Khamis, Julai 30, 2009

Mencipta Kejayaan dari Kegagalan


"Jika anda fikirkan anda dikalahkan, sememangnya anda telah kalah,
Jika anda fikirkan anda tidak berani, anda takkan berani mencuba,
Jika anda ingin menang, tapi anda fikir anda takkan menang,
Memang hampir pasti, anda tidak akan menang,
Jika anda fikir anda akan gagal, anda telah pun gagal.
Kerana segalanya tersemat dalam minda anda sendiri."

Orang yang berjaya belajar dari segala bentuk kegagalan yang mereka telah hadapi. Kita selalu rasa orang lain dapat mengecapi kejayaan dengan mudah. Pada hakikatnya, mereka telah bekerja keras untuk mencapai kemahiran di tahap yang luar biasa. Persaingan sengit di era globalisasi ini memerlukan kita mencari kelebihan bersaing yang akan menjadikan diri kita releven dan di perlukan dalam mana-mana organisasi. Ia memerlukan dorongan dan kesungguhan yang tak berbelah bagi.

Lihat saja pencapaian luar biasa orang-orang yang pernah gagal dan tidak pernah putus asa dalam perjuangannya. Henry Ford yang pernah menghadapi masalah kewangan akhirnya menjadi antara orang terkaya didunia, begitu juga dengan Albert Einstein yang beberapa kali gagal dalam subjek matematik nya. Thomas Edison telah gagal lebih 600 kali sebelum berupaya mencipta mentol lampu. Jesse Livermore, pedagang saham pernah menghadapi masalah kewangan berkali-kali akhirnya menjadi jutawan setelah beberapa kali menghadapi kegagalan.

JANGAN TAKUT KEPADA KEGAGALAN, SEBALIKNYA JADIKAN KEGAGALAN ITU SEBAGAI KAWAN

1. AKUI KEGAGALAN SECARA TERBUKA - Mengaku segala kesilapan dan terus maju ke hadapan.

2. JANGAN SALAHKAN ORANG LAIN - Jangan asyik mencari alasan. Bersedialah untuk memikul tanggungjawab sepenuhnya.

3. BELAJARLAH DARI KEGAGALAN - Setiap kejayaan dicapai itu berlaku apabila individu berupaya untuk menganalisis kekalahan yang telah dihadapi dan mendapat faedah daripada pengajaran ini.

4. JANGAN TERLALU AMBIL SERIUS DENGAN KEGAGALAN - Bangunkan elemen lucu dan kelakar dalam diri anda. Jangan terlalu serius dalam menangani cabaran-cabaran dalam kehidupan sehingga menyebabkan diri anda tertekan.

5. BERANIKAN DIRI - Jangan biarkan diri rasa terancam dengan kegagalan.

6. IMBANGI KEHIDUPAN ANDA - Semaikan minat dalam beberapa bidang kehidupan. Sekiranya anda gagal dalam bidang tertentu, anda masih ada peluang untuk mencipta kejayaan di bidang yang lain.

7. TETAPKAN SASARAN BARU - Henry Ford pernah berkata "Kegagalan adalah satu-satunya peluang untuk mencuba lagi untuk kali kedua dengan cara yang lebih bijak".

8. ORANG YANG KALAH BERKATA "Saya seorang yang gagal", manakala orang yang menang akan berkata "Aku telah gagal dalam percubaan, tetapi aku akan menang dan berjaya menangani semua cabarang yang menghalangi saya.

9. BERSEDIA UNTUK MENGHADAPI LEBIH BANYAK LAGI KEGAGALAN - Kita kena menjangkakan kegagalan pada setiap masa. Kegagalan adalah sebahagian dari kemenangan dan ramai orang tidak menang kerana mereka takut kepada kegagalan. Orang yang berjaya sebenarnya adalah orang yang telah banyak kali mengalami kegagalan dalam kehidupannya.

10. INGATLAH, KEGAGALAN SEBENARNYA ADALAH KEJAYAAN - Kegagalan adalah kejayaan dalam penciptaan. Orang yang tidak pernah melakukan kesilapan sebenarnya tidak berbuat apa-apa.

Lupakan segala kegagalan anda. Jangan tenggelam dalam kekecewaan.

Menjangkakan kegagalan. Sedarilah bahawa kita semua membuat kesilapan.

Lakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Jangan sesekali anda gagal kerana kurang daya usaha.

Belajarlah dari kesilapan. Jangan ulangi kesilapan yang lalu.

Cuba fahami sebab musabab kepada kegagalan anda. Kenal pasti kesilapan anda supaya anda tidak mengulanginya lagi.

Rabu, Julai 22, 2009

Positifkan pernyataan diri


Ada masanya kita seolah-olah tak bersemangat nak buat apa-apa pun pada hari-hari tertentu. Ia berpunca dari banyak sebab : kecewa, stress, bengang, keliru dan sebagainya. Perasaan yang berkecamuk seperti ini mudah membuat kita menangguh-nangguh tugas-tugas penting yang perlu disempurnakan. Sekiranya di beri pilihan, kita lebih rela berbaring dan bermalas-malasan tanpa berbuat apa-apa semata-mata nak melayan emosi yang tak keruan itu.

Malangnya, kita tak berupaya berbuat demikian kerana kehidupan kita pada masa kini banyak tertakluk kepada faktor masa. Tempoh masa yang telah ditetapkan itu perlu dikejar walau apa pun tekanan atau permasalahan yang melanda emosi kita pada waktu itu. Jika ia berkait rapat dengan soal kerja, kita perlu mengenepikan segala gangguan ini dan bertindak profesional.

Terdapat beberapa cara yang boleh kita lakukan untuk menangani keadaan ini.Misalnya, sekiranya anda merasakan :-

1. AKU TAK PEDULI: Jangan fikirkan langsung tentang tugas berkenaan. Sebaliknya, fikirkan faedah atau keuntungan yang bakal anda perolehi setelah anda selesai menyempurnakan tugas itu. Contohnya : Sekiranya anda berasa malas untuk mencuci pinggan pada setiap hari, fikirkan keinginan anda untuk mendapatkan dapur yang bersih dan kemas akan dapat mengikis sikap malas tadi.

2. KENAPA PULAK AKU?: Sikap memberontak ini tidak akan membawa anda kemana. Tumpukan perhatian kepada matlamat akhir anda. Kenapa anda mahu melakukan tugas itu? Apa hasil yang anda ingin capai?

3. BUAT YANG ITU LAGI BEST, KAN?: Perkara lain nampak lebih menarik untuk dilakukan. Minda anda nampaknya cuba mengelat. Satu cara untuk mengelakkan ini berlaku ialah dengan berjanji kepada diri sendiri bahawa anda akan membuat perkara lain yang lebih menarik itu selepas anda selesai menyempurnakan tugas yang lebih utama itu terlebih dahulu.

4. AKU TAK PERNAH BUAT MACAM TU!: Perkara baru memang menakutkan. Kita lebih gembira dan selesa melakukan perkara yang kita dah biasa buat. Anda perlu mencari seseorang yang sangat berminat dan gembira melakukan perkara itu untuk menceritakan pengalamannya kepada anda. Ini akan mendorong rasa ingin tahu anda untuk turut mencuba segala apa yang telah diceritakan kepada anda itu.

5. SAYA TAK SUKAKAN PERUBAHAN:
Perasaan ini berkait rapat dengan "AKU TAK PERNAH BUAT MACAM TU' itu tadi. Ia tak lebih dari alasan kepada perasaan takut yang di alami. Apabila kita rasa takut, ia akan menjadikan kita mudah berpuas hati dan rasa selesa dengan apa yang sedia ada. Ini menyebabkan kita tidak mahu mencuba perkara yang baru.

6. AKU DAH SELALU BUAT MACAM NI, OK JE..!: Sikap berlengah-lengah menjadi semakin kronik apabila anda suka benar mengenang masa lalu dengan kaedah-kaedah usang yang dah tak releven tu. Tinggalkan sahaja cerita lama tu dan terus bergerak ke hadapan untuk langkah-langkah baru yang lebih positif.

7. ADOI...!BANYAK NYA KERJA NAK BUAT!
Nampak macam banyak tapi sebenarnya sekiranya anda membuatnya pada masa yang sepatutnya ianya dilakukan, kerja itu akan menjadi lebih mudah. Lagi pun, nak berubah, memang lah kena kerja keras sikit, kan?

Orang yang berjaya adalah mereka yang sentiasa berusaha dan bekerja keras. Sebarang tugas akan menjadi lebih mudah sekiranya anda telah mematuhi tata cara yang betul dan konsisten dalam melakukannya. Sebaliknya, ia pasti menjadi sukar jika anda berlengah-lengah atau tidak melakukannya langsung.

Jika anda mahu mengelakkan diri dari perangkap sikap berlengah-lengah atau menangguh kerja ini, berikan perhatian kepada perkataan atau ayat yang anda gunakan serta tabiat berlengah-lengah ini.Sekiranya anda dapati anda sering menggunakan frasa-frasa di atas itu tadi, anda sebenarnya telah menghentikan pergerakan anda untuk maju ke hadapan.

Cuba tangani masalah ini dengan mengamalkan tindakan yang dicadangkan di atas tadi. Semoga anda akan menukar tabiat pasif ini kepada amalan yang lebih berfaedah dan menguntungkan anda.

Ahad, Julai 19, 2009

Pengaruh Persekitaran Terhadap Perwatakan Bangsa


"Faktor persekitaran memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi perlakuan manusia. Pengasas ilmu sosiologi, Ibn Khaldun (1332-1406) dalam kitab beliau Al-Muqaddimah, telah mengaitkan perubahan sistem sosial antara masyarakat dengan faktor persekitaran seperti iklim, tanah, makanan, sumber galian, kemampuan berfikir, jiwa dan emosi mereka. Beliau menghuraikan bagaimana masyarakat Badwi menjadi kasar dan ganas akibat kehidupan di padang pasir yang panas dan kering. Bagaimana pun, kehidupan mereka yang berpindah randah ini telah menjadikan kaum ini lebih bersikap berani berbanding kaum yang tinggal secara tetap seperti orang-orang Barbar, bangsa Turki, Turkoman serta Slavia, contohnya. Bagi Ibn Khaldun, kaum-kaum yang tinggal di desa-desa dan kawasan pergunungan dengan kegiatan bercucuk tanam ini menjadi malas, bersikap ambil mudah, dan tenggelam dalam kenikmatan serta kemewahan.

Kekuatan utama orang-orang Jepun pula dikatakan lahir daripada persekitaran Jepun dan perwatakan orang-orangnya. Iklim Jepun yang panas dan lembap serta bentuk muka buminya yang sesuai bagi penanaman padi menyebabkan tanaman ini menguasai sejarah dan peradaban Jepun sehingga perkataan Jepun bagi padi mempunyai simbol yang sama dengan makanan (Herbig, 1998). Penerusan dan kejayaan budaya penanaman padi telah mempengaruhi sistem sosial dan gaya hidup masyarakat Jepun seperti kesabaran, ketekunan, kerajinan, kerjasama, sifat pasif, konservatif, fatalisme, bertenaga, berani, berdikari, ketabahan, merendah diri dan berpegang kepada undang-undang. Penanaman padi memerlukan sistem pengairan yang sukar dibina dan dikekalkan atau dilindungi oleh sesebuah keluarga tertentu sahaja. Seluruh komuniti perlu bekerjasama dalam satu unit yang besar bagi meneruskan kehidupan mereka. Herbig (1998) menjelaskan bahawa orang-orang Jepun telah membentuk adat saling tolong menolong, penyelarasan kolektif, berkongsi risiko dan penyesuaian yang fleksibel terhadap persekitaran melalui pengalaman pertanian sejak berabad-abad lamanya.

Jika dilihat dari segi sejarah perkembangan masyarakat Amerika pula, jelas kelihatan bagaimana faktor persekitaran turut mempengaruhi pembentukan budaya masyarakat berkenaan. Kebanjiran kaum pendatang untuk menerokai tanah-tanah luas di Amerika pada abad ke 18 dan 19 telah menyemai sikap tabah serta daya juang yang tinggi dalam diri mereka. Berdekad-dekad lamanya, hak pemilikan tanah bagi seseorang itu diperolehi dengan cara mengusahakan tanah berkenaan dan mempertahankannya daripada diceroboh oleh orang lain. Mereka terpaksa mengejar apa sahaja peluang yang datang demi survival masing-masing. Keluasan tanah di Amerika menjadikan penempatan penduduk pada waktu itu agak berselerak, terpencil dan berjauhan antara satu sama lain. Keadaan ini menjadikan mereka berani, tabah serta mengutamakan kehidupan peribadi masing-masing yang akhirnya membentuk sikap individualistik dalam diri mereka. Pekerjaan sering disama ertikan dengan kejayaan manakala masa pula dengan wang. Pada umumnya, masyarakat Amerika bersikap optimistik, berorientasikan masa depan (future-oriented) dan tidak takutkan cabaran serta persaingan (Lewis, 2000).

Berbeza dengan masyarakat Barat yang melihat hak asasi berpaksi di sekitar individu, masyarakat Asia dan Afrika menyanjung tinggi hak komuniti atau bangsa mereka. Pengalaman serta perjuangan semasa di zaman penjajahan di sesetengah negara Asia menjadikan semangat berkumpulan itu lebih menebal di kalangan mereka. Semangat kerjasama serta hubungan kekeluargaan yang rapat merupakan antara ciri signifikan kebanyakan masyarakat di Asia. Keadaan yang sama dapat di dilihat di kalangan masyarakat di negeri China di mana keluarga merupakan institusi yang dihormati di China dan hierarkinya dipelihara. Confucianisme menganggap keluarga sebagai unit utama dalam masyarakat dan ketaatan kepada ibu bapa adalah sangat penting dalam hubungan kekeluargaan. Ketaatan ini dikatakan lebih utama daripada ketaatan kepada anak-anak, isteri atau pemimpin. Mereka diajar supaya merendah diri dan tidak meminta kerana kesederhanaan adalah satu kebaikan di China."

# Petikan dari buku : "DIMENSI BUDAYA TEKNOLOGI DALAM ERA GLOBALISASI" oleh NORHANI BAKRI
yang bakal diterbitkan oleh Penerbit UTM.

Sabtu, Julai 18, 2009

Budaya Ilmu dan Pembelajaran


"Pembinaan budaya ilmu yang bersepadu merupakan pra syarat awal dan terpenting bagi kekuatan dan kecemerlangan sesebuah bangsa. Kajian Profesor Ezra Vogel dari Universiti Harvard merumuskan bahawa kejayaan Jepun terletak kepada kepekaan pemimpin, institusi dan rakyat Jepun terhadap ilmu dan maklumat serta kesungguhan mereka dalam mengumpul dan menggunakan ilmu untuk faedah mereka (Wan Mohd. Nor, 1997). Semangat ghairah untuk menuntut ilmu atau memperoleh pendidikan di kalangan masyarakat Jepun dikatakan bermula pada awal Zaman Meiji (antara tahun 1860an hingga 1880an). Pada akhir tahun 1888, terdapat hampir 30,000 pelajar yang menghadiri hampir 90 buah sekolah swasta di Tokyo dan 80 % daripada mereka ini datangnya dari kawasan luar bandar. Pelajar miskin dibiayai oleh sistem biasiswa pemberian dari tuan tanah dan hartawan. Mereka disajikan dengan kisah kejayaan dari Timur dan Barat serta motivasi yang terkandung dalam buku teks pendidkan moral atau akhlak sekolah rendah yang kemudiannya terbawa ke peringkat individu, keluarga, masyarakat dan negara. Semangat kegigihan menuntut ilmu disebarkan melalui buku teks, tugu dan nyanyian yang bersifat pragmatis dan nasionalis.

Pada umumnya, masyarakat China memberikan penekanan yang istimewa kepada pembelajaran dan pendidikan sejak dahulu lagi. Dalam tamadun China, para cendiakawan mempunyai pengaruh yang amat besar dalam kehidupan negara dan masyarakat. Bagaimana pun, “ilmu” tidak menduduki martabat satu konsep asas atau tidak menjadi satu slogan yang dicita-citakan oleh semua lapisan rakyat seperti dalam tamadun Islam misalnya (Wan Mohd. Nor, 1997). Ilmu pada pandangan masyarakat China khasnya daripada mazhab Konfuciunisme Baru, dipengaruhi oleh penekanan kepada amal yang dianggap lebih utama daripada ilmu dan menjadi perhatian utama individu dan masyarakat. Kecenderungan kuat terhadap amal menyebabkan kebudayaan China tidak mempunyai falsafah formal (yang membolehkan mereka menulis dan menghuraikan dengan sistematik gagasan pemikiran mereka ) yang meliputi bidang logik (kaedah berfikir), epistemologi (berkenaan sumber ilmu, cara memperoleh dan membuktikannya) dan aksiologi (berkenaan nilai).

Mengikut ahli sejarah falsafah China yang terkenal, Fung Yu Lan, kebanyakan ahli falsafah China tidak menganggap ilmu sebagai perkara penting kecuali yang boleh diamalkan. Kecenderungan amali dalam falsafah China telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan teknologi dalam tamadun mereka. Tamadun China telah memberikan sumbangan yang besar dalam penciptaan teknologi awal seperti pembuatan kertas, sutera, percetakan, kompas, ubat nerian dan lain-lain.

Budaya India Kuno pula mencerminkan kecenderungan yang bertentangan dengan falsafah China di mana penekanan ilmu yang paling abstrak merupakan ciri umum budaya berkenaan. Dalam falsafah India, amal adalah kurang penting berbanding ilmu. Semua cabang ilmu tumbuh dan berkembang di sekitar keperluan agama Hindu yang menjadi teras kehidupan masyarakat India Kuno. Ilmu astronomi lahir daripada penyembahan kepada matahari, bulan dan bintang. Pemerhatian dan kajian tentang makhluk ini bertujuan untuk memastikan tarikh bagi perayaan dan pengorbanan keagamaan. Ilmu bahasa seperti nahu dan bidang lain tumbuh kerana keperluan beribadat yang memerlukan ianya dilafazkan dengan betul. Sumbangan keilmuan India penting dalam bidang astronomi, geometri, perubatan dan beberapa bidang lain. Sistem kasta dalam agama Hindu yang tertutup membataskan penglibatan keilmuan ini yang dipelopori dan dikembangkan oleh golongan agama, khasnya Brahmin.

Jerman Barat juga dikenali sebagai negara ilmu pendidikan. Orang Jerman berjuang untuk mendapatkan sistem pengetahuan yang sempurna berasaskan analisa yang mendalam, pengelolaan yang cermat dan pemakaian teori (Masanori, 1985). Orang-orang terpelajar dan sarjana dianggap pemberi khidmat atau hamba kepada sains. Hasilnya, mereka menikmati kewibawaan yang tinggi dan dihormati. Di antara semua bidang sains, kimia merupakan kekuatan utama dan Jerman merupakan penyumbang terbesar bidang ini berbanding negara-negara lain. Orang yang mula-mula sekali membayangkan lingkaran benzene (benzene ring) yang menjadi titik tolak kepada kajian kimia organik ialah seorang ahli sains Jerman bernama Friedrich A. Kekule yang menggambarkannya dalam bentuk kura-kura manakala seorang lagi iaitu H. Standingen pula mula mengkaji struktur polimer yang merintis jalan ke arah pembangunan fiber tiruan (Masanori, 1985).

Jika Britain mendapat gelaran negara fiziks dan reka cipta, Jerman pula adalah negara kimia dan penemuan baru. Kekurangan orang Jerman dari segi kecerdasan otak berbanding orang Inggeris di atasi dengan bekerja keras, mengumpul maklumat, menganalisa dan meluaskan konsep untuk membina sistem yang tepat dan jelas berdasarkan logik. Walau pun sikap ingin tahu mereka kurang berbanding orang Inggeris, namun mereka menyanjung serta menghargai tradisi dan serius dari segi sikap, kelakuan, tabiat dan tingkah laku, bersifat mulia, tegap dan kukuh. Hasil dari sifat sebeginilah yang menjayakan Jerman dalam membangunkan teknologinya yang bergerak pantas seperti elektronik. Kekuatan Jerman terletak pada cara ia menilai sains tulen dengan begitu tinggi dan dilengkapi dengan keunggulan teknologinya."

# Petikan dari buku : "DIMENSI BUDAYA TEKNOLOGI DALAM ERA GLOBALISASI" oleh NORHANI BAKRI
yang bakal diterbitkan oleh Penerbit UTM.

Ahad, Julai 12, 2009

Belajar, Berfikir dan Merancang


Setiap hari kita memerlukan masa dengan dan untuk diri sendiri. Napoleon Hill menegaskan bahawa " belajar, berfikir dan merancang masa harian " adalah penting dalam mempertingkatkan pembaikan diri secara berterusan dan membangunkannya dari masa kesemasa.

Orang yang selalu memperbaiki diri sendiri akan menjadi lebih berharga dan dinilai tinggi di alam kerjaya. Ini dapat memberi mereka lebih banyak peluang, memperolehi pendapatan yang lebih baik dan tidak akan diberhentikan kerja atau lebih mudah mendapat pekerjaan yang lain, di masa kemelesetan ekonomi.

Formula untuk "belajar, berfikir dan merancang masa harian" adalah mudah seperti contoh yang diberikan di bawah ni:-

1. Berfikir tentang matlamat pada setiap hari,
sekurang-kurangnya sekali pada setiap hari , yang tertbaik ialah sekali diwaktu pagi dan sekali lagi sebelum masuk tidor. Lihat matlamat secara positif dan percaya yang anda boleh mencapainya.

2. Periksa sikap anda pada setiap hari. Paling baik ialah di waktu malam. Imbas kembali bagaimana cara terbaik untuk memperbaiki sikap dan amalan supaya lebih positif.

3. Periksa tindakan dan cara anda berfikir
- adakah ianya menyumbang kepada kejayaan anda atau memperlahankannya? Pertimbangkan bagaimana untuk mengelak dari berfikiran negatif dan pola-pola perlakuan yang berkaitan dengannya.

4. Membaca bahan-bahan yang memberi inspirasi walau pun satu muka surat sehari dan lihatlah dari sudut yang positif.

5. Ambil masa untuk belajar, berfikir dan merancang pada setiap hari, dan berbuat demikian dengan keadaan mental yang positif.

Orang yang mengulangi perbuatan yang sama selama lebih daripada 30 hari berturut-turut dikatakan akan meneruskan amalan berkenaan selepas itu, dan akhirnya amalan berkenaan kekal menjadi satu tabiat. Oleh yang demikian, amalkan tabiat belajar, mengulangkaji dan merancang dengan baik demi meningkatkan kualiti kehidupan kita.

Khamis, Julai 09, 2009

Berjaya ala Michael Jackson


Pemergian lagenda pop dunia, Michael Jackson pastinya meninggalkan kesan mendalam, bukan saja pada peminat setianya tetapi juga kepada penggemar dunia hiburan seantero dunia. Samada kita suka atau tidak, keistimewaan manusia misteri ini tidak mudah untuk dilupakan begitu saja. Berita tentang beliau sering mendominasi dada akhbar dan majalah sehinggalah ke saat-saat akhir kehidupannya. Selepas seminggu kematiannya, jelas terasa impak kehilangannya yang terus diratapi jutaan peminat beliau di seluruh dunia.

Biar pun dilanda kontroversi yang berpanjangan, penuh misteri dan kesedihan, raja pop ini sememangnya seorang superstar yang mengecapi kemewahan hidup yang menjadi impian ramai. Apa agaknya rahsia kejayaan Michael Jackson ini, ya?

Terdapat empat rahsia yang boleh kita hubungkan dengan penghibur lagenda ini yang boleh dijadikan contoh bagi mencipta kejayaan bagi diri kita sendiri pula.

Contoh adalah seperti berikut:-

MICHAEL JACKSON SANGAT GHAIRAH DENGAN APA YANG BELIAU LAKUKAN :

Beliau membuat sesuatu yang menggembirakan beliau - menyanyi dan menari. Apabila kita gembira melakukan sesuatu, maka ia akan sentiasa merangsang secara semula jadi setiap apa yang kita lakukan. Kebahagiaan adalah penting dalam memastikan pencapaian kejayaan. Kita perlu rasa gembira untuk menjadi lebih fokus dalam apa jua yang kita lakukan. Keghairahan melakukan sesuatu itu akan mendorong kita melakukannya secara bersungguh-sungguh tanpa memikirkan tentang kesukaran yang terpaksa kita lalui. Sekiranya ingin berjaya, buatlah sesuatu yang kita suka, dan sentiasa ghairah dengan apa yang kita lakukan.

MICHAEL JACKSON DAN KUALITI KEANAK-ANAKANNYA :
Sebagai insan yang tidak melalui zaman kanak-kanak yang normal, beliau merasa bahagia apabila dapat menghubungkan dirinya dengan sifat keanak-anakan yang wujud dalam dirinya. Beliau sendiri memiliki kualiti keanak-anakan, dan enggan menjadi dewasa dan mahu menjalani kehidupannya secara yang tersendiri. Seorang kanak-kanak biasanya percaya yang dia akan mendapat apa saja yang dia impikan. Michael mungkin tidak memenuhi kesemua yang beliau idamkan tetapi yang pasti beliau memiliki segala apa yang masyarakat majoriti tidak berupaya mencapainya. Sekiranya kita mahu berjaya, contohilah Michael Jackson : Jangan terlalu mengambil serius akan kehidupan ini. Percaya lah bahawa segalanya tidak mustahil dan semua insan adalah orang yang baik-baik belaka - sebagaimana yang sering difikirkan oleh kanak-kanak.

MICHAEL JACKSON BERUBAH SECARA KONSISTEN :

Beliau sememangnya seorang pencipta yang unggul - yang sentiasa mencipta semula imej,lagu dan persembahannya dari masa kesemasa - perubahan ini melalui satu evolusi yang berkembang seiring dengan masa. Beliau dengan secara uniknya menjenamakan dirinya sendiri. Tiada yang lain sepertinya, dulu, kini dan selamanya. Beliau bertahan selama empat dekad dengan keberaniannya mengambil risiko. Biar pun tidak semua imejnya disenangi ramai, namun perlakuan dan gelagatnya mendefinisikan jenama bagi dirinya sendiri. Beliau turut mengekalkan misteri kehidupannya itu sehinggalah ke upacara pengkebumiannya. Sekiranya kita mau berjaya, serlahkan keunikan yang kita ada yang membuat kita tampak berbeza dan menonjol berbanding orang lain.

MICHAEL JACKSON CEMERLANG BIARPUN DALAM KESUKARAN DAN PENDERITAAN :
Latar belakang zaman awal beliau yang penuh kesukaran dan cabaran serta kehilangan zaman kanak-kanaknya yang normal, menyerlahkan lagi penjenamaan isu-isu yang berkaitan dengan dirinya. Kenapa? Ini kerana beliau telah berlaku jujur dan percaya kepada dirinya sendiri. Sekiranya kita mau berjaya, kita perlu mengelakkan diri kita dari menyalahkan orang lain di atas segala kegagalan yang berlaku. Sebaliknya kita perlu sentiasa berusaha mempertingkatkan diri kita dari masa ke semasa. Secara positifnya, kita perlu melihat kesengsaraan dan penderitaan hidup sebagai satu motivasi diri yang mampu mendorong kita untuk mencipta kejayaan.

Selasa, Julai 07, 2009

Pancarkan keikhlasan dalam budi bahasa


Peredaran zaman yang semakin materialistik dah menjadikan hubungan antara sesama manusia menjadi agak hipokrit dan lebih berasaskan "untung dan rugi". Dimanakah perginya keikhlasan pabila hubungan ini dah jadi tak lebih dari satu ikatan "kahwin kontrak" yang tempoh luputnya kan tiba pabila segala misi dan visi dah tercapai. Malangnya nasib kawan yang dipergunakan sebegitu rupa, ibarat "Ada duit abang datang, takde duit, abang melayang"! Tidakkah sedikit pun ada rasa sensitiviti kepada perasaan orang lain agaknya? Bukan kah sesuatu hubungan itu perlu di bajai sentiasa dengan penuh keikhlasan tanpa sebarang niat lain yang lebih berasaskan keuntungan peribadi?

Keikhlasan bukan saja terpancar di mata tetapi juga terjelma dalam bentuk perlakuan dan tindak tanduk kita! Sikap yang saling mengambil berat dan bertanya khabar, misalnya, adalah jelmaan dari rasa keikhlasan ini. Tidak perlu wang ringgit berjuta untuk melakukan ini semua, cukup sekadar budi bahasa dan rasa hormat sebagai tanda menghargai perhubungan ini. Teringat bagaimana bangsa Jepun sering memulakan hari pertama kerja dengan ucapan "Harap beri tunjuk ajar kepada saya!" . Agak mengagumkan bagaimana bangsa yang maju ini mampu merendahkan dirinya begitu sekali demi menjaga hubungan baik sesama pekerja. Rendah diri orang Jepun ini memang bertempat dan penuh dengan keikhlasan. Inilah budi bahasa bangsa Jepun yang menjadi salah satu daripada kunci kejayaan mereka. Ibarat resam padi "Semakin tinggi, semakin ia menunduk".

Perhubungan yang berkesan sangat bergantung kepada keikhlasan pihak-pihak yang terlibat dalam jalinan ini. Ia pasti takkan dapat bertahan lama sekiranya hanya berdasarkan kepada "untung dan rugi". Keikhlasan adalah penting bagi memastikan emosi yang wujud antara kedua-dua pihak itu adalah tulus dan suci tanpa sebarang syarat yang mengikat antara kedua-duanya. Hanya keikhlasan saja yang mampu memperjuang dan mengekalkan hubungan sesama manusia, walau apa pun yang terjadi....

Sabtu, Julai 04, 2009

17 Kesilapan Pemimpin



"Sesungguhnya orang yang paling baik engkau berikan kerja ialah......Orang yang kuat (pakar) dan amanah (berintegriti)"
(S.alQasas:26)

17 KESILAPAN PEMIMPIN


1. Gagal mengurus diri.

2. Enggan bertanggungjawab.

3. Gagal membangunkan anak buah.

4. Mendidik anak buah menjadi Pak Turut.

5. Berkawan dengan kumpulan yang silap.

6. Mengurus setiap orang dengan cara yang sama.

7. Terlepas pandang mengenai kepentingan kewangan.

8. Menumpukan kepada masalah dan bukan kepada matlamat.

9. Menjadi kawan dan tidak menjadi pemimpin.

10. Gagal menentukan standard.


11. Gagal mendisiplinkan pengikut.

12. Membenarkan kemungkaran berlaku.

13. Menghargai anggota yang cemerlang sahaja.

14. Mempergunakan (manipulasi) orang lain.

15. Hati yang kotor.

16. Gagal menarik hidayah.

17. Kurang berdoa dan mendoakan.

Di sampaikan oleh : Dato' Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah
Excel Training & Consultancy (M) Sdn. Bhd.

Khamis, Julai 02, 2009

Pemimpin IPT Sebagai Motivator


1. Jadikan diri anda orang yang ceria, bersemangat, dan boleh dicontohi oleh pelajar/pekerja.

2. Hormati hak dan maruah pelajar/pekerja.

3. Sentiasa bersangka baik terhadap orang lain. Jika anda menyangka orang lain bodoh atau malas, mereka bertindak seolah-olah bodoh atau malas.

4. Beri perhatian mengenai kebajikan pelajar/pekerja.

5. Beri perhatian dan layan pelajar/pekerja seperti anda melayan keluarga sendiri.

6. Elakkan daripada mementingkan diri sendiri anda dan kurang memberi tumpuan kepada masalah pelajar/pekerja.

7. Beri teguran dengan berhikmah.

8. Beri pujian setiap kali ada peluang untuk berbuat demikian (semua orang dahagakan belaian).

9. Bantu pelajar/pekerja memperbaiki diri apabila mereka membuat kesilapan. Beri kemaafan.

10. Beri bantuan kepada pelajar/pekerja mengikut kemampuan dan kesesuaian keadaan.

11. Kerja yang mustahil dilakukan seseorang mungkin boleh diselesaikan secara berkumpulan.

12. Minta bantuan orang lain untuk menggerakkan pelajar/pekerja.

13. Dengari pelajar/pekerja dan minta nasihat dan pandangan daripada mereka dari semasa ke semasa.

14. Beri peluang kepada pelajar/pekerja untuk berjumpa dan berbincang dengan anda dari semasa ke semasa.

15. Belajar untuk mengingati nama pelajar/pekerja dan tidak bergantung kepada tag nama.

16. Kotakan segala janji.

17. Beri arahan dan maklumat yang tepat kepada pelajar/pekerja.

18. Bertanggungjawab dan bela pelajar/pekerja.

19. Berani meminta maaf jika anda tersilap.

20. Bentuk sentuhan ajaib.

21. Jika sesuai, ragamkan jenis tugasan yang dilakukan oleh pelajar/pekerja.

22. Bentuk suasana belajar/bekerja yang menyeronokkan.

23. Beri mereka peluang bekerja dengan orang yang mereka suka.

24. Selalu nyatakan kepada pelajar/pekerja bahawa mereka adalah mustahak dan memberi sumbangan kepada Universiti.

25. Bantu pelajar/pekerja untuk membangunkan diri.

26. Adakan saingan yang bersesuaian di kalangan pelajar/pekerja.

27. Buat penilaian prestasi kerja setiap pelajar/pekerja secara adil dan telus.

28. Berikan maklum balas mengenai prestasi dari semasa ke semasa.

29. Ingatkan kepentingan kerjasama dan kerja secara sepasukan.

30. Jangan harapkan perubahan serta merta.

31. Sentiasa doakan pelajar/pekerja anda.

Di sampaikan oleh : Dato' Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah
Excel Training & Consultancy (M) Sdn. Bhd.

Rabu, Julai 01, 2009

Hargailah selagi masih ada


Sebagai manusia biasa, pastinya kita tidak mampu menilik masa depan.....Berapa lama jangka hayat yang masih ada dan berapa lama pula lagi kita mampu mengharungi hidup ini bersama orang-orang yang kita sayang...Seandainya semua itu kita maklumi, sudah pasti hari-hari terakhir ini akan dipenuhi dengan curahan kebahagiaan yang tidak berbelah bagi pada sidia atau sesiapa saja yang kita kasihi...Malangnya, kita sering meratapi kehilangan orang tersayang apabila dia sudah tiada..... Masa ini lah baru segala kebaikan dibongkar satu persatu. Tiada satu pun yang buruk diperkatakan lagi.Tidakkah ini agak terlambat....? Tidakkah semua ini patut didendangkan semasa dia masih bernyawa?

Hargailah insan tersayang semasa hayatnya masih ada, kerana kita tidak pasti berapa lama masa yang ada...Luahkan segala kasih sayang dan perhatian pada mereka pada setiap masa dan ketika....Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi...! Terutama kepada kedua ibu bapa yang telah melahirkan kita, yang dah bersusah payah berkorban untuk menjadikan kita insan yang berguna. Berbaktilah kepada mereka selagi berupaya dan berilah kebahagiaan kepada sisa hidup yang masih berbaki. Jangan sesekali mengabaikan mereka kerana tanpa mereka, siapalah kita.... Begitu juga dengan ahli keluarga yang lain....Jangan ambil mudah dengan kasih sayang yang diberikan kerana ianya bukanlah sesuatu yang boleh dijual beli dengan wang ringgit atau pun harta berjuta....

Cinta, kasih dan sayang, semuanya adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai...Ia bukanlah sesuatu yang dipaksa. Ia datang sendiri dengan penuh keikhlasan dan kesucian hati. Kasih sayang memerlukan pengorbanan dan persefahaman yang amat mendalam....Ada ketikanya ia sukar nak diucapkan dengan kata-kata. Cukuplah sekadar kita sajikan perhatian dan perlakuan yang membahagiakan mereka.

Demi insan tersayang, hargailah mereka selagi masih ada kerana kita tak pasti berapa lama lagikah masa untuk kita mampu bersama.....

Blog Widget by LinkWithin