Ahad, November 29, 2009

Budayakan keghairahan diri


Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih...Begitulah pepatah Melayu yang menggambarkan tentang keghairahan seseorang dalam mencapai apa jua impiannya. Keghairahan merupakan satu tenaga luar biasa yang mampu menonjolkan potensi diri sebenar seseorang itu. Ia di rangsang oleh inspirasi, fokus serta minat yang mendalam terhadap sesuatu perkara itu. Keghairahan yang dimiliki inilah yang akhirnya membezakan seorang yang terbukti cemerlang berbanding dengan mereka yang "biasa-biasa" saja. Ia terdapat dalam pelbagai lapangan kehidupan misalnya, politik, sukan, perniagaan, hiburan atau apa saja.Kita dapati bahawa tiada siapa pun akan capai ke kemuncaknya tanpa keghairahan untuk melakukan sesuatu itu. Sejarah sendiri membuktikan bahawa tiada apa-apa pencapaian besar berlaku dalam ketamadunan manusia tanpa usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh dari semua pihak yang terlibat pada masa itu.


Keghairahan sebagai pemangkin kepada kecemerlangan


Halangan besar kepada pencapaian seseorang sebenarnya bukan terletak kepada bakat, tetapi sebaliknya kekurangan daya usaha dan kesungguhan. Terdapat orang yang ambil mudah kepada masa depan serta peluang-peluang yang ada didepan mata. Tidak semua melihat hala tuju dan perancangan dalam kehidupan ini sebagai satu keutamaan yang perlu di berikan perhatian yang serius. Keghairahan lahir dari rasa percaya kepada sesuatu perkara itu. Pertamanya, kita kena percaya pada diri kita sendiri..Sekiranya kita memandang rendah kepada kebolehan kita sendiri, sudah pastilah kita takkan bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara. kan?

Satu kesilapan besar manusia ialah apabila kita selalu memandang rendah kepada kebolehan serta potensi yang ada pada diri. Rendah diri biarlah bertempat! Ini bukannya masa untuk berdolak dalih dengan seribu satu alasan semata-mata kerana takut pada bayang-bayang sendiri! Pada hakikatnya, manusia ini tidak sama secara biologikalnya, kan? Tiada siapa pun yang mempunyai DNA, cap jari ataupun suara yang sama identikal nya 100% dengan kita! Kita dilahirkan dengan pakej yang tersendiri, yang sekiranya digilap boleh menghasilkan sesuatu yang kita sendiri tidak sedari akan potensinya. Selain itu, kita juga perlu percaya kepada misi kita sendiri. Apa tanggungjawab yang perlu kita mainkan kepada agama, masyarakat dan negara tercinta?

Keghairahan akan membunuh sikap yang suka berlengah-lengah

Sikap berlengah-lengah adalah musuh utama kepada pencapaian sesuatu matlamat. Ia membunuh usaha dan mengakibatkan kejumudan tindakan! Bagaimanapun, kesungguhan boleh merangsang tindakan apabila adanya minat kepada tugas yang bakal dilakukan itu.

Keghairahan boleh mengekalkan kuasa dan tenaga

Setiap tugas mempunyai cabaran-cabaran yang tersendiri. Kesungguhan memberikan tenaga ekstra yang luar biasa untuk masa-masa membosankan ini. Keupayaan untuk berhadapan dan bertahan dengan cabaran ini tanpa menghilangkan daya usaha dan kesungguhan adalah tunggak kepada pencapaian matlamat.

Keghairahan boleh berjangkit

Tiada virus yang berjangkit dengan mudah sebagaimana daya keghairahan ini.Ia seolah magnet yang mampu mempengaruhi orang lain untuk mempunyai keghairahan yang sama dengan kita. Jika kita perhatikan,kita biasanya tidak menjadi pengikut kepada mereka yang sarat dengan idea-idea baru, tetapi kita lebih terpengaruh dengan orang-orang yang mempunyai keghairahan, dinamik dan bersikap positif. Karisma yang dimantapkan dengan keghairahan akan berupaya menarik lebih ramai pengikut setia dalam apa jua bidang pun.

Cara terbaik untuk membudayakan keghairahan dalam hidup ini ialah dengan sentiasa bertindak bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara tanpa mengira masa dan keadaan. Biar betapa sukar pun keadaan yang dihadapi, lihatlah secara positif akan segala peluang dan kemungkinan yang ada dihadapan kerana segalanya pasti ada. Apabila ia jelas didepan mata, maka dengan sendirinya keghairahan itu akan merangsang pencapaiannya. Keghairahan akan sentiasa tumbuh selaras dengan jangkaan kita. Semakin tinggi jangkaan kita terhadap sesuatu perkara itu, maka semakin ghairah kita untuk mencapainya. Jauhilah diri dari mereka yang pasif dan sentiasa melihat sesuatu dari sudut yang negatif, kerana mereka ini sering menekankan kepada masalah yang bakal melemahkan keghairahan anda dalam melakukan sesuatu itu. Sebaliknya dekati mereka yang berfikiran positif, yang sentiasa berupaya memudahkan keadaan walau sesukar mana pun cabaran yang mendatang.....!

Blog Widget by LinkWithin