiaan?

Dimanakah pula perginya kesantunan dan tata susila bangsa apabila murid-murid dah berani kurang ajar dengan guru di sekolah, orang ramai dah malas beratur dan mengambil giliran orang lain sebab nak cepat, buang sampah merata-rata sesuka hati, bawa kereta laju-laju sehingga mengorbankan nyawa orang lain, pekerja-pekerja semakin galak melanggar etika kerja dsb. Nampaknya penghayatan prinsip kelima "Kesopanan dan Kesusilaan' pun dah semakin semakin terhakis dari amalan kita. Adakalanya sifat orang Barat memang elok dicontohi. Kalau berpeluang ke luar negara nanti, cuba jengok tandas awam kat sana. Jauh lebih bersih dari apa yang ada disini. Kesedaran siviks orang kita ni masih perlu dipertingkatkan lagi supaya mentaliti kita berkembang maju seiring dengan kemajuan negara dari segi material. Apa guna mercu tanda yang gah, yang tertinggi atau terhebat didunia sekiranya mentaliti majoriti rakyat masih dibelenggu mentaliti negara mundur?

Kepentingan penghayatan kepada Rukun Negara adalah satu perkara yang perlu diberikan perhatian secara serius. Jangan nanti sampai "sudah terhantuk, baru terngadah". Masa tu, nak menyesal atau menangis air mata darah pun dah tak guna lagi. Rahsia kejayaan Malaysia adalah kerana perpaduan yang utuh di kalangan rakyatnya. Tanpa perpaduan ini, mustahil bagi kita untuk mencapai tahap kemajuan sebagaimana yang kita kecap pada hari ini. Bagi memperkukuhkan kekuatan bangsa, kita perlu menerapkan nilai agama serta nilai-nilai yang baik dari setiap kaum untuk diamalkan dan abaikan saja nilai yang tak membantu dalam memajukan bangsa. Fikirkan nasib generasi akan datang supaya kita tak jadi generasi lama yang dipersalahkan dalam buku sejarah mereka pada suatu hari nanti.

Hayatilah maksud cuti-cuti umum dari masa ke semasa, supaya kita menjadi bangsa yang lebih bersyukur dan saling menghormati serta bertolak ansur di antara satu sama lain. Semoga perpaduan terus menjadi resipi kejayaan kita demi masa depan negara yang lebih cemerlang dan terbilang!

Jumaat, Jun 05, 2009

Kuasai perasaan takut

Pernahkah anda merasa ketakutan atau gelisah secara tiba-tiba atau pun tenggelam dalam ketakutan? Bagaimanakah cara anda mengatasinya? Pernahkah anda bertanya pada diri anda sendiri mengapa perasaan tersebut terjadi dan apa yang telah membuat anda mengalami perasaan tersebut?

Sebagai manusia biasa, kita semua pernah berasa takut pada perkara atau keadaan yang tertentu. Apa agaknya maksud "takut" itu sebenarnya? Ketakutan adalah satu perasaan yang dihasut oleh rasa cemas dan bimbang. Ia sebenarnya adalah perasaan yang biasa dialami, sebagaimana kita mempunyai perasaan-perasaan yang lain seperti murung, bahagia, seronok atau teruja dengan sesuatu perkara itu. Sebagaimana perasaan-perasaan lain yang datang dan pergi pada setiap masa, begitu jugalah dengan perasaan takut ini.


Kita sering takut untuk cuba melakukan sesuatu kerja yang baru kerana merasakan diri tidak berkeupayaan atau tidak mahir. Sebenarnya, sekiranya kita melakukannya berulangkali, kita akan menjadi lebih mahir dan berkeyakinan untuk melakukannya. Katakan pada diri "Aku yakin boleh melaksanakannya" . Insyaallah, keyakinan diri sebenarnya adalah cara yang berkesan bagi menghindari rasa takut. Kita perlu belajar untuk mengatasi perasaan takut ini kerana antara rahsia orang-orang yang telah berjaya dalam hidup ini ialah mereka bukan saja boleh mengawal rasa takut ini tetapi juga MENGUASAI perasaan ini.

"Dari seluruh hawa nafsu, ketakutan adalah yang terburuk." - William Shakespeare

"Keberanian adalah penghalang kepada rasa takut, sekiranya kita boleh menguasai perasaan ini - tiadalah rasa takut" - Mark Twain

Setiap orang pasti ada rasa takut kepada sesuatu perkara. Bagaimanapun, terdapat enam ketakutan yang biasa dialami oleh manusia iaitu:-

Ketakutan kepada kemiskinan
Ketakutan kepada kritikan
Ketakutan kepada masalah kesihatan
Ketakutan kepada kehilangan orang tersayang
Ketakutan kepada usia tua
Ketakutan kepada kematian

Kaedah menangani ketakutan boleh dilakukan secara berperingkat seperti berikut:

* menyedari akan kewujudan perasaan ini
* mengenalpasti cara bagaimana kita meluahkan rasa takut
* mengenalpasti situasi yang menimbulkan rasa takut
* menggunakan teknik-teknik perlakuan tertentu untuk mengurangkan ketakutan dan
tekanan.

Pada umumnya, pengetahuan, latihan dan keberanian adalah senjata utama dalam melawan ketakutan. Sekiranya kita boleh mengawal dan menguasai ketakutan dengan keberanian dan penuh yakin, insyaallah rasa takut itu akan hilang. Ini boleh melancarkan kerja seharian kita dan menjadikan kita lebih berani mencuba dan mengambil risiko untuk menghasilkan sesuatu yang lebih produktif dan berkualiti. Sebagai manusia yang berakal fikiran, perasaan ketakutan atau keberanian bergantung keapada bagaimana cara anda mengaturnya. Semakin anda dapat menyeimbangkan perasaan dan fikiran, semakin dekat anda menguasai perasaan takut yang di alami.

Rabu, Jun 03, 2009

Titik hitam @ kejayaan

Sesuatu kejayaan takkan datang bergolek tanpa usaha. Jika ia semudah itu, maka tak perlulah kita bersusah payah untuk mengejarnya. Adakalanya, kita perlukan pengorbanan dan persefahaman dari banyak pihak untuk mencapainya. Misalnya, ibu bapa, suami atau isteri, anak-anak, sanak saudara dan sebagainya. Sokongan moral dari orang tersayang ini ibarat cahaya yang menerangi laluan ke arah kejayaan dan ini membantu kita mengatur langkah yang lebih teratur dan mantap.

Dalam laluan menempa kejayaan ini, ada juga yang mengalah dengan cabaran dan dugaan yang datang. Kegigihan serta disiplin yang kuat adalah perlu dalam memastikan kita tidak tersasar jauh dari matlamat yang telah ditetapkan. Fikirkan masa depan yang lebih cerah dihadapan, peluang peningkatan diri yang lebih baik serta kepuasan diri yang bakal dikecap. Pendek kata, fikirkan segala yang positif yang sedia menanti di hujung sana. Dengan berfikiran positif, laluan ke arah kejayaan akan menjadi lebih terang dan jelas.

Kita sebenarnya memerlukan formula tertentu untuk mencapainya. Kejayaan adalah ibarat satu titik hitam yang menanti dihujung garisan di sebelah sana. Bayangkan satu garis lurus di hadapan yang kita perlu lalui untuk sampai ke titik hitam berkenaan. Walau apa pun rintangannya, kita akan sentiasa cuba untuk menghadapinya dengan cekal dan sabar. Anggaplah ia sebagai cabaran yang harus ditempuhi yang juga merupakan sebahagian dari proses pembelajaran bagi mengukuhkan lagi minda, pengetahuan dan ketahanan diri.

Berikut adalah beberapa cara yang boleh membantu kita untuk mencapai ke titik hitam @ kejayaan itu :-

1 - Percaya kepada diri sendiri. Belajarlah untuk benar-benar percaya pada diri dan kebolehan anda. Katakan pada diri "Aku boleh berjaya", "Aku yakin boleh melakukannya”:, dsb

2 - Menerapkan nilai-nilai perwatakan yang baik dalam diri. Misalnya, bertanggungjawab, menghormati orang lain, jujur, ikhlas, boleh diharap, dsb. Sikap ini boleh mengukuhkan laluan ke arah kejayaan.

3 - Mengatasi masalah ketakutan kerana perasaan takut hanya akan mengekang keinginan anda untuk mencuba dan mengambil risiko dalam melakukan sesuatu tindakan.

4 - Pengurusan masa sangat penting dalam mengawal dan memperuntukkan masa yang tertentu bagi usaha-usaha ke arah pencapaian matlamat.

5 - Kerja secara berkumpulan turut menyumbang kepada kejayaan anda. Anda perlu mencari rakan-rakan yang boleh menyokong dan menbantu mencapai impian anda.

6 - Merancang strategi bagi pencapaian matlamat jangka panjang dan jangka pendek. Pastikan anda jelas dengan proses perlaksanaannya dan tahap-tahap yang harus ditempuhi.

7 - Bertindak segera dengan langkah pertama seperti yang telah dirancang pada awalnya.

8 - Sekiranya ada halangan dalam laluan kejayaan ini, sila beralih ke pelan alternatif atau Plan B dengan pendekatan yang berbeza untuk mencapai ke titik hitam @ kejayaan.

Selasa, Jun 02, 2009

Kemana perginya masa?


Masa itu emas. Ketinggian nilai terhadap masa ini kerana kita tidak pasti akan tempoh masa yang ada. Kita tau masa itu tak panjang, tapi kita tak pasti sejauhmana pendeknya masa itu, sama ada setahun, sebulan atau beberapa minggu? Masa itu sangat berharga, kerana jika ianya terlepas, memang mustahil untuk menggantinya kembali. Jika benar ianya begitu berharga, kenapa sering kedengaran ungkapan-ungkapan seperti "Tak ada masa", "Tak cukup masa", "Tunggulah masa yang sesuai" , atau "Tengoklah, kalau ada masa"?? Begitu rendahkah nilai masa sehingga ianya bukan sesuatu yang perlu di kejar dan di cari walau apa pun alasannya? Sedangkan kapasiti masa bagi setiap manusia di muka bumi ini adalah sama sahaja i.e 24 jam sehari.

Kebijaksanaan dalam mengatur masa memerlukan pengurusan yang bersandarkan kepada keutamaan dan rasa tanggungjawab yang tinggi. Jika tidak, akan kedengaranlah alasan-alasan sumbang seperti di atas tadi. Sekiranya kita merasakan diri dalam keadaan yang sentiasa tidak produktif, besar kemungkinan sebenarnya kita telah dikawal oleh tabiat kerja bertangguh. Tabiat menangguhkan kerja ini biasa berlaku apabila kita lebih mengutamakan perkara-perkara yang lain yang tidak begitu mendesak dari segi keperluannya atau pun dengan sengaja membuang masa dengan melakukan kerja-kerja yang tidak berfaedah. Ia berkait rapat dengan cara pengurusan masa masing-masing.

Bernard Meltzer pernah menyatakan bahawa “Kerja yang sukar sebenarnya adalah kerja mudah yang kita tidak lakukan pada masa yang sepatutnya." Masalahnya kita tak pernah menggunakan kesempatan yang ada untuk menyempurnakannya pada masa yang telah ditetapkan. Berbagai alasan diberikan bagi merasionalisasikan sikap ini misalnya, "Takde moodlah hari ni", "Nak tanya kawan dululah", "Tak faham sangatlah", "Esok je lah aku pikir pasal ni" dan sebagainya. Sikap suka melengah atau menangguhkan kerja adalah jelmaan dari sifat kealpaan tentang nilai masa dan pengisiannya secara berhemah.Dalam jangka masa panjang, sikap ini akhirnya akan hanya merugikan diri sendiri kerana tanpa kita sedari, kita masih di takuk lama, apabila masa berlalu begitu sahaja meninggalkan kita.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa penjadualan kerja amat penting dalam memastikan kerja yang ditugaskan berjalan dengan lancar dan mengikut masa. Melakukan kerja di saat-saat akhir adalah satu tabiat buruk yang memenatkan dan jarang menghasilkan sesuatu yang berkualiti. Kesuntukan masa tidak membolehkan kita membuat kerja dengan teliti dan tepat. Bagaimana nak jadi cemerlang dan terbilang tanpa pengurusan masa yang baik? Salah satu ciri masyarakat moden yang membezakannya dengan masyarakat primitif ialah kesedaran yang tinggi terhadap persoalan masa. Kemajuan sukar dicapai tanpa kesungguhan kita menjaga masa dan menggunakannya dengan sebaik mungkin. Gunalah masa dengan bijak mengikut keutamaan kerja yang perlu dilaksanakan supaya kita tak tertanya-tanya lagi "Kemana agaknya perginya masa...?

Isnin, Jun 01, 2009

Ilmu Pemangkin Kemajuan Bangsa


Pernah tak tertanya-tanya? Kenapa ada bangsa jauh lebih maju dari yang lain? Maju di sini maksudnya dari segi teknologi, daya pemikiran, kreativiti, daya inovatif, dsb. Semuanya berpunca dari kesungguhan bangsa berkenaan terutamanya, dari segi penguasaan ilmu. Sejarah telah membuktikan bahawa kecemerlangan ketamadunan sesebuah bangsa adalah berkait rapat dengan pencapaian bangsa berkenaan dalam penguasaan ilmu dan kemahiran mereka dalam bidang sains dan teknologi. Ilmu sejak dari dulu lagi dah jadi pemangkin kepada kemajuan bangsa cuma dengan cara dan pendekatan yang berbeza.

Cuba hayati sejarah penjajahan. Bagaimana bangsa Anglo Saxon seperti British, Belanda, Portugis dan Sepanyol mampu menerokai dan menjajah bangsa lain yang jauh lebih besar dari segi saiz wilayah dan kependudukannya. Apa yang mereka ada tetapi kita tidak? Sudah pasti puncanya sekali lagi ialah ILMU. Dengan ilmu, bangsa Anglo Saxon dari Eropah ini mampu menjajah dengan teknologi perkapalan, navigasi pelayaran serta pensenjataan yang jauh lebih canggih dari penduduk tempatan. Teknologi secanggih itu takkan mampu dicipta tanpa kecintaan terhadap ilmu yang tinggi yang diransang kuat oleh sifat ketekunan, kesungguhan serta daya kreativiti yang berinovatif. Sifat agresif serta rasa ingin tahu turut menyumbang kepada keupayaan inovatif pada waktu itu sehingga banyak melahirkan ciptaan-ciptaan baru yang mempelopori teknologi canggih yang wujud pada hari ini.

Cuma bukan sikap menjajah itu yang hendak ditekankan disini, apa yang lebih penting ialah contohilah sifat-sifat positif yang meransang kepada daya kreativiti dan inovatif itu. Kita takkan selamanya menjadi negara pengguna semata-mata, tetapi kita perlu bangkit sebagai bangsa yang mencipta sendiri teknologi. Akar umbinya tetap bertitik tolak dari sejauhmanakah bangsa kita sanggup meletakkan penguasaan ilmu sebagai satu keutamaan dalam hidupnya. Sekiranya pencarian ilmu menjadi keutamaan atau prioriti majoriti penduduk negara ini, insyaallah, kita takkan bertanya lagi sebab musabab bangsa lain boleh maju sehingga boleh mendominasi nilai pemikiran sejagat ini, kerana tindakan serta usaha selanjutnya bergantung kepada diri kita sendiri.
Blog Widget by LinkWithin